Sunday, December 21, 2008

Pengertian Jamaah..

Baru-baru ana dikemukakan soalan oleh seorang teman berkaitan dengan pengertian jamaah yang dimaksudkan. Terus terang ana bukan ahlinya untuk ana lontarkan pandangan bagi soalan-soalan yang agak berat untuk ana kembangkan bagi konteks pemahaman ilmiah ini. Untuk itu setelah dirujuk beberapa tempat dan ini antara huraian orang yang ahli yang ana dapat daripada Al-Ahkam.net. Semoga ianya bermanfaat kepada yang bertanya dan yang membaca lebih-lebih lagi buat yang melakukan posting, InsyaAllah..
'
Soalan:
Assalamualaikum wrt wbt.
Saya ingin bertanya pihak moderators. Apakah hukum menganggotai jamaah? Adakah kita diseru untuk intima' kepada mana-mana jamaah dalam melaksanakan amal Islami? Bagaimana pula dengan penganggotaan non muslim dalam sesuatu jemaah Islami? Minta penjelasan moderator.

Terima kasih.

Hamba Allah


Jawapan:
Walaikumussalm wrt wbt..

Alhamdulillah, inilah jawapannya:
Sekalipun ia membahaskan di sekitar masalah menerima keahlian non muslim dalam gerakan Islam, namun ada juga di dalamnya di sekitar masalah yg ditanyakan.

Secara sepintas lalu.. Beberapa persoalan:

Dari segi syarak, apa yang menghalang pengambilan non muslim sebagai ahli jamaah Islam? Apakah itu jamaah Islam?

Jamaah Islam bukan agama Islam. Jamaah Islam juga bukanlah sebuah negara Islam. Jamaah Islam di sini juga bukanlah sebagaimana yang dimaksudkan oleh sebuah hadith sahih yang menyebut "Jamaah Kaum Muslimin". Di mana jika keluar dari jamaah berkenaan maka dihukumkan sebagai terkeluar dari agama. Jamaah Islam di sini hanya sebagai wasilah dakwah sahaja. Gerakan berteraskan Amar Ma'ruf Nahi Munkar. Nak masuk pun boleh, tak masuk pun boleh. Kalau mampu bertindak sendirian, bertindaklah sendirian. Kalau nak berdakwah secara ter-oraganisasi, sertailah.

Mengapa negara Islam? Negara Islam dengan diketuai oleh seorang pemimpin tertinggi wajib didirikan secara syarak. Tujuannya adalah untuk memastikan syariat Allah ditegakkan di bumi negara itu. Juga untuk menjaga 5 perkara dharuri. Menjaga segala maslahat umat Islam dan zhimmi. Matlamat dari semua itu adalah agar pengabdian kepada yang maha Esa dapat dilaksanakan dalam setiap sudut.

Dan antara tugas jamaah Islam adalah untuk membentuk satu usaha dan upaya ke arah mewujudkan dan memastikan negara Islam seperti cirri-ciri di atas dapat ditegakkan.

Kalau kita lihat, ahli zhimmi boleh diterima sebagai rakyat yang sah dalam sebuah negara Islam. Malah dari banyak sudut, mereka wajib diperlakukan samarata, sama adil sebagaimana yang telah diberikan kepada rakyat muslim. Malah, ulama-ulama Islam memperuntukkan satu bab yg khusus untuk masalah ahli zhimmi.

Jika itulah keadaannya, dan jika negara Islam yqng tertegak itu nanti juga membabitkan ahli zhimmi, mengapa usaha untuk menegakkan negara berkenaan perlu mengenepikan mereka. Itu dari segi hukum. Namun dari segi strategi, perlulah lihat keadaan. Samada gerakan Islam sudah bersedia ataupun belum. Manfaatnya lebih banyak atau sebaliknya. Apakah ia hanya akan menyebabkan dakwah Islam menjadi kuat atau semakin lemah? Para ulama Islam setempat dan semasa hendaklah berijtihad untuk menentukannya berdasarkan situasi yang ada.

Jadi, sekalipun kita tidak setuju dengan cadangan menerima masuk non muslim, janganlah kita sampai beranggapan ia salah dari sudut syarak. Habislah.. Musnahlah.. Ia hanya membabitkan strategi dan ijtihad. Jika salah perkiraan pimpinan kita nanti, malah ia tidak menjadi satu dosa pun. Dan mudah-mudahan Allah mengurniakan kepada mereka pahala atas ijtihad mereka sekalipun salah.

Moga ia sebagai masukan yang bermanfaat...


Jamaah Islam dalam pengertian gerakan Islam/harakah Islam atau organisasi Islam bukanlah bermaksud al-Jamaah yang terdapat di dalam hadith-hadith Rasulullah s.a.w. Al-Jamaah sebagaimana yang terdapat di dalam nas-nas syarak membawa dua maksud:
'
1. Pertama mafhum I'tiqadi : Ia dihalakan kepada dakwah dan manhaj yang dibawa oleh al-jamaah ini.

Ia bermaksud, al-Jamaah yang berada dijalan kebenaran al-Quran dan al-Sunnah, serta mengikuti apa yang dilalui oleh para salafus soleh dalam berpegang kepada kebenaran dan mengikut al-Sunnah. Inilah dakwah yang dibawa dan manhaj yang dibawa. Keluar dari jamaah kebenaran ini boleh membawa kepada tahap murtad dan terkeluar dari agama.

Hadith-hadith berkaitan dengannya antaranya ialah:
م
ا رواه أبو داود وابن ماجه عن معاوية رضي الله عنه النبيِّ صلى الله عليه وسلم قال: "ألا إنَّ من قبلكم من أهل الكتاب افترقوا على ثنتين وسبعين ملَّة، وإنَّ هذه الأمَّة ستفترق على ثلاثٍ وسبعين: ثنتان وسبعون في النار، وواحدةٌ في الجنَّة، وهي الجماعة"وروى الترمذيُّ نحوه، وقال: حديثٌ حسنٌ غريب. ما رواه البخاريُّ ومسلمٌ عن ابن مسعود رضي الله عنه عن النبيِّ صلى الله عليه وسلم قال: "لا يحلُّ دم امرئٍ مسلمٍ يشهد أن لا إله إلا الله وأنِّي رسول الله إلا بإحدى ثلاث: الثيِّب الزاني، والنفس بالنفس، والتارك لدينه المفارق للجماعة".

2. Kedua mafhum Siasi/politik. : Ia dihalakan kepada negara/daulah dan sistem politik, di mana dengannya akan terpeliharalah manhaj al-jamaah di atas serta memastikan manhaj berkenaan boleh diterapkan dalam realiti kehidupan.

Ia bermaksud, wajib kepada kita semua untuk bergabung dengan al-Ummah, taat kepada imam/pemerintah serta tidak keluar dari jamaah dan peraturan umum negara. Keluar dari jamaah ini boleh dihukum sebagai pemberontak dan bughah.

Antara hadith-hadith yang berkaitan dengan mafhum kedua ini ialah:
ما رواه البخاريُّ ومسلمٌ عن ابن عباس رضي الله عنهما عن النبيِّ صلى الله عليه وسلم أنَّه قال: "من رأى من أميره شيئاً يكرهه فليصبر، فإنَّه ليس أحدٌ يفارق الجماعة شبراً فيموت، إلا مات مِيتةً جاهليَّة" ما رواه مسلم عن أبي هريرة أنَّ النبيَّ صلى الله عليه وسلم: "من خرج من الطاعة وفارق الجماعة فمات، مات مِيتةً جاهليَّة".

------------------
Dari dua pengertian di atas, dapatlah kita lihat betapa kedua-duanya saling berkaitan dan bahu membahu. Antara mafhum i'tiqadi dan mafhum siasi. Di mana apabila sudah wujudnya satu jamaah yang membawa serta mengibarkan dakwah dengan manhaj yang benar, maka keperluan untuk menegakkan daulah adalah satu kemestian. Kerana daulah inilah yang akan memastikan manhaj kebenaran itu terus terpelihara. Juga bagi memastikan manhaj berkenaan dapat direalisasikan dalam kehidupan.

Ciri-ciri anggota anggota al-jamaah , ialah orang-orang yang berada di atas kebenaran al-Quran dan al-Sunnah berdasarkan manhaj para salafus soleh. Kerana di sana ada juga yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah tetapi berdasarkan kepala otak sendiri. Bukan berdasarkan manhaj salafus soleh. Manhaj kebenaran adalah manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

------------------
Baiklah jika begitu maksud al-Jamaah menurut syarak, maka bagaimana dengan kedudukan jamaah-jamaah Islam seperti ABIM, PAS, Ikhwan, Jamaat Islami, tabligh atau apa sahaja?

Pengasasan jamaah-jamaah seperti di atas tidak ada sandarannya dari nash syarak yang khusus mengenainya. Ia hanya disandarkan kepada nash-nash yang umum sahaja. Oleh itu amatlah penting, kita membezakan pengertian antara al-Jamaah menurut syarak dengan jamaah-jamaah Islam yang ada pada hari ini seperti al-Ikhwan dan sebagainya. Dan, jamaah-jamaah Islam yang ada ini bukanlah jamaah kaum muslimin atau al-Ummah sepertimana yang dimaksudkanoleh syarak. Ia dapat diberi pengertian sebagai satu perhimpunan/tajammu' yang didirikan oleh kalangan orang-orang Islam atas dasar ta'awun alal birri Wat Taqwa (bantu membantu ke arah kebaikan dan taqwa). Ia dapat meliputi parti, gerakan Islam, badan-badan islam atau kebajikan dan sebagainya.

Oleh itu, berdasarkan kepada pengertian al-jamaah, maka menggariskan syarat-syarat keahlian atau cirri-cirinya bagi gerakan Islam seperti ini oleh sebahagian tokoh gerakan Islam, hanyalah untuk kebaikan dan kepentingan jamaah itu sendiri. Dan ia bukanlah asas perbincangan mengenai pengertian al-Jamaah yang sedang kita bincangkan.

Seperti perkumpulan, persatuan atau badan-badan kebajikan, mereka boleh sahaja meletakkan apa sahaja ciri-ciri yang mesti ada untuk menjadi ahli. Ini adalah demi menjaga kebaikan persatuan atau pertubuhan berkenaan agar dapat mencapai matlamat yangg disasarkan. Namun ia bukanlah sesuatu yang wajib secara syarak ke atas pertubuhan berkenaan.

Dan ummat Islam juga tidak diwajibkan menganggotai mana-mana pertubuhan atau persatuan atau parti Islam. Dan dalam satu-satu masa umat Islam juga boleh menganggotai lebih dari satu jamaah/parti/pertubuhan Islam. Malah mereka boleh keluar dan masuk bila- bila masa sahaja.

Ini berbeza dengan al-Jamaah dalam pengertian syarak. Mana-mana manusia wajib ikut serta dan bergabung dengan aliran yang berada dijalan kebenaran al-Quran dan al-Sunnah, serta mengikuti apa yang dilalui oleh para salafus soleh dalam berpegang kepada kebenaran dan mengikut al-Sunnah. Keluar darinya bermakna sesat, malah sampai ke tahap kufur.

Akhirnya, tentang menerima keahlian non muslim bagi pertubuhan Islam atau badan-badan Islam, itu persoalan yang bukan asas. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, boleh atau tidaknya bergantung kepada keperluan. Bukanlah boleh atau tidaknya itu sebab memang ada dasarnya dalam agama.

Kesimpulan: Menganggotai jamaah Islam yang berlandaskan al-Quran dan al-Sunnah adalah jaiz/harus. Malah digalakkan jika banyak manfaat yang diperolehi dengan menganggotainya.
'
Moga bermanfaat untuk semua.
Wallahua'lam.

3 comments:

Wardah said...

Salam..Syukran jazilan sbb post topik ni.. smga ALLAH m'balas d ats sgala usaha anta utk dptkn info ni..Teruskn usaha! :)

Anonymous said...

salam...ilmiah..alhamdulillah..mg sentiasa diberkati Illahi..lama tak bersua..jauh berbeza..maaf suka masuk blog ni..kdg2 ada yang mungkin berkaitan diri..suka baca..sbb itu adala kenangan..
-nurintifada vz nurissam

..~..WaN PeNaNG..~.. said...

salam..
apa yg dilampirkan dalam blog ini adalah keterbukaan kepada sesiapa sahaja yge kenal akan penulis mahupun tidak untuk bg komen mahupun kritikan. masing2 ada hak dalam meyuarakan pandangan sekalipun bertentangan dgn penulis. penulis terima dengan berlapang dada, InsyaAllah..