Wednesday, December 17, 2008

Perkuburan dan kenduri arwah.


Dah beberapa hari tak posting apa-apa artikel kat blog ni. Awal-awal dulu semangat sikit, tapi nak kata dah lama sangat pun tak juga, masih dalam lingkukngan budak baru belajar lagi. Lebih kepada urusan sendiri dan beberapa perkara yang perlu diuruskan buat masa ini.
`
Tengah hari kelmarin aku dapat berita mengatakan bapa kepada majikanku meninggal dunia. Terus terkeluar dar mulutku Innalillahiwainna ilaihiroj’un (Daripada Allah kita datang dan kepadaNya kita akan dikembalikan). Bapanya meninggal di hospital manakala majikanku kini masih lagi berada di Mekah dalam menunaikan fardhu haji bersama isterinya. Sepatutnya penerbangan pulangnya pada hari khamis nanti terus dipercepatkan setelah mendapat berita sedih ini. Takziah aku ucapkan pada majikanku sekeluarga. Setelah selesai urusan di hospital dan aku dapat makluman akan dikebumikan petang itu juga aku dan beberapa orang kawan tempat sekerja turut serta pergi untuk ziarah. Kami datang agak lewat setelah asar dan jenazah terus dibawa ke kawasan pekurburan. Melangkah masuk sahaja salam diberi kepada seluruh warga kawasan perkuburan tersebut diucapkan, “Salam sejahtera ke atas kamu sekalian wahai penghuni kubur. Semoga Allah mengampuni kami juga kamu dan kamu telah mendahuli kami, pasti kami juga akan menyusuri kamu suatu hari nanti.” Sanak saudara, rakan taulan dan jiran tetangga turut datang beramai-ramai untuk kali terakhirnya buat mengiringi jenazah allahyarham.
`
Jelas nampak kesugulan di wajah ahli keluarga arwah dan juga sahabat handai. Manakala kaum wanita yang datang juga tak kurang ramainya. Dianggarkan lebih daripada 40 orang beserta kanak-kanak. Kanak-kanak masing-masing dengan keletah tersendiri yang bagi aku masih belum boleh untuk ambil iktibar dengan semua ini. Apabila jenazah diturunkan ke liang lahad, terasa gentar di hati ini. Aku juga satu hari nanti pasti dalam keadaan yang sama. Apa yang aku ada sekarang ni dah cukup ke bekal untuk aku masuk alam tu. Sebabnya masa untuk ke sana tidak kira usia. Apabila tiba masanya pasti tidak akan dipercepatkan mahupun diperlambatkan barang sesaat. Allahuakbar.. Terasa sedikit keinsafan di lubuk hati ini.
'
Apabila tanah dikambus, seperti biasa talqin diadakan ditekongi oleh imam qariah agaknya. Masing-masing mengambil tempat dikeliling, dipenjuru dan kawasan-kawasan yang boleh untuk diduduki. Ada sesetengahnya aku lihat duduk dibenteng-bentang kubur yang berada disitu. Kebanyakan kubur-kubur kawasan ini aku lihat dibuat umpama binaan batu bata mengelilingi kubur beserta binaan kerusi disebelah kubur. Banyak yang sebegitu rupa. Ada sesetengahnya umpama kubur orang-orang bangsawan dengan binaan yang indah-indah. Allahuakbar. Kawasan orang kenamaan agaknya disini terlintas difikiran aku ketika itu. Setahu aku binaan-binaan seperti ini dilarang, dan andai sebegini dibuat umpama mereka yang empunya tanah kubur disitu. Padahal tanah kubur adalah tanah wakaf. Tak tahulah pula kalu lot disitu telah dibeli oleh orang. Kebiasaannya yang sebegini cuma orang-orang cina dan mat salleh je yang setahu aku. Astaghfirullahal a’zim. Bukan maksud aku samakan semua di sini sebegitu, cuma perlakuan membuat dan menghias kuburan yang dibuat diumpamakan.
`
“RasuluLlah saw melarang menembok kubur, duduk di atasnya dan membina bangunan di atasnya.” (Sahih Muslim, 970, al-Albani, sahih al-Jaami’ 6841). Komentar Sayyid Sabiq, Fiqh Sunnahnya, maksud menembok ialah membina dengan adunan konkrit. Hikmah larangan ini ialah kubur itu bersifat sementara dan termasuk perhiasan dunia yang tidak selayaknya bagi mayat.

Bab-bab talqin ni pun panjang perbahasannya kalau nak dihuraikan. Yang pasti aku bukan ahlinya untuk aku hurai di sini. Tapi bagi aku nak buat pun untuk yang hidup ni ambil iktibar, sekadar nak meraikan juga apa yang sudah lama dibuat. Tapi yang pasti semasa imam baca talqin ni, aku lihat tak ramai yang memberi perhatian, manakala yang lain ada yang bersembang-sembang, cakap di telefon dan sebagainya. Macam mana untuk ambil iktibar dari apa yang disampaikan sekiranya tidak dihayati apa yang dibacakan imam. Tentang duduk dikawasan kubur juga sebenarnya dilarang dalam agama, tapi aku lihat macam ramai yang tidak mengetahui. Padahal memang ianya dilarang oleh Nabi sendiri tentang perkara ini.
`
“Lebih baik salah seorang di antara kamu duduk di atas bara api hingga membakar pakaian dan kulitnya daripada duduk di atas kubur” (HR. Muslim no. 971 dari Abu Hurairah radliyallaahu ‘anhu).

“Janganlah duduk di atas kubur dan jangan pula solat menghadapnya” (HR. Muslim no. 972 dari Abu Martsad Al-Ghanawi radliyallaahu ‘anhu).
`
Apabila selesai je aku dan sahabat-sahabat terus pulang ke rumah. Sampai dah agak lewat dah masuk waktu maghrib. Lepas je solat, aku dapat panggilan menjemput aku datang untuk majlis kenduri di rumah arwah. Jarak tempat aku tinggal ke rumah arwah bukan dekat, sekurang-kurangnya 45 minit juga perjalanan. Aku menolaknya dengan baik dengan mengatakan amik masa jauh juga nak pergi sana tu padahal memang hati agak keberatan nak penuhi hajat mereka. Hari ini juga aku dapat jemputan untuk hadiri sekali lagi majlis yang sama di rumah arwah. Kali ini juga aku cuba menolak dengan baik dengan mengatakan aku ada sesi kuliah di luar dan aku kena hadiri sebab memang kebiasaan aku akan keluar waktu maghrib dan isyak. Kawan-kawan menerima alasan aku itu.
`
Sebenarnya berkaitan dengan kenduri arwah ni bersebab aku menolak untuk hadiri walaupun atas jemputan. Sebenarnya setelah aku hadiri satu kuliah berkaitan dengan hal kenduri arwah ini sebenarnya amalan yang kita sering buat ini agak kurang bertepatan dengan syariat agama. Kebiasaannya selepas je kenduri malam tu akan dibuat kenduri oleh keluarga si mati untuk sedekahkan pada arwah. Kadang-kadang tu 3 hari berturut-turut. kemudian hari ke-7 dan seterusnya hari ke-40 dan ke-90. Macam tu la kebiasaannya masyarakat kita. Sepatutnya andai keluarga seseorang itu meninggal dunia, orang lain yang patut menyediakan makan minum buat keluarga tersebut sebab keluarga tersebut dalam kedukaan seperti yang berlaku pada keluarga saidina Jaafar, Nabi saw menyuruh para sahabat menyediakan makanan untuk keluarga Jaafar sebab keluarga Jaafar ditimpa musibah.
`
"Buatlah makanan untuk keluarga Ja’far ! Kerana sesungguhnya telah datang kepada mereka apa yang menyibukkan mereka (yakni musibah kematian).” (Hadits Sahih, riwayat Imam Asy Syafi’i ( I/317), Abu Dawud, Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad (I/205))
`
Itu yang sepatutnya dibuat, bukan kita menyusahkan keluarga si mati dengan terpaksa membuat kenduri lagi dan sebagainya. Bukan perkara mudah sebenarnya untuk buat kenduri ni. Disamping belanja yang agak besar daripada biasa, banyak perkara lain yang nak diurus sepanjang majlis. Bagaimana pula bagi keluarga yang yang kurang berkemampuan. Yang meninggalnya si bapa, maka tinggallah si ibu dan anak yang ramai. Dah la si ibu surirumah sepenuh masa tidak bekerja, anak-anak pula semuanya masih bersekolah. Dari mana nak digagahkan juga untuk buat kenduri tu kalu tak menggunakan duit yang ditinggalkan si ayah. Sesungguhnya haram bagi sesiapa yang memakan harta anak yatim ni jelas hukumnya dalam syarak. Tapi bila babit dengan kenduri umpama tak berlaku sahaja. Tak pasti la pula apa hujah masyarakat kita tentang ini. Bila timbul perkara ni ada yang kata, buat kenduri tu bukan duit si mati, tetapi duit anak-anak yang bekerja dan sebagainya. Sampaikan ada disesetengah tempat apabila ada kematian tetapi tidak dibuat kenduri oleh keluarga si mati akan dipandang serong oleh masyarakat setempat. Tapi yang pasti ikut pemahaman aku yang serba dhaif dan dangkal ni andai masih melibatkan kaum keluarga yang terdekat seperti contoh anak ke, cucu ke dan sebagainya masih dikategorikan keluarga si mayat dan hukumnya masih sama. Hujah tentang itu aku dah lupa, tapi yang pasti ulama syafi'iyah sendiri dan imam syafie melarang tentang ini. Mungkin aku akan lampirkan pada keluaran yang lain tentang nas dan hujah tentang ini.
`
Berdasarkan hujah aku di atas, aku tak bermaksud menolak secara total kenduri arwah ni. Tapi apabila melibatkan perkara yang membuatkan kita jadi was-was dengan apa yang kita buat, baik kita tinggalkan. Bukan was-was yang sebagaimana, sebab tak mahu terlibat dengan apa yang dilarang dalam syarak walaupun ianya sudah bersemi dalam amalan masyarakat kini. Kadang-kadang sesetengah orang nak buat sebagai kenduri untuk memberi orang makan dan sebagainya. Itu baik sebab kenduri niat bersedekah dianjurkan dalam Islam. Tetapi apabila dibuat dalam tempoh masih bersedih (keadaan berkabung), maka ada ulama mengharamkannya. Ini yang aku takutkan kerana dianggap seperti meratapi mayat juga bagi sesetengah pendapat. Dalam bab ini pasti banyak percanggahan pendapat daripada banyak pihak.
'
Dari Jarir bin ‘Abdillah Al-Bajaly radliyallaahu ‘anhu, dia berkata : “Kami (para shahabat) menganggap berkumpul-kumpul di rumah keluarga mayat, serta penghidangan makanan oleh mereka (kepada para tetamu) merupakan sebahagian daripada niyahah (meratapi mayat)” (HR. Ahmad nombor 6905 dan Ibnu Majah nombor 1612).
`
Telah berkata Imamnya para Ulama, mujtahid mutlak, lautan ilmu, pembela Sunnah. Al-Imam Asy-Syafi’iy di kitabnya ‘Al-Um” (I/318), “Aku benci al ma’tam yaitu berkumpul-kumpul di rumah ahli mayat meskipun tidak ada tangisan, kerana sesungguhnya yang demikian itu akan memperbaharui kesedihan”.
'
Telah berkata Imam Ibnu Qudamah, di kitabnya Al Mughni (Juz 3 halaman 496-497 cetakan baru ditahqiq oleh Syaikh Abdullah bin Abdul Muhsin At Turki ) : “Adapun ahli mayat membuatkan makanan untuk orang ramai maka itu satu hal yang dibenci ( haram ). Kerana akan menambah kesusahan di atas musibah mereka dan menyibukkan mereka di atas kesibukan mereka dan menyerupai perbuatan orang-orang jahiliyyah."
'
Tak mengapalah, aku pun bukan arif untuk hujahkan lebih lanjut. Aku juga orang awam dan kebanyakan dan mampu buat apa aku rasa lebih menepati apa yang syarak kehendaki. Aku juga tak mahu nak tekankan sangat bab ini untuk berdebat dengan orang dan sebagainya. Andai keluarga si mati nak aku doakan buat arwah, boleh je aku buat di rumah dalam solat dan sebagainya tetapi yang sebaiknya adalah doa daripada anak yang soleh. Apa-apa amalan anak yang soleh juga merupakan saham buat ibu bapa bagi yang berada di alam sana walaupun tidak diniatkan anak itu amalannya untuk ibu dan bapa. Untungnya bagi seseiapa yang meninggalkan anak yang soleh dan jika sebaliknya dia diumpamakan oleh Nabi saw orang yang mandul kerana punyai anak tetapi tidak dapat membantunya dan mendoakannya untuk kesenangan alam barzakh dan akhirat kelak.
`
Semoga Allah limpahkan aku dengan hidayah dan taufiq untuk aku amalkan sesuatu amalan yang lebih menepati kehendak agama sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi saw dan doa akan selalu aku titipkan buat kedua ibu bapaku senantiasa yang berada di kampung halamanku, InsyaAllah..


4 comments:

~mardihah~ said...

saya suka baca..baru saya tahu....betul..kenduri arwah.....

jadi kebiasaan itu adalah biasa..kalau kita kata itu bidaah kebaikan?

..~..WaN PeNaNG..~.. said...

salam..
ya ukhti.. berkaitan dgn permasalahan bid'ah kebaikan (hasanah) ni panjang huraiannya. nanti jika ana ada info akan ana postingkan. untuk ana terangkan, ana bukan ahlinya. tapi yg nyata berkaitan dgn kenduri arwah ni jelas ada nas dan dalil. nanti ana hujahkan (beserta nas dan dalil) semua tu drp info yg ana dapat. mungkin ukhti lebih jelas..

Wardah said...

Salam.syukran jazilan krna share info ni..sy mmg xtau sblum ni..yg penah dgr d larang buat kenduri arwah mengikut bil hri t'tentu..

kebetulan sy pn ada m'ziarahi jenazah mggu lps..ada x hukum b'kenaan kunjungan wanita/kanak2 ke tanah p'kuburan smasa jenazah d kebumikan?sekiranya ada info yg dpt dkongsi..sbb sy melihat dr pgr p'kuburan ada kanak2 dr keluarga jenazah yg b'lari2 & bising ketika talqin dbacakan..

..~..WaN PeNaNG..~.. said...

salam..
berkaitan dgn bilangan hari satu hal, tapi spnjang mana ianya dibuat dalam keadaan kaum keluarga masih dalam keadaan bersedih (berkabung) jg merujuk hal yg sama. bg penulis sendiri walaupun nak meraikan jemputan kena tgk jg. tak mahu dikategorikan spt yg dinyatakan para ulama.

kalau nak perkatakan tentang hukumnya ukhti wardah knalah rujuk pd org yg ahli. tp sepanjang pengetahuan penulis yg kerdil ni berkaitan dgn kaum muslimat pergi ke perkuburan, mmg asalnya dilarang dan kemudiannya dimansukhkan kembali yakni dibenarkan, krn dgn pergi ke perkuburan akan membuatkan kita dapat mengingati kematian. tapi knalah jaga adap2nya spt pemakaian dan juga anak2 yg dibawa . bg ana, kaum muslimat tak pergi pun lebih baik krn takut mendatangkan fitnah. tu kne detailkan lagilah..