Tuesday, December 9, 2008

Nasihat berguna buat salafi & khalafi Malaysia..


SOALAN
soalan saya ustaz, ilmuan kaum tua dan kaum muda sekarang masih lagi berbeda pendapat hatta pada masalah yang furu'. mereka masih berfikiran sempit dan tidak mahu mengambil pengajaran atas dasar taqlid yang pernah dianuti masyarakat islam dahulu. bagaimana pandangan ustaz, peranan para ilmuan muda ini untuk mendapat tempat dalam bidang intelektual sekarang?
-hidayah-

JAWAPAN
Sedar atau tidak sedar, perselisihan dan perbezaan pendapat antara golongan yang mengkaji dan mengamalkan agama Islam di Malaysia menjadi semakin hangat. Ia semakin mendapat perhatian ramai apabila muncul di akhir-akhir ini golongan kelas pertengahan dari masyarakat yang suka mendapatkan sesuatu hukum beserta dengan dalil-dalilnya, tanpa hanya mendengar ‘halal' atau ‘haram' dan kemudian menurutinya dengan selesa. Dengan pertambahan golongan masyarakat yang sebegini, maka pendapat mazhab Syafie yang sudah biasa didengari dan dikuti tanpa banyak soal sejak turun termurun sudah mula dibuka untuk perbandingan dengan pandangan-pandangan lain, demi mendapatkan satu hukum yang benar-benar selesa dipegang oleh golongan ini. Secara tidak lansgung, tindakan ini dilihat amat negatif oleh sebilangan golongan dan kelompok masyarakat yang lain, iaitu dalam keadaan mereka sudah amat selesa dengan satu pegangan itu sejak sekian lama tiba-tiba muncul perbincangan terhadap pegangannya. Hal seperti ini menjadikan perang mulut berlaku dan ‘perdebatan dari jauh' dan dekat juga tidak kurang banyaknya.


Hasil tinjauan dan pengamatan sederhana saya, mendapati adakalanya perdebatan ini bertukar kepada perdebatan sihat kepada yang sebaliknya. Hasil dari itu, saya ingin mengambil peluang di ruang ini bagi berkongsi nasihat yang ebrguna buat sahabat-sahabat dari kedua-dua aliran. Diharap mereka sudi untuk membacanya tanpa prejudis.

Bagi saya, peranan golongan ilmuan muda hari ini antaranya :-

a) Tidak cepat menghukum sebaliknya perlulah memahami perjuangan kedua-dua kumpulan dengan baik
b) Menjaga asas dan adab serta bersabar dalam perdebatan dan perbincangan.
c) Memahami hujjah, kondisi, kesediaan masyarakat setempat.
d) Merujuk sesuatu isu dari sumber rujukan samada kitab yang benar-benar mewakili mazhab itu. Jika mazhab Syafie, maka perlulah dirujuk kitab utama yang telah disepakati oleh ribuan ulama Syafie silam seperti Ar-Rawdah, Al-Majmu', Nihayatul Muhtaj, Tuhfatul Muhtaj, Mughni al-Muhtaj, Fath al-‘Aziz dan Al-Umm. Ini antara kitab utama yang mesti dipastikan rujukan bagi mendapatkan satu fatwa yang mewakili mazhab Syafie.
e) Bersikap terbuka dan beradab dalam menilai pandangan-pandangan ulama lain dan dalil bagi setiap fatwa mereka. Dan banyak lagi peranan lain yang tidak mampu saya nyatakan di ruangan kecil ini.


Justeru, eloknya ilmuan muda dan dewasa meneliti di mana punca temu dan tembung antara dua aliran ini. Jika diteliti, kita akan dapati kedua-dua mereka bertemu dalam banyak perkara, terutamanya, bertemu dalam niat baik yang ingin disumbangkan kepada masyarakat. Kaum Muda yang di namakan juga ‘salafi', ‘tajdid', ‘sunnah' atau dicop juga sebagai ‘wahabi' pada hemat saya menginginkan seluruh masyarakat lebih 'selamat' dan hampir kepada Al-Quran & as-Sunnah (pada hemat dan penelitian mereka) ; iaitu dengan cara membawa mereka kepada pegangan Aqidah dan Ibadat yang dipaku dengan dalil sohih tanpa hanya terikat dan taqlid kepada satu aliran atau pendapat saja. Ia satu niat yang amat baik dengan mengembalikan fungsi aqal yang dikurniakan Allah SWT serta memurnikan ibadat dari rekaan-rekaan yang dijangkakan boleh menghilangkan sasaran pahala yang diletakkan oleh Rasulullah SAW.

Kaum Tua atau dikenali sebagai ‘Khalafi' yang berpegang dengan umum mazhab Syafie pula berhasrat memudahkan orang awam yang dirasakan kebanyakannya kurang mampu untuk mengikuti kaedah tadi, lalu mereka mempopularkan cara taqlid (ikutan tanpa kajian terperinci) sebagai medium penyatuan dalam masyarakat dan juga ibadah, selain menganugerahkan kemudahan buat masyarat yang majoritinya tidak punyai kemampuan untuk mengkaji secara mendalam hingga ke tahap dalil bagi sesuatu ibadat. Selain itu, mereka juga risau akan munculnya individu yang tidak berkelayakan lalu menggunakan kaedah rujukan dalil tadi sehingga menyeleweng, menurut mereka lebih baik bertaqlid kepada satu mazhab (Syafie) berbanding silap menyeleweng atau lebih baik pegang pendapat ulama syafie dari pegang pendapat sendiri yang amat tidak ‘alim.

Niat mereka ini lebih elok jika kita sedari dari asyik berbicara tentang perselisihan mereka. Selain itu, akibat peselisihan yang semakin buruk, muncul tuduhan dari kedua-dua kumpulan bahawa orang sana tidak lain hanya ingin menyesatkan dan memecah belahkan orang ramai. Masing-masing menuduh antara satu sama lain sebagai punca masalah tanpa sedar lagi kemungkinan dirinya adalah silap. Justeru, kita dapat lihat inilah perjuangan mereka semua niat adalah baik, cuma mereka berbeza dalam target bentuk pergerakan, penentuan keutamaan dan pendekatan.

Peranan Penyokong
Malangnya dengan di'api'kan oleh penyokong masing-masing yang kurang 'ilmu' dan penghayatan, maka pertembungan menjadi serius, titik selisih menjadi utama menenggelamkan hasrat murni dan titik persamaan. Hinggakan guru-guru kedua kumpulan yang pada asalnya cukup lunak dan berbaik, menjadi keras, tuduh menuduh berlaku, remeh meremeh, balas membalas, lebih amat malangnya banyak pula si 'guru' yang bertindak balas bukan dalam isu yang sebenar, tapi hanya akibat mainan mulut si anak murid atau penyokong yang suka menokok tambah bagi menyedapkan perisa, kononnya orang sana menyebut itu ini.

Suka saya nasihatkan si murid agar mengingati kembali bab 'An-Namimah' iaitu mengadu domba yang amat dicela oleh Islam. Guru mana yang tidak ‘marah' apabila dilaporkan oleh si anak murid bahawa orang sana mengatakannya mengajar ajaran yang tidak benar, sesat, hujah cetek, menolak Usul Fiqh, tak mengetahui hadith dan lain-lain. Malah lebih buruk apabila kritikan hujjah merebak kepada kritikan peribadi, rupa wajah dan lain-lain.
Nabi SAW bersabda :
Ertinya : "Tidak masuk syurga orang yang suka mengadu domba." (Riwayat al-Bukhari)

Huraian ringkas berkenaan tajuk yang disebut dalam kitab "Al-Halal Wal Haram" oleh Dr Yusof Al-Qaradawi sangat baik dibaca oleh ilmuan dan para pengaji agar tidak tergolong dalam kumpulan pengadu domba yang memburukkan keadaan, memutuskan ikatan kasih antara muslim dengan berselindung di balik ‘niat baik' kononnya untuk meluruskan orang yang sedang menyeleweng.

Saya kerap berjumpa, pertempuran hujah si 'guru', tetapi ia sebenarnya adalah hasil 'mulut' si anak murid, maka bertempurlah si 'guru' tanpa fakta yang sebenar tentang pihak sebelah sana, amat malang dan membuang masa. Inilah akibat kesimpulan sendiri dari kedua-dua belah pihak, sehingga mengadakan perkara yang tiada.

Peranan Syaitan
Dalam keghairahan menegakkan hujjah, pendekatan, keutamaan yang diletak oleh kumpulan dan perjuangan masing-masing, ramai yang tidak sedar bahawa Syaitan bertapak semakin hebat dalam diri. Sedarkah kita bahawa Syaitan pasti melontarkan rasa keakuan, ego, sombong, rasa diri ‘alim kerana hujjah mantap?. Ketika itu, secara sedar atau tidak, sekiranya hujjah di pihak lain adalah benar sekalipun , ianya tetap akan dilihat salah, sekaligus menolaknya dengan pantas, sambil merujuk ke guru masing-masing untuk mencari hujjah tambahan.

Kerap juga saya dengari di kalangan penyokong-penyokong ini merujuk kepada guru mereka sambil berkata "Ustaz , bagaimana saya nak jawab hujjah mereka yang ini, yang itu dan lain-lain" . Sedarkah kita bahawa kemungkinan hujjah itu benar?. Tetapi dalam hal ini, si penyokong seolah-olah sudah pasti ianya salah, cuma mereka kurang mahir menacri hujah menolaknya sahaja. Sang guru pula akan rasa tercabar apabila hujjahnya dipatahkan lalu dengan begitu bersemangat pula membawa ‘buah' baru untuk dilontarkan kepada ‘orang sana'.

Jika ini berlaku, tiada lagi usaha mencari kebenaran tulen, yang ada hanyalah usaha menunjukkan ke'alim'an masing-masing. Adakalanya, belum pun sesuatu hujah ‘orang sana' diamati sehingga habis ayat-ayatnya, telah digelengkan kepala, ditertawakan, diberikan senyuman sumbing tanda hinaan terhadap hujah orang lain.
Nabi SAW menyebut :
" Takabbur itu adalah menolak kebenaran dan memperlekehkan manusia" ( Riwayat Muslim)

Berkata Syeikh Abu Raghib akan erti "Batar" dalam hadith di atas :-
"Rasa ‘ujub' atau keajaiban diri yang menyelubungi individu ketika diseliputi nikmat ( termasuk nikmat ilmu)"

Inilah yang pasti berlaku dalam pertempuran hujah yang diapikan oleh para penyokong ini. Perlekehan akan berlaku, lalu timbulah ayat-ayat seperti " tak habis mengaji lagi tu" , " hidung masih berhingus nak berhujjah". " ni mesti tak faham bahasa arab dengan baik ni" , "depa ni bukan reti ilmu hadith" dan banyak lagi dari kedua-dua belah. Sihatkah ini? Benarkah perjuangan kebenaran yang didokongi atau telah terseleweng sedikit demi sedikit?.

Semoga Allah memberi rahmat buat kita semua dan mengampunkan saya dalam kesilapan pengamatan saya yang amat sederhana. Maaf buat semua jika ia mengguris anda tanpa hak.
`
`
( Diterbitkan oleh METRO AHAD, 24 Dis 06 dengan versi artikel)
Oleh : Ust Zaharuddin Abd Rahman ( dengan sedikit tambahan)

2 comments:

Anonymous said...

Satu-satunya perkara yang saya fahami kini, umat Islam amat kaya dengan ilmu, tetapi amat miskin dengan akhlak. satu-satunya tajdid yang perlu dilakukan terlebih dahulu adalah tajdid akhlak, itu lebih penting dari tajdid ilmu.

Seorang hamba abdi yang berakhlak adalah lebih mulia dari ulama yang penuh ilmu melangit tetapi miskin akhlak. Dan nabi saw juga diutuskan untuk menyempurnakan akhlak.

Satu perkara yang bagi saya lebih penting untuk dibahas dan diserapkan pada umat islam.

Tajdid akhlak lebih penting dilaksanakan terlebih dahulu dari tajdid ilmu dalam konteks umat islam masakini.


- Sunan Jibril -

Anonymous said...

tapi jika AQIDAH salah ,AKHLAKnya MULIA pun tidak berguna juga. AQIDAH yang benar akan melahirkan AKHLAK yang indah