Sunday, June 7, 2009

Khawarij Moden dan ciri-cirinya. ~ Siri 1

Pendahuluan

Berdasarkan nas-nas syara 1 dan fakta-fakta sejarah, Khawarij dianggap sebagai kumpulan sesat yang terkeluar daripada kelompok Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah disebabkan ideology dan tindakan mereka yang menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Meskipun pada zahirnya mereka nampak sangat beriltizam dengan ajaran agama, namun hakikatnya mereka telah terkeluar dari Islam melalui lidah Nabi s.a.w. sendiri. Bahkan baginda menyatakan kesungguhan untuk memerangi dan menghapuskan mereka seluruhnya serta menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah S.W.T bagi sesiapa yang memerangi mereka. Ulama firaq telah menggunakan beberapa istilah tertentu seperti al- Muhakkimah2 , ash-Shurah3 , al-Haruriyyah4 , al-Harariyyah5 , an-_awasib6 dan al-Mariqah7 sebagai gelaran bagi puak khawarij yang memang ada signifikasinya tersendiri8.

Gelaran khawarij moden bukan dilihat dari segi persamaan nama dan gelaran, kerana dalam konteks semasa tiada sesiapa lagi yang memakai gelaran-gelaran khawarij lampau. Tetapi apa yang dilihat sebenarnya ialah persamaan ideologi dan ciri antara kelompok kelompok umat Islam semasa dengan puak khawarij terdahulu. Justeru, untuk mengetahui kelompok manakah yang menyamai puak khawarij serta layak untuk ‘ditabalkan’ sebagai khawarij moden, maka perlu difahami terlebih dahulu apakah definisi, ideologi dan ciri golongan khawarij itu.


Definisi

Perkataan khawarij dari segi bahasa adalah kata jamak bagi kharij, bermaksud ‘yang keluar’, manakala dari segi istilah ia ditakrifkan sebagai: golongan yang melucutkan ketaatan dan mengisytiharkan penentangan terhadap khalifah yang sah9. Dari segi sejarah, nama khawarij dikhususkan kepada kumpulan terawal yang melucutkan ketaatan terhadap Khalifah Ali Ibn Abi Talib r.a10. Para fuqaha Islam menamakan golongan penentang khalifah yang ada kekuatan pengikut sebagai bughah11. Abd Al-Qahir al- Baghdadi (M 429 H) membahagikan mereka kepada 20 puak 12, namun, secara umumnya hanya enam puak sahaja yang dilihat sebagai puak utama, iaitu: al-Muhakkimah al-_la, al-Azariqah, an-_ajdat, as-Sufriyyah, al-Ajaridah, al-Iba_iyyah dan ath Tha_libah, daripada enam puak inilah terpecahnya pelbagai cabang puak khawarij yang lain13.


Hadith Berkenaan Khawarij

Golongan khawarij diberi perhatian serius dalam pengajian aqidah Islam kerana banyak hadith Nabi s.a.w. yang berstatus mutawatir telah mengisyaratkan tentang ancaman dan bahaya kesesatan mereka. Boleh dikatakan semua pembuku hadith ada meriwayatkan hadith tentang mereka, cuma yang berbeza hanyalah pada panjang pendeknya. Kata Abu Said al-Khudriyy r.a.:

Maksudnya: “Ali r.a. telah menghantar ketulan emas yang belum dibersihkan dari tanah, hasil kemenanganya dari Yaman kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda membahagikannya kepada al-Aqrac Tlabis, Uyainah Ibn Badr al-Faz_riyy, cAlqamah Ibn Ulathah al-c_miriyy dan Zaid a-__iyy. Tetapi pembahagian itu telah membangkitkan kemarahan Quraisy kerana mereka menganggap baginda s.a.w. lebih mengutamakan pembesar-pembesar Najd daripada mereka. Mengetahui hal itu, Baginda s.a.w. menegur mereka: “Kenapa kamu tidak mempercayai kejujuranku, sedangkan aku adalah pemegang amanah (agama) bagi pihak langit, wahyu datang kepadaku pagi dan petang, sesungguhnya hanya sanya aku lakukan itu untuk menjinakkan (hati) mereka.

Tiba-tiba bangun seorang lelaki dari Bani Tamim yang dikenali sebagai Zu al-Khuwaisirah, berjanggut lebat, bertulang pipi tinggi, bermata dalam, berdahi nonjol, berkepala botak, berkain singkat, seraya berkata: “Bertaqwalah kamu kepada Allah wahai Muhammad!’. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: “Celakalah kamu! Bukankah aku orang yang paling berhak untuk bertaqwa? Siapakah lagi yang taat kepada Allah jika aku menderhakaiNya? Kenapa Dia boleh mempercayaiku atas sekelian penduduk bumi sedangkan kamu tidak percaya kepadaku, siapakah lagi yang adil jika aku tidak adil, sesungguhnya rugilah aku jika aku tidak berlaku adil? Kemudian lelaki itupun beredar dan Umar (atau Khalid Ibn al-Walid) r.a. berkata: “Izinkan aku memenggal lehernya”. Baginda s.a.w. menjawab: “Jangan, boleh jadi dia bersolat, minta dilindungi Allah daripada orang bercakap-cakap bahawa aku telah membunuh sahabatku, biarkan dia kerana dia ada pengikut”. Umar (atau Khalid Ibn al-Walid) r.a. berkata: “Berapa ramai orang bersolat tetapi dia bercakap apa yang tidak dicakap oleh hatinya? Baginda s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk membelah perut manusia dan menebuk hati mereka. Kemudian baginda s.a.w. memandang kepada lelaki yang sedang beredar itu seraya bersabda;

“Sesungguhnya akan lahir dari keturunan lelaki ini golongan yang berumur muda dan berakal pendek, mereka bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya), bacaan quran, solat dan puasa kamu tidak standing bacaan, solat dan puasa mereka, kamu akan rasa solat kamu lekeh berbanding solat mereka, mereka sangka quran yang mereka baca adalah hujah untuk mereka tetapi sebaliknya ia adalah hujah ke atas mereka, mereka membaca quran dengan lunak tetapi ia tidak melepasi halqum mereka, mereka memerangi orang Islam tetapi membiarkan saja para penyembah berhala, mereka terkeluar dari Islam sebagaimana anak panah menembusi sasarannya, dilihat pada mata panah, pengikat mata panah, kayu panah dan sirip panah tiada sebarang kesan darah dan bulunya, sekiranya aku sempat bertemu mereka nescaya aku akan perangi mereka seperti kaum cAd, sekiranya kamu bertemu mereka maka perangilah mereka kerana memerangi mereka menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah S.W.T. pada Hari Kiamat. Petanda hal itu ialah di kalangan mereka ada seorang lelaki hitam bertangan pendek tanpa lengan, di hujung labu lengannya terdapat lebihan daging seperti payu dara perempuan yang ada beberapa helai bulu putih dan bergerak-gerak. Tanda pengenalan mereka ialah at-tahliq (bercukur kepala)14 , mereka adalah sejahat-jahat makhluk, mereka akan diperangi oleh salah satu daripada dua kumpulan yang lebih dekat kepada kebenaran. Mereka keluar (menentang khalifah) ketika orang ramai dalam keadaan berpecah belah”. Kata cAli r.a: “Jika tidak kerana bimbangkan kamu mengurangkan amalan, nescaya aku akan beritahu apa (ganjaran) yang Allah telah janjikan untuk orang yang memerangi mereka melalui lidah Nabi Muhammad s.a.w.”. Kata Abu Sa’id r.a: “Aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku mendengar (hadith) ini daripada Rasulullah s.a.w. dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku bersama (Khalifah) cAli Ibn Abi Talib r.a. telah membunuh mereka, lalu beliau perintahkan agar dicari (mayat) lelaki tersebut sehingga ia djumpai dan dibawa kepadanya, sesungguhnya aku telah melihat tanda-tandanya betul sebagaimana yang telah disifatkan oleh Rasulullah saw”15.


1 Kertas dibentangkan dalam Daurah Ta’lim Sunnah Siri II, anjuran INTIS Consultant & Training di Surau al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur pada 20 September 2008.
2 Bermaksud: Orang yang berhukum, kerana mereka mendakwa berhukum kepada Allah S.W.T.
3 Bermaksud: Orang yang menjual, kerana mereka mendakwa menjual nyawa kepada Allah S.W.T.
4 Nisbah kepada perkampungan al-Harura’ di Iraq yang menjadi tempat perkumpulan mereka.
5 Nama ini tersebut dalam kitab Ma8_3_t al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin.
6 Kata jama’ bagi an-_asib yang bermaksud: Orang yang sangat kuat penentangannya.
7 Bermaksud: Orang yang keluar.
8 Al-Ashcariyy, Abu al-Hasan cAli Ibn Ismacil (M 330 H), Ma8_3_t al-Islamiyyin Wa al- Ikhtilaf al-Musallin, Maktabah an-Nahdah al-Misriyyah, Kaherah, Mesir, 1969, 1: 206. cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, Universiti Islam Madinah, Arab Saudi, t.th, hal: 103.
9 Muhammad Muhyiddin Abd al-Hamid, Hasyiah Ma8_3_t al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin, Maktabah an-Nahdah al-Misriyyah, Kaherah, Mesir, 1969, 1: 167. cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, hal: 103.
10 cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, hal: 103.
11 Muhammad Muhyiddin Abd al-Hamid, Hasyiah Ma8_3_t al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin, 1: 167.
12 cAbd Al-Qahir Ibn _ahir al-Baghdadi, Al-Farq Baina Al-Firaq, Al-Maktabah Al-cAsriyyah, Beirut, Lubnan, 1995, hal: 72.
13 cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, hal: 103.
14 Kata al-Kirmani: “Golongan salaf tidak mencukur rambut mereka kecuali untuk ibadat haji dan umrah atau kerana keperluan, sedangkan puak khawarij menjadikannya suatu tabiat sehingga ia menjadi syiar dan identiti bagi mereka”. Lihat: Al-cAsqalaniyy, Ahmad Ibn cAli Ibn Hajar, Fath al-Bari Bi Sharh Sahih al-Bukhari, Dar al-Macrifah, Beirut, t.th, 13:537.
15 Al-Bukhari, No: 3166, 3414, 3415, 4094, 4770, 6531, 6532, 6533, 6995, 7121, 7122, 7123 dan Muslim, No: 1064-1066.
Suntingan kertas kerja daripada:

Dr Azwira Abdul Aziz
Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam
UKM, Bangi

2 comments:

Muiz Nasrallah said...

ye ke depa kata PAS khawarij?

..~..WaN PeNaNG..~.. said...

salam akhi,

tentang ini ana tak berani nak mengatakan sedemikian rupa kerana sekiranya kita mengatakan sesuatu puak atau golongan itu khawarij umpama kita mengatakan mereka itu anjing-anjing neraka.

dlm konteks ni ianya pernah diulas oleh ustaz kamen (panel al-ahkam) bila ana usulkan melalui sms dahulu yang mana dlm konteks pas di malaysia ini berbeza situasinya kerana di malaysia kita mengamalkan sistem demokrasi dan pas merupakan pasti yang sah di sisi undang2 negara. jadi ianya tak timbul dengan pengistilahan seperti berikut pada pas. lagipun pas bukan menentang pemerintah dengan mengangkat senjata.

tetapi mungkin beberapa pendekatan perlu dianalisa kembali drp beberapa aspek yang mana kita sedar bahawa pimpinan yang ada adalah pemerintah orang islam dan sewajarnya prinsip islam itu cuba ditegakkan sebaik mungkin secara total dalam mengikut apa yg kita boleh sandarkan dengan cara yg telah ditunjukkan oleh Nabi saw, para sahabat dan juga salafus soleh yg terdahulu tanpa terlalu taksub kepada parti atau kesatuan hingga andai pihak lain melakukan kebaikan, kita menolak sama sekali kerana mereka tidak sefikrah dengan kita. kebenaran lebih kita cintai daripada apa yg ada di sekeliling kita.

itu cuma pandangan bg ana yg dhaif dan serba kekurangan ini.

wallahualam.