Tuesday, June 16, 2009

Rintihan Hati Kecil..

Apabila dihayati bait-bait puisi di bawah membuatkan diri ini banyak bermuhasabah kembali. Setiap makhluk yang diberi nama insan pastinya tidak akan terlepas dari mengalami perasaan yang sedemikian rupa. Sememangnya itulah bisikan hati kecil dalam sanubari ini yang kerap timbul dari hari ke hari mengenangkan pelbagai perkara sepanjang diri ini masih diizinkan Allah bernafas menghirup udara segar di alam fana ini. Hakikat kedhaifan dan kelemahan diri dalam pelbagai aspek yang mesti ditelan kerana ianya merupakan anugerah yang telah dinokhtahkan sejak azali lagi. Cuba beri yang terbaik dalam hidup di mana aspek ibadah mengikut sunnah Nabi saw dan jalan yang ditunjukkan oleh para sahabat serta salafussoleh dalam kehidupan dijadikan batas perjalanan agar ianya tak tergelincir lagi.





HaDiRnYa KeSeDiHaN

Kesedihan..
Engkau sering datang tanpa diundang
Engkau menjelang tanpa ungkapan salam
Engkau menerpa masuk tanpa dijemput
Engkau hinggap lekat di berbagai sudut

Dengan wajah yang menyimbah resah
Dengan lidah yang menempah gundah
Dengan cara yang membawa lara
Dengan bahasa yang menjelma duka
Bagimu rupa yang bermacam warna
Hingga ku lupa membezakan nama

Kesedihan..
Pada awal mengenalimu, aku begitu terkedu
Wajahmu nan suram seakan hidup menjadi kelam
Aku terdiam dan terbungkam
Siang bagaikan malam
Cahaya bagaikan kelam
Kau cuba palutkan rasa takut dan kalut
Sehingga nafas menjadi semput dan susut
Lantas kau rampas ceria hidup yang dihirup

Kesedihan..
Tika ini, telah lama ku mengenalimu
Apa tidak, sering kau lalu dan bertamu
Entah berapa kian kali kau datang ke sini
Entah berapa waktu ku kau tunggu
Entah berapa medan dah kau ku tentang
Entah berapa lama kita berkawan tanpa sayang
Datang dan pulangmu sama sahaja
Hadir dan pergi tiada bedanya

Kesedihan..
Sejak dulu apa yang ku tahu
Setiap kali ku lihat rupa sayumu
Ku panggil syahdu nama tuhanku
Setiap kali dengar telapak kakimu bergerak
Ku seru Tuhanku dengan sebak
Setiap kali ku rasa kau mula melangkah
Jiwa ku pun pasrah, pada Allah ku berserah

Kesedihan..
Ku tahu
Kau kan terus datang
Sukar untuk dihalang
Kau kan terus bertemu
Sukar untuk dijemu

Namun..
Pabila kita berjumpa
Kau kan hambat dengan air mata munajat
Kau kan ku lontar dengan esakan istighfar
Kau kan ku siaga dengan tangisan doa
Kau kan ku gempur dengan rasa syukur

Kesedihan..
Hadirlah jika itu yang kau mahu
Moga jelmamu selalu membangunkan pilu di malam syahdu
Untuk ku basahi pipi dengan maratapi
“Ya Rabbi! Kasihi hambamu ini!.....”



Karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin 130409


1 comment:

riss said...

Ridz....

Riss suka bangat ngan bait2 puitis tersebut...

Ridz..kuatkan dirimu..k..Doa Riss selalu panjatkan kepada Allah..Mpga dirimu di bawah lindungannya..di samping ibu dan ayah mu tercinta... Mereka beruntung kerana kau adalah seorang anak yang baik....Riss Doakan Ridz berjaya k... di dalam semua impian mu...

Ridz..take care k..