Wednesday, June 17, 2009

Selami apa yang orang lain alami..


Baru-baru ini aku dapat berita daripada seorang sahabat menceritakan tentang pertunangannya yang baru berlangsung. Ucapan tahniah aku ucapkan padanya atas pertunangan itu. Maklumlah dah berkawan dengan seorang muslimat cara yang sewajarnya terus dengan ikatan. Itu yang dianjurkan dalam syarak. Lagipun sudah agak lama rasanya dia berkawan walaupun dalam jangka masa itu cuba jaga yang sepatutnya daripada terus hanyut ikut nafsu muda. Tetapi yang agak mengejutkan sedikit adalah dia mengatakan yang dia bertunang dan bakal nikah dengan orang yang baru dia kenali beberapa bulan yang lalu. Pada mulanya aku selaku sahabat tak terkata apa la juga. Tetapi cuba ku rungkai apa yang telah terjadi. Ini antara hasil perbualan kami.

“Wan, aku baru je kenal budak ni melalui seorang seorang sedara. Mula aku kenal biasa je. Tapi lama-lama bila tengok aku terus jatuh hati dan dalam masa yang sama aku tahu aku sedang berkawan dengan Milah (bukan nama sebenar). Entah la, aku pun tak tahu nak bagitau macam mana dekat kau bila aku dah jadi macam ni. Dalam masa yang sama orang tua aku dapat tau daripada sedara aku tu dan mereka suruh aku ikat dengan budak ni. Kiranya mereka pun dah kenal dengan budak ni sebelum aku lagi. Aku sebenarnya serba salah juga, tapi bila aku bagitau pada Milah aku dapat rasakan betapa hancurnya hati dia. Tapi apa daya aku Wan. Benda dah jadi. Takkan aku nak patah balik.”

Bila timbul topik-topik macam sebegini akan membuatkan pengimbasan nostalgia. Apapun sebagai sahabat mungkin ada ketika sahabat memerlukan kita untuk memberi pandangan. Apapun kita cuba rasionalkan keadaan agar dia dapat menerima dengan hati yang terbuka. Ini pula balasanku padanya yang aku tidak sampaikan secara langsung padanya pada masa itu kerana keterbatasan waktu. Aku luahkan ini sahabat sekadar dalam menyatakan pandangan apa yang mampu aku katakan. Itu sahaja walaupun bab ini pernah aku ulas dalam artikel yang sudah mungkin dalam konteks yang lain sedikit.



“Terlebih dahulu aku dahulukan ucapan tahniah atas pertunanganmu itu. Itulah yang sebaiknya kau lakukan untuk merealisasikan sesuatu perhubungan itu mengikut apa yang telah digariskan dalam syarak. Walaupun kini kau bakal berdepan dengan dugaan yang lebih kuat sebelum kau bersatu (nikah) dengan bakal zaujahmu itu. Apapun disarankan dalam masa ini mungkin boleh kau cuba kenali hati budinya tetapi mengikut lunas-lunas yang dibenarkan.

Sahabatku, apa yang boleh aku katakan aku bersimpati dengan apa yang berlaku. Memang macam kau kata, apa daya kau. Tapi kau kena ingat apapun kita sebagai manusia disuruh berusaha untuk sesuatu perkara. Kini secara tak langsung kau telah buatkan orang yang telah letak harapan pada kau yang telah kau janjikan untuk hidup bersama setelah beberapa lama berkawan walaupun dalam istilah rapat mungkin beberapa tahun ini sahaja.

Sebenarnya dalam membuat sesuatu keputusan adalah kita sendiri. Sememangnya perkara yang di hadapan kita tidak mampu untuk mengetahui sama sekali maka sebab itu dalam membuat sesuatu pilihan kita dianjurkan agar melakukan solat istikhoroh. Adakah kau melakukannya? Bagaimana pula dengan hubunganmu dahulu dengan Milah sebelum kau ambil keputusan untuk lebih akrab? Adakah kau tidak melakukannya sebelum berterus terang untuk rapat? Sebelum kau membuat keputusan tersebut adakah kau cuba meletakkan dirimu di tempat Milah terlebih dahulu? Adakah kau sedar kesan akan perbuatanmu ini pada Milah yang telah kau beri harapan?

Sebab itu pendapat orang alim mengatakan sesuatu hubungan itu yang dibenarkan hanya dengan ikatan. Bermakna sebelum ini kau telah cuba bermain dengan api sahabatku. Mungkin kesannya tak ketara bagi dirimu, tetapi hakikatnya yang boleh aku katakana besar pada diri Milah itu. Tambah pula dia seorang muslimat yang hatinya lebih kesensitivitiannya lebih berbanding muslimin. Yang muslimin pun ada yang bertahun juga untuk redakan keadaan seperti sahabat kita yang seorang tu. Yang pastinya ibadahnya dalam masa terdekat ini pasti akan terganggu secara tak langsung. Mungkin dia perlukan masa sedikit untuk meneutralkan keadaan. Mungkin makan masa berminggu, mungkin berbulan, mungkin bertahun dan mungkin juga untuk selamanya sahabatku.

Kau kini telah berjaya dalam kerjaya tapi pernahkah dahulu kau ingat orang dan sahabat yang berada di sisimu yang memberi semangat dan kekuatan dari belakang ketika alam belajar dahulu. Mungkin juga Milah salah seorangnya walaupun ketika itu dia hanya kawan biasa. Secara tak langsung dapat aku katakan berlaku sedikit walaupun mungkin bukan dalam istilah sebenar ketidak adilan di sini. Ini kerana andai tidak salah aku kau pernah mengatakan keluargamu juga mengenali si Milah ini dan sama juga dengan keluarganya. Mengapa tidak sahaja Milah yang menjadi tunanganmu untuk ini? Adakah kau membawa bincang usul ini dengan keluargamu dahulu tentang ini. Minta pandangan orang yang lebih tua dan sebagainya. Inilah yang dinamakan usaha sahabatku. Bukan sekadar terus membuat keputusan apabila diusulkan berbuat demikian. Itu yang bermain dan berlegar-legar di fikiranku. Adakah dia tidak mempunyai ciri muslimah yang kau idamkan? Tetapi dahulu kau katakan apa yang kau cari ada padanya. Wallahua’lam. Hanya kau sendiri yang mampu untuk jawab semua persoalan-persoalan yang aku lontarkan di atas.

Aku sendiri tak tahu apa janji dan kata-kata manis yang pernah kau ucapkan padanya. Yang pasti semua itu akan dia kenang sampai bila-bila. Tak mudah nak buang itu semua walaupun pasti kau bukan lagi milik dia. Patutnya kau sedari bahawa kita disarankan pegang dengan janji dan apa yang kita lafazkan dan andai kau tidak berjanji apa-apa mungkin ianya ada kebaikannya di situ. Apapun ini juga hanya kau sendiri yang mampu untuk menjawab. Yang nyata di sini dapat aku katakan di mana sebelum ini kau belum benar-benar kasih akan Milah dalam erti kata yang sebenar walaupun dalam kau cuba arahkan hubungan kepada ikatan yang sah. Ini hakikat yang boleh aku katakan.

Kemaafan ku pohon padamu sahabatku. Bukan bermaksud dengan lontaran pandangan ini semua cuba merentap hatimu mahupun untuk membuatkan kau berasa serba salah tetapi aku nyatakan semua ini apabila aku cuba letakkan diri di tempat Milah itu sendiri. Adakah kau melakukan ini sebelum kau membuat keputusan dahulu? Apapun kau punya jawapan yang tersendiri untuk menyatakan pendirian tentang ini yang mungkin tak sempat untuk kau tuturkan padaku temph hari.

Apapun kini kau telah bergelar tunangan orang. Maka sewajarnya kau arahkan fokusmu padanya. Andai sebelum ini kau tanyakan pandanganku mungkin ini yang boleh aku nyatakan padamu merangkap seorang sahabat. Tapi kini keadaan bagaimanapun kau kena readh juga. Lagi tidak wajar pula andai kau cuba putuskan. Pohonlah kemaafan daripada tuan empunya diri dan pohon ampunlah kepada Allah. Yang pasti dosa sesame manusia akan terhapus dengan kemaafan dari manusia. Apapun aku doakan kau akan terus kekal bahagia dengan pilihan hatimu dan keluargamu hingga saat tunangmu ini kau ijab kabulkan nanti dan bakal dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah, InsyaAllah..."
'
.... Sebenarnya siapa yang menepati janji (yang dibuat)nya dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertakwa. (Ali-Imran - 3)

No comments: