Sunday, June 28, 2009

Peranan institusi masjid kini..


Setelah beberapa lama tidak berpeluang untuk buat penambahan artikel dalam blog ni akhirnya baru punya masa yang boleh untuk kembali nukilkan sesuatu. Sememangnya alam kerja ni masa banyak dihabiskan dengan apa yang diamanahkan. Tambah pula bila kena ambil alih sesuatu tugasan luaran ni. Selalu kerja luar dan perlu mengawasi beberapa perkara yang melibatkan plan mengikut perancangan jadual, kewangan dan sebagainya. Apapun cuba beri yang terbaik dan semampu mungkin sebab fikir amanah dan nak cari rezeki yang halal untuk diri dan keluarga.

Untuk artikel kali ini ada sesuatu yang penulis rasakan untuk kongsi bersama dengan program forum minggu lepas hari Ahad malam yang diadakan di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang. Info berkaitan tentang ini pun setelah tengok banner dan iklan kat surau dan juga tepi jalan. Tambah pula diingatkan oleh Kak Norish, teman kepada kenalan baik penulis di sini yang pada sebelah petang harinya. Dia dan keluarga juga akan menghadiri majlis tersebut. Sememangnya andai berkesempatan penulis akan cuba hadiri apa jua majlis ilmu yang berkelapangan walaupun kini suasana sudah tak seperti di kampung halaman yang senantiasa hidup pada malam harinya. Kini malam cuma keluar untuk solat mahgrib dan isyak sahaja. Tambah pula kerap outstation ni lagi la kan. Apapun semoga apa jua bidang yang bakal penulis ceburi andai ianya baik utk agama, diri, keluarga dan masyarakat moga Allah mudahkan, InsyaAllah. Doa yang selalu penulis panjatkan dalam solat harian.


Penulis gerak keluar sebelum maghrib terus ke Masjid Subang Perdana. Setelah solat fardhu maghrib terus iktikaf sementara tunggu waktu isyak nanti untuk ke forum. Ada juga kuliah mingguan tentang pengajian tasawuf agaknya kerana antara topik yang diperbincangkan adalah berkaitan dengan permasalahan hati. Kuliah kali ini juga dihabiskan awal kerana al-fadhil ustaz beri peluang jemaah untuk hadiri forum katanya. Tak maksud nak ulas tentang kuliah ini dalam artikel kali ni. Setelah solat isyak, penulis terus capai kapcai buruk dan pergi menuju masjid yang penulis rasakan berlangsungnya forum tersebut.




Sememangnya penulis sendiri tak berapa pasti kat mana Masjid An -Nur yang dimaksudkan. Mulanya ingatkan masjid tepi jalan nak ke Shah Alam selepas shell dari kampung melayu subang tu tapi bila sampai sahaja masjid dah gelap. Pasti masjid yang lain agaknya, tapi dalam masa yang sama beberapa motor pengiring ada kat tepi masjid dan 2 buah kereta mewah kat situ. Pastinya orang kenamaan yang solat kat situ agaknya yang tiba-tiba terlintas barisan panel forum juga ahli exco negeri dan mantan pegawai istana tentu meraka sebenarnya yang datang ni.. Terus ambil kesempatan turut serta tapi dalam jarak yang jauh la. Maklumlah kita kapcai je yang iringi tu motor besar. Jauh panggang dari api la katakan. Tapi kelibat mereka hilang di celah-celah kesibukan jalan apabila masuk sahaja ke kampung melayu subang. Setelah berlegar-legar beberapa ketika, penulis nekad redah sahaja ikut lorong ke dalam yang nampak seperti ramai orang ke sana. Boleh je nak tanya orang, tapi tengokkan kebanyakannya tak nampak yang berpakaian nak ke masjid. Cumanya ramai orang di kedai makan dan kedai runcit sahaja. Akhirnya keredahan penulis membuahkan hasil dengan berjaya menemui Masjid An-Nur tersebut. Sememangnya kawasan di dalam ini penulis sendiri belum pernah memasukinya. Teruknya diri ni terasa kerana masjid yang tersergam indah kat dalam ni belum pernah diziarahi walaupun selalu je masuk ke kawasan ini tapi tidak kawasan dalamnya cuma luaran sahaja.


Setelah meletakkan motor penulis terus cuba untuk masuk ke dalam kawasan masjid tetapi tiba-tiba bekalan elektrik terputus setelah pengerusi majlis mengumumkan ketibaan ahli panel dan meminta sedikit masa ahli panel untuk menjamah sedikit makanan. Tapi sekejap sahaja dan masalah tersebut dapat diatasi dengan cepat. Di kesempatan blackout ini penulis ambil kesempatan melakukan solat tahiyatul masjid di kawasan tepi masjid dan kemudian masuk ke dalam ruang tempat solat yg telah penuh dipenuhi muslimin dan muslimat. Memang ramai yang menghadirkan diri sehingga penuh ruangan dalam dan luar masjid. Beberapa ketika kemudian pengerusi majlis menjemput ahli panel dan moderator majlis utk terus memulakan majlis.


Moderator adalah al-fadhil Ustaz Roslan dan ahli panelnya yang tak asing di Malaysia iaitu exco kerajaan negeri Selangor, YB Dato’ Dr. Hassan Mohd Ali dan mantan pegawai istana negara, Dato’ Hassan Din Al-Hafiz. Tajuk diskusi forum pada malam tersebut adalah berkaitan peranan masjid dalam perpaduan ummah sejagat. Majlis diskusi diselitkan dengan sedikit unsur humor yang dibuat oleh tuan moderator dan juga ahli panel sekadar untuk lebih menceriakan majlis pada malam tersebut.

Apa yang penulis nak kongsikan bersama adalah beberapa perkara yang disentuh pada malam tersebut yang boleh untuk sama-sama kita renungkan untuk pengiktibaran bagi diri kita. Ini pun apa yang masih berlegar dalam kepala penulis kerana penulis tidak membawa kertas dan pen untuk catatan. Ini antara kelemahan penulis kerana walaupun sudah berkali ditegur oleh guru yang mana zaman sekarang keadaan sudah terbalik guru datang bawa kitab manakala anak murid tadah dengan bawa telinga je. Maklumlah zaman ICT skrg ni, otak manusia dah macam komputer la katakan. Imam Syafie dahulupun yang sebegitu bijaksana pun menulis dengan menggunakan jari pada tapak tangan menggunakan jari sekadar mencukupkan syarat dalam menuntut ilmu, tapi kini murid-murid lebih hebat lagi. Tempelaknya memang kena atas batang hidung ni.



Ini antara ulasan topik yang diulas oleh Dato’ Hassan Din Al-Hafiz tentang topik yang dibincangkan. Kupasan awal yang diberikan adalah berkaitan dengan peranan masjid dan juga keadaan persekitaran dahulu dengan sirah Nabi saw dihuraikan. Antara lain adalah pengalaman beliau yang telah lama dalam bidang dakwah ini yang mana beliau juga pernah digam (tidak dibenarkan) daripada memberi ceramah di sebuah negeri dan juga beberapa masjid yang cuba mendapatkan khidmat ceramah beliau ajk masjid tersebut akan diberi amaran oleh pihak atasan. Sememangnya beliau yang tidak mewakili mana-mana parti sekalipun dikenakan tindakan yang sedemikian, lagilah yang sememangnya terang-terang dalam sesebuah parti lagilah sukar untuk mendapat permit kerana untuk mengadakan kuliah mahupun ceramah cumanya penceramah yang diberi tauliah oleh pihak penguasa agama negeri sahaja yang dibenarkan.

Lagi berkaitan dengan pemberian saguhati kepada penceramah yang mana rasanya pernah diungkapkan sewaktu penulis berada di kampung penulis di mana beliau dijemput untuk menyampaikan ceramahnya. Kini masyarakat kebanyakannya tidak lagi memandang tinggi kepada orang alim mahupun ulama tetapi melebihkan para artis. Ini beradasarkan sebuah cerita di mana sebuah organisasi telah mengadakan sebuah majlis di mana di siang hari dijemput Mawi menyampaikan 3 buah lagu dan sebelah malamnya dijemput seorang ustaz luar untuk menyampaikan ceramah agama. Bagi bayaran yang diberikan Mawi memperoleh lebih kurang RM18,000, manakala penceramah mendapat RM500. Saudara-saudara nilailah sendiri tahap pandangan masyarakat kini akan seorang tokoh agama dan juga orang seni. Sebab itu kini berbagai rancangan hiburan cuba mencungkil bakat seni bercambah kalau kita lihat dalam media-media elektronik. Ibu bapa lebih bangga jika anak mereka menjadi penyanyi berbanding ustaz mahupun ustazah kerana dunia kini sebegitu rupa.

Solat berjemaah ditekankan agar setiap umat Islam khususnya di selangor ini mampu untuk datang berjemaah bukan sahaja penuh sewaktu solat jumaat tetapi juga solat fardhu harian juga seramai yang hadir untuk solat jumaat. Apabila disebut dengan masjid antara 7 golongan yang bakal mendapat naungan arasy Allah di akhirat kelak adalah anak muda (lelaki) yang hatinya terpaut pada masjid. Moga penulis yang serba kedhaifan dan kekurangan ini Allah beri kekuatan hidayah dan taufiq untuk ini walaupun sememangnya sukar untuk istiqomah sebenarnya.


'


Seterusnya antara kupasan YB Dr. Hassan Mohd Ali adalah seperti berikut. 1 Jun 2009 yang lalu seluruh masjid dan surau yang terdapat dalam negeri Selangor telah diberi mandat melantik ajk dan nazir baru serta bancian penduduk musliam dibuat dalam mengenal pasti anak-anak qariah. Beliau selaku orang yang bertanggungjawab akan hal ehwal agama negeri telah memberi keizinan sesiapa sahaja para agamawan yang dahulunya sudah bertahun tidak memperoleh permit atau tauliah untuk mengajar akan dimudahkan untuk itu. Malah sesetengahnya dipanggil datang ke pejabat untuk memberi tauliah agar dapat mengajar di masjid-masjid. Ajk-ajk masjid diminta memainkan peranan dengan mengadakan sebanyak mana mungkin program untuk anak qariah agar masjid senantiasa menjadi kunjungan setiap lapisan masyarakat baik anak-anak kecil, muda mudi mahupun orang-orang veteran. Di masjid boleh diadakan tuisyen untuk anak-anak dan juga penganjuran sukan seperti futsal dan sebagainya untuk menarik minat anak-muda kini mengunjungi masjid.

Sebolehnya hasrat beliau cuba untuk mengaplikasikan peranan masjid kembali seperti zaman Nabi saw di mana ianya menjadi nadi tempat pusat umat Islam dalam sebarang pengurusan tidak hanya fokus untuk ibadah solat semata-mata. Dengan cuba membuat perbandingan masjid di Singapura yang mana majoritinya sedikit tetapi peranan masjid sangat besar dengan dipenuhi aktiviti dari pagi hingga malam harinya terutama di hari cuti. Harapan beliau juga supaya setiap masjid mampu untuk membentuk pelapis bakal-bakal orang yang mampu untuk gerakkan Islam di muka bumi Allah ini.


Satu lagi yang menarik dikupas oleh Dr. adalah bagi para penceramah terutamanya jangan sekali-kali membangkitkan hal kepartian sesebuah pasti secara langsung dalam masjid, menghentam dan memburuk-burukkan individu-individu dengan menyebut nama secara langsung kerana ianya sememangnya dilarang sama sekali kerana bakal menimbulkan ketegangan dan permusuhan. Biarlah masjid dijadikan platform untuk penyampaian ilmu agama agar hati sanubari setiap muslimin dan muslimat hendak kembali kepada fitrah beragama seperti para sahabat dan salafussoleh yang telah ditunjukkan oleh Nabi saw. Keikhlasan beliau menyatakan ini menunjukkan beliau tidak menyeru masyarakat kepada kepartian tetapi sebaliknya kembali kepada Allah dan Rasul kerana sekiranya manusia hendak kembali kepada Allah dan Rasul pastinya mereka akan memilih kepada pemimpin yang baik agamanya untuk dijadikan sebagai pemimpin.

Akhir sekali nasihat diberikan agar ajk-ajk baru untuk tahun ini akan beri komitmen sebaik mungkin dengan amanah yang diberikan agar institusi masjid kembali utuh seperti di zaman kegemilangan Islam dan kesannya akan dirasai oleh penduduk persekitaran dan tidak hanya kepada orang Islam tetapi juga bukan Islam juga akan turut terkesan. Manfaatkan pemberian duit masjid yang digunakan dengan bijaksana bukan dengan hanya membiarkan di dalam bank untuk dibiarkan beranak pinak tetapi orang yang memberi sedekah itu mengharapkan agar ianya dimanfaat bersama untuk saham akhirat nanti, InsyaAllah. Itu adalah antara pengharapan beliau di akhir rumusan majlis diskusi walaupun banyak lagi sebenarnya isi kandungan yang penulis sendiri tidak ingat. Maklumlah otak komputer la katakan konon-kononnya.

1 comment:

riss said...

Ridz...

Riss terasa sesuatu terhadap dirimu. Semoga Allah melanjutkan usiamu san murahkan rezeki mu...Riss terharu ngan taipan mu itu.

Ridz..Teruskan perjuangan mu. Doa Riss..Usaha Ridz terus berjaya di samping mendapat seorang isteri yang baik. dan impian mu tercapai.