Thursday, February 12, 2009

Aqidah Imam Empat Adalah Satu - Imam Malik

PEMBAHASAN KETIGA

AQIDAH IMAM MALIK BIN ANAS
Imam Syafi’i berkata: Imam Malik ditanya tentang Kalam dan Tauhid, lalu Imam Malik menjawab: Adalah mustahil jika kita menyangka Nabi Muhammad s.a.w. mengajar umatnya istinjak tetapi tidak mengajar mereka Tauhid. Dan Tauhid adalah sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. Aku disuruh memerangi manusia sehingga mereka berkata Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah. (HR Imam Bukhari) Hakikat Tauhid adalah segala yang dengannya terpelihara harta dan darah.(27)

Daripada Ja’far Bin Abdullah katanya: Kami pernah duduk berdekatan dengan Imam Malik lalu seorang lelaki bertanya kepada beliau: Wahai Abu Abdillah, Allah Yang Maha Pengasih bersemayam di atas `Arasy, bagaimana Dia bersemayam? Imam Malik menjawab: Tentang bagaimana Dia bersemayam tidak boleh diakali (ghair ma’qul), dan bersemayam-Nya bukan suatu yang dijahili (ghair majhul), beriman kepadanya (bersemayam) adalah wajib, dan bertanya tentangnya adalah bid’ah. (28)

Daripada Yahya Bin Al Rabi’ katanya: Aku pernah dudukbersama Imam Malik lalu beliau ditanya oleh seorang lelaki: Wahai Aba Abdillah, apakah pandangan tuan tentang orang yang mengatakan bahawa Al-Quran itu makhluk? Imam Malik menjawab: Dia adalah Zindiq dan bunuhlah dia (29). Daripada Abdullah Bin Nafi’ katanya: Telah berkata Imam Malik: Allah adalah di langit dan Ilmu-Nya pada semua tempat. (30)


TENTANG IMAN
Daripada Abdul Razzak Bin Hammam katanya: Aku mendengar Ibnu Juraij dan Sofyan Al Thauri dan Ma’ mar Bin Rasyid dan Sofyan Bin `Uyainah dan Malik Bin Anas; mereka berkata: Iman adalah ucapan dan amalan, boleh bertambah dan boleh berkurang. (31)

Daripada Abdullah bin Nafi’ katanya: Imam Malik berkata: Iman adalah ucapan dan perbuatan.(32) Daripada Asyhab Bin Abdul Aziz katanya: Imam Malik berkata: Manusia melakukan solat selama 16 bulan menghadap ke arah Bailtil Maqdis, kemudian mereka diperintahkan supaya menghadap ke arah Masjid Al Haram, lalu Allah SWT berfirman, mafhumnya: Dan Allah tidak akan menyia-nyiakan imanmu. (Al Baqarah: 143) Maksudnya: Allah tidak akan menyia-nyiakan solatmu kearah Baitil Maqdis. Imam Malik berkata: Sesungguhnya ayat ini mengingatkan aku kepada perkataan golongan Murjiah: Sesungguhnya solat bukanlah sebahagian daripada iman. (33)


TENTANG SAHABAT
Daripada Abdullah Al’Anbary katanya: Imam Malik Bin Anas telah berkata: Siapa yang memperlecehkan atau memperkecil-kecilkan salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. atau di dalam hatinya terdapat perasaan dengki kepada sahabat, maka ia tidak berhak mendapat bahagian di dalam harta rampasan perang kaum muslimin. Kemudian beliau membaca ayat, mafhumnya: Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshar), mereka berdoa: Ya Tuhan kami beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman (AL Hasyr: 10) (34) .

Daripada Abdullah bin Nafi’ katanya: Ketika kami sedang dudukduduk memperkatakan tentang seorang lelaki yang memperkecilkecilkan sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. lalu Imam Malik membaca ayat ini, mafhumnya: Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesame mereka; sehingga tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin) (Al Fath: 29)
Kemudian Imam Malik berkata: Sesiapa yang terdapat di dalam hatinya perasaan jengkel (sakit hati) terhadap salah seorang sahabat Rasulullah s.a.w. maka ia termasuk ke dalam ancaman ayat ini. (35)

Daripada Asyhab Bin Abdul Aziz katanya: Seorang `Alawy (fanatik kepada Saidina Ali) bertanya kepada Imam Malik: Siapakah manusia yang paling mulia sesudah Rasulullah s.a.w. ? Imam Malik menjawab: Abu Bakar. `Alawy bertanya lagi: Kemudian siapa? Malik menjawab: Umar Ibnu Al Khattab. `Alawy bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Malik menjawab: Khalifah yang dibunuh secara zalim iaitu Uthman. Lalu `Alawy berkata: Demi Allah, aku tidak akan berguru kepadamu lagi untuk selamalamanya Imam Malik menjawab: Terserahlah kepada kamu. (36)


TENTANG ILMU KALAM
Daripada Mash’ab Bin Abdullah Al Zubairy katanya: Imam Malik Bin Anas berkata: Aku benci terhadap kalam dalam urusan agama, dan penduduk negeri kami tetap membencinya dan mereka melarang daripadanya, seperti kalam tentang pandangan Jahmiah dan Qadariah dan yang seumpama itu. Beliau tidak menyukai kalam kecuali dalam perkara yang dapat diamalkan. Adapun kalam dalam agama Allah dan pada Dzat Allah Azza Wa Jalla maka berdiam diri (sukut) adalah lebih aku sukai kerana aku melihat penduduk negeri kami semuanya melarang kalam dalam urusan agama kecuali yang berkaitan dengan amal perbuatan. (37)

Daripada Abdullah bin Nafi’ katanya: Aku pernah mendengar Imam Malik berkata: Jika seseorang yang telah melakukan semua dosa-dosa besar selain syirik, kemudian dia berlepas diri daripada mengikuti hawa nafsu dan perbuatan bid’ah (lalu Imam Malik menyebut di antaranya Kalam) maka ia akan masuk syurga. (38)

Daripada Ishak Bin Isa katanya: Aku mendengar Imam Malik Bin Anas mencela perbuatan-perbuatan berbantah-bantahan (jidal) dalam urusan agama, beliau berkata: Setiap kali datang kepada kami orang yang gemar berbantahan seolah-olah ia menginginkan agar kami menolak apa yang dibawa oleh Jibrail kepada Nabi Muhammad s.a.w. (39)

Daripada Abdul Rahman Bin Mahdy katanya: Seorang lelaki bertanya kepada Imam Malik , lalu Imam Malik berkata: Barangkali engkau salah seorang sahabat daripada ‘ Amr Bin ‘ Ubaid, mudah-mudahan Allah menurunkan laknat-Nya ke atas ‘Amr Bin ‘ Ubaid kerana dialah orang yang memulai bid’ah kalam ini , kalaulah kalam itu suatu ilmu nescaya perkara ini menjadi percakapan di kalangan para Sahabat dan Tabi’in sebagaimana percakapan dan perbincangan mereka tentang hukum hakam dan syariat. (40)

Daripada Asyhab Bin Abdul Aziz katanya : Aku mendengar Imam Malik berkata : Jauhilah bid’ah. Beliau ditanya : Wahai Aba Abdillah , apakah bid’ah itu ? Jawabnya: Ahli Bid’ah ialah orang orang yang memperkatakan (yatakallamuun) tentang Nama nama dan Sifat sifat Allah , tentang Kalam-Nya, Ilmu-Nya, Kudrat-Nya. Mereka tidak diam (yaskutuun) sebagaimana diamnya para sahabat dan pengikut pengikut mereka dengan ihsan. (41)

Daripada Imam Syafii’ katanya : Jika datang kepada Imam Malik sebagian daripada Ahli Ahwaa’ (Orang orang yang gemar mengikuti hawa nafsu seperti ahli kalam), lalu beliau akan berkata kepada mereka : Adapun aku telah berada di dalam keyakinan yang jelas (bayyinah) yang datang daripada Tuhanku, sedangkan kamu berada di dalam keraguan (syak), oleh sebab itu pergilah kamu kepada keraguanmu dan musuhilah dia. (42)
'
Oleh: Ustaz Dr. Abdullah Yasin

Sumber rujukan:
27. Zamm al-Kalam; Q-210
28. Al-Hilyah; VI /325-326
29. Al-Hilyah; VI /325
30. Al-Tamhid; Ibn Abd al-Barr; VII/ 138
31. Al-Intiqaa; Hal 34
32. Al-Hilyah; VI /327
33. Al-Intiqaa; Hal 34
34. Al-Hilyah; VI /327
35. Ibid VI/327
36. Tartib al-Madarik; II/45-46
37. Jaami’ al-Bayan al-‘ilm wa Fadhlih; Hal 415
38. Taqrib al-Tahdzib; I-60
39. Syarh Ahl al-Hadith; Hal. 5
40. Zamm al-Kalam; Q-173-B
41. Ibid; Q-173-A
42. Al-Hilyah; VI /327


No comments: