Oleh: Ustaz Dr. Abdullah Yasin
PEMBAHASAN PERTAMA
Aqidah Imam Empat iaitu Imam Abu Hanifah , Imam Malik , Imam Syafi’i dan Imam Ahmad Ibnu Hanbal adalah satu iaitu aqidah sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w dan sebagaimana aqidah para sahabat dan golongan yang mengikuti jejak langkah mereka dengan baik. Alhamdulillah, di antara mereka tidak terdapat percanggahan dalam Ushuluddin atau asas-asas agama, malahan kesemua mereka bersepakat tentang iman terhadap sifat-sifat Allah, Al- Quran adalah Kalam dan bukan makhluk, Iman mestilah bersesuaian antara ucapan lisan dan keyakinan hati, bahkan mereka bersepakat mengingkari Golongan Ahli Kalam seperti seperti Jahmiyah dan seumpamanya yang sudah terpengaruh dengan falsafah Yunani dan Mazhab-Mazhab Kalamiyah.
Imam Ibnu Taimiyah berkata : (….namun berkat rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya bahawa Imam-Imam yang menjadi ikutan umat seperti Imam- Imam yang empat dan lain-lain, semua mereka mengingkari Ahli Kalam seperti Jahmiyah; tentang keyakinan mereka terhadap Al-Quran, Iman dan Sifat-sifat Allah. Kesemua mereka mempunyai satu pendirian dan keyakinan sebagaimana pendirian dan keyakinan Salafus Soleh bahawa Allah S.W.T.dapat dilihat di akhirat, dan Al-Quran itu Kalamullah bukan makhluk, Iman pula mestilah gabungan daripada ucapan lisan dan keyakinan hati………).(1)
Imam Ibnu Taimiyah ditanya tentang I’tiqad Imam Syafi’I, jawabnya: “ I’tikad Syafi’i r.a dan I’tikad Salaf Al Ummah seperti Malik, Al Thaury, Al Auza’i, Ibnu Al Mubarak, Ahmad Ibnu Hanbal, Ishak Bin Ruhawaih adalah sebagaimana I’tikad Masyaikh Al Muqtadaa (Syeikh-syeikh yang menjadi teladan umat) seperti Al Fudhail Bin ‘Iyadh, Abu Sulaiman Al Daraany, Sahl Bin Abdullah Al Tustury dan lain-lain. Tidak terdapat perbezaan pandangan di antara mereka dalam hal yang bersangkutan dengan Ushuludin. Demikian juga Imam Abu Hanifah Rahimahullah kerana i’tikad yang thabit daripada beliau tentang Tauhid dan Qadar dan yang seumpamanya adalah bersesuaian dengan I’tikad mereka. Manakala I’tikad mereka adalah sebagaimana I’tikad Para Sahabat dan Tabi’iin iaitu apa yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.” (2)
Pandangan ini telah dipilih oleh Al’Allaamah Shadiq Hasan Khaan, katanya: “Maka mazhab kami adalah sebagaimana mazhab Salaf iaitu Ithbat tanpa Tasybih, Tanzih tanpa ta’thil. Inilah mazhab Imam- Imam Utama Umat Islam seperti Malik Syafi’I, Al Thaury, Ibnu Al Mubarak dan Imam Ahmad …….dan lain-lain lagi. Tidak terdapat di antara mereka sedikitpun percanggahan dalam hal Ushuluddin. Demikian juga dengan Imam Abu Hanifah r.a. kerana I’tikad yang thabit daripada beliau ialah sebagaimana I’tikad Imam-Imam yang lain iaitu sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w ."(3)
Berikut ini akan kami dedahkan nukilan kata-kata Imam-Imam Yang Empat yang menjadi ikutan ramai umat Islam iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Al Syafi’I dan Imam Ahmad Ibnu Hanbal tentang apa yang mereka I’tikadkan dalam masalah-masalah Ushuluddin serta penjelasan tentang sikap mereka masing-masing terhadap Ilmu Kalam.
PEMBAHASAN KEDUA
AQIDAH IMAM ABU HANIFAH
Imam Abu Hanifah berkata: Tidak wajar seseorang berdoa kepada Allah kecuali dengan-Nya dan doa yang diizinkan serta disuruh Allah adalah sebagaimana yang tertera dalam firman Allah, mafhumnya, (4) Hanya milik Allah Asma-ul husna maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut Asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orangorang yang menyimpang daripada kebenaran dalam menyebut nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan (Al A’raf: 180)
Abu Hanifah berkata: Adalah dibenci jika seseorang berdoa dengan mengatakan: Aku memohon kepada-Mu dengan hak si fulan atau hak Nabi-Nabi-Mu dan hak Rasul-Rasul-Mu atau hak Al Bait Al Haram dan Al Masy’ar Al Haram. (5)
Abu Hanifah berkata: Allah tidak boleh disifati dengan sifat-sifat makhluk; MurkaNya dan RedhaNya adalah dua sifat di antara sifat-sifatNya tanpa takyiif. Inilah keyakinan Ahlus Sunnah Wal Jamaah iaitu Dia Murka dan Dia Redha; Dan tidak boleh dikatakan MurkaNya itu adalah seksa-Nya, dan Redha-Nya itu Ganjaran-Nya. Kita mestilah mensifati-Nya sebagaimana Dia sendiri yang mensifati diri-Nya; Al Ahad, Al-Shamad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa lam yakun Lahuu Kufuan Ahad. Dia Maha Hidup, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui, Tangan Allah di atas tangan mereka, Tangan-Nya tidak sebagaimana tangan-tangan makhluk-Nya, dan Wajah-Nya tidak sebagaimana wajah-wajah makhluk-Nya. (6)
Abu Hanifah berkata: Allah mempunyai tangan dan wajah sebagaimana Allah menyebutnya di dalam Al Quran. Maka apa yang disebutkan oleh Allah di dalam Al Quran seperti menyebut tangan dan wajah, itu adalah sifat bagi-Nya tanpa takyiif (mempertikaikan tentang bagaimana). Kita tidak boleh mengatakan tangan-Nya adalah kuasa-Nya atau ni’mat-Nya kerana yang demikian itu bererti kita telah membatalkan sifat Allah (Ibthaalus Sifat), dan pandangan seperti inilah sebenarnya pandangan Qadariyah dan Mu’tazilah (7).
Abu Hanifah berkata: Tidak wajar bagi seseorang memperkatakan sesuatu tentang Dzat Allah, bahkan dia sepatutnya mensifati Allah dengan apa yang telah Allah sifatkan kepada diri-Nya. Kita tidak sepatutnya memperkatakan sesuatu tentangnya berdasarkan akal semata, Maha Suci Allah Tuhan sekalian alam. (8)
Abu Hanifah berkata: Sesiapa yang berkata, “Saya tidak tahu, adakah Allah itu di langit atau di bumi” maka dia kafir, demikian juga orang yang berkata: Sesungguhnya Dia di atas Arasy tetapi saya tidak tahu adakah `Arasy itu di langit atau di bumi. (9)
Abu Hanifah berkata: Al-Quran adalah Kalamullah, di dalam mashhaf dia ditulis dan di dalam hati dia dihafaz dan pada lidah dia dibaca, dan ke atas Nabi s.a.w. diturunkan (10).
TENTANG QADAR
Dia berkata: Adalah Allah Maha Mengetahui segala sesuatu sejak azali sebelum sesuatu itu wujud lagi (11).
Dia berkata: Allah Maha Mengetahui tentang sesuatu yang tiada (ma’dum) dalam hal ketiadaannya, dan Dia Maha mengetahui bagaimana keadaannya jika Dia mewujudkannya, dan Allah Maha Mengetahui bagaimana kelak yang wujud itu akan musnah (12).
Dia berkata: Kami menyakini bahawa Allah menyuruh Qalam supaya menulis, lalu Qalam berkata: Apakah yang akan aku tulis, wahai Tuhan? Maka Allah berfirman kepadanya: Tulislah olehmu apa yang akan terjadi hingga ke Hari Kiamat. Ini berdasarkan firman Allah :(13) Dan segala sesuatu yang telah mereka perbuat tercatat dalam buku-buku catatan. Dan segala (urusan) yang kecil mahu pun yang besar adalah tertulis (Al Qamar: 52-53).
Dia berkata: Kami menyakini bahawa hamba (manusia) bersama amalannya dan ikrarnya dan ma’rifatnya adalah makhluk. Sebab jika orang yang melakukan perbuatan (Faa’il) itu adalah makhluk maka adalah lebih utama perbuatan-perbuatannya (Afaal) itu adalah makhluk (14).
Dia berkata: Segala perbuatan hamba, sama ada pergerakannya ataupun diamnya adalah usaha atau ikhtiar mereka. Dan Allah Yang Menciptanya. Semuanya adalah dengan kehendak-Nya, Ilmu-Nya, Qadha-Nya dan Qadar-Nya. (15)
Dia berkata: Semua perbuatan hamba, sama ada pergerakan; ataupun diamnya adalah usahanya secara hakiki (sebenarnya) dan Allah menciptakannya. Semuanya adalah dengan kehendak- Nya dan ilmu-Nya dan Qadha-Nya dan Qadar-Nya. Semua ketaatan adalah wajib dengan perintah Allah dan dengan Kesukaan-Nya dan Redha-Nya, Ilmu-Nya, Kehendak-Nya, Qadha-Nya dan Qadar-Nya. Sedangkan maksiat pula semuanya adalah dengan ilmu Allah, Qadha-Nya, Taqdir-Nya dan Kehendak-Nya, bukan dengan Kesukaan-Nya, bukan dengan Keredhaan-Nya dan bukan pula dengan Perintah-Nya. (16)
TENTANG IMAN
Iman adalah ikrar dan tashdiq. (17) Iman adalah ikrar dengan lisan dan tashdiq dengan hati. Ikrar dengan lisan sahaja belum lagi dikatakan iman.(18) Iman tidak bertambah dan tidak berkurang.(19)
Pandangan Abu Hanifah bahawa Iman tidak bertambah dan tidak berkurang, dan juga pandangan beliau tentang Iman adalah kirar dengan lisan dan tashdiq dengan hati sedangkan amal pula terkeluar daripada hakikat iman. Pandangan inilah yang menjadi pembeza utama antara I’tikad Imam Abu Hanifah dengan I’tikad semua Imam-Imam Islam lainnya seperti Imam Malik, Imam Syafi’I, Imam Ahmad, Ishak, Al- Bukhari dan lain-lain lagi. Dalam hal ini yang benar ialah pandangan imam-imam tersebut sedangkan pandangan Abu Hanifah tidak menepati kebenaran. Namun demikian beliau akan diberi ganjaran dalam kedua-dua keadaan (Ijtihad). Dan Imam Abdul Barr dan Imam Ibnu Abi Al ‘Izz menyebut bahawa dapat dirasakan bahawa Imam Abu Hanifah telah kembali atau menarik balik dari perkataannya itu, Wallahu A’lam. (20)
TENTANG SAHABAT
Kami tidak mengatakan tentang seorang sahabat pun daripada sahabat-sahabat Rasul s.a.w. kecuali yang baik-baik sahaja.(21) Kami tidak berlepas diri daripada seorang pun daripada sahabatsahabat Rasul s.a.w. sebagaimana kami tidak menjadikan salah seorang mereka sahaja sebagai pemimpin kami tanpa yang lain (22)
Kedudukan salah seorang mereka bersama Rasulullah s.a.w. satu saat adalah lebih baik daripada amal soleh seorang di antara kita sepanjang umurnya walaupun lanjut usianya.(23) Kami berikrar bahawa manusia yang paling mulia daripada umat ini sesudah Nabi Muhammad s.a.w. ialah Abu Bakar Al-Siddiq kemudian Umar Ibnu Al Khattab kemudian Othman Ibnu ‘Affan kemudian Ali bin Abi Thalib Ridhwaanullahi’Alaihim Ajma’iin. (24)
TENTANG ILMU KALAM
Abu Hanifah berkata: Mudah-mudahan Allah menurunkan laknat-Nya ke atas Amr Bin ‘Ubiad kerana dialah orang pertama yang membuka jalan kepada manusia ramai tentang Ilmu Kalam yang sama sekali tidak mendatangkan manfaat kepada mereka. (25)
Rujukan:
1. Kitab al-Iman ( Ta’liq Muhammad al-Harras); Dar al
Tiba’ah al Muhammadiyah; hal. 350-351
2. Majmu’ Fatwa; Ibn Taimiyah; V/256
3. Qathful al-Thamar; Hal. 47-48
4. Al-Durr al-Mukhtar Ma’a al-Hasyiah Rddu al-Mukhtar;
V/396-397
5. Syar al-‘Aqidah al-Tahawiyah; Hal 234; Syarh Fiqh al-
Akbar; 198
6. Al-Fiqh al-Absat, Hal. 56
7. Al-Fiqh al-Akbar; Hal 302
8. Syarh al-Aqidah al-Tahawiyah;Ii /427 Tahqiq: Dr al-
Turkey; Jalal al’Ainain; Hal. 368
9. Al-Fiqh al-Absat, hal 46; al-Zahabi dalam kitab
al-‘Uluw; Hal 101-102
10. Al-Fiqh al-Akbar, Hal 301
11. Al-Fiqh al-Akbar, Hal 202-203
12. Ibid; hal 202-203
13. Al-Wasiyah Ma’a Syarhihaa; hal 21
14. Ibid; hal. 14
15. Al-Fiqh al-Akbar, Hal 303
16. Ibid; hal. 303
17. Al-Fiqh al-Akbar, Hal 304
18. Al-Wasiyah Ma’a Syarhihaa; hal 2
19. Ibid; hal. 3
20. Al-Tamhid; Ibn Abd al-Barr; Hal. 247; Al-Tahawiyah;
Hal 395
21. Al-Fiqh al-Akbar, Hal 304
22. Al-Fiqh al-Absat, Hal. 40
23. Manaaqib Abi Hanifah; Al-Makkiy; Hal. 76
24. Al-Wasiyah Ma’a Syarhihaa; hal 14
25. Zamm al-Kalam; Al-Harawiy; Hal 28-31
26. Manaaqib Abi Hanifah; Al-Makkiy; Hal. 373
No comments:
Post a Comment