Saturday, January 17, 2009

Rintihan dan tangisan Al-Quds..


Pada 15hb, hari khamis yang lepas penulis sempat menghadiri satu ceramah khas yang dianjurkan oleh NGO Malaysia, HaluanPalestin di Masjid Saidina Umar Al-Khatab, Bukit Damansara. Info berkaitan tentang ceramah ini penulis dapat melalui e-group yang selalu dikirimkan oleh sahabat2 penulis. Pada mulanya musykil juga nak pergi kerana area sana agak jarang penulis jejakkan kaki di sana. Maklumlah tempat orang-orang yang Allah beri kelebihan pada mereka dari sumber rezeki ni. Melalui google map, akhirnya penulis ambil keputusan mau tak mau kena juga ke sana walaupun sampai lewat ke dan sebagainya.

Alhamdulillah penulis sampai di perkarangan masjid setelah berlegar-legar seketika di Bukit Damansara sebelum iqamah dilaungkan oleh muazin. Masjidnya terletak di kawasan agak berbukit dengan tersergam indah. Sempat penulis melihat senarai ajk terdiri daripada tan seri-tan seri, dato’-dato’ dan orang-orang yang berkedudukan agaknya. Patutlah kemegahan masjid ini tersergam umpama masjid negeri di negeri kelahiran penulis, siap dengan penghawa dingin lagi. Terus penulis ke tempat wuduk dan ikut berjemaah bersama jemaah dalam menunaikan solat fardhu maghrib. I
mamnya adalah seorang al-hafiz pada firasat penulis yang sedap bacaannya dan di rakaat akhir semasa iktidal imam memimpin jemaah dalam melakukan bacaan Qunut Nazilah. Alhamdulillah, bagusnya kesedaran jemaah di sini tentang isu yang sedang melanda saudara-saudara Islam kita di seluruh dunia terutamanya di Palestin kini.

Terus penulis masuk ke bahagian pengisian ceramah yang disampaikan oleh seorang pensyarah UIA dan kalau tak silap penulis namanya Al-Fadhil Ustaz Norazman. Sesi ceramah kali ini disertakan dengan paparan multimedia untuk tatapan jemaah. Dengan kemudahan yang ada ini, mungkin pengisian lebih baik untuk dimanfaatkan dengan realiti dalam bentuk gambar dan sebagainya agar lebih terkesan bagi para jemaah yang menghadiri. Terus terang, hati penulis sendiri umpama terusik dengan apa yang ditayangkan. Keadaan sebenar di Palestin dinyatakan berdasarkan pengalaman beliau dan juga rakan-rakan beliau yang terlibat secara langsung sebagai sukarelawan membantu orang-orang Palestin. Seperti biasa diterangkan dalil yang berkaitan dengan bani Israel yang ada dalam Al-Quran dan juga Al-Hadith Nabi saw. Penulis tak bercadang nak ulas tentang ini kerana sikit info berkaitan dengan itu semua telah penulis lampirkan di artikel yang lepas. Apa yang nak penulis lampirkan di sini kandungan yang sikit berlainan untuk tatapan semua. Ini pun penulis dapat dari youtube je sebab masa ke sana agak kelam kabut, tak sempat dan terlupa nak bawa buku nota.

Penceramah merupakan antara individu yang terlibat secara langsung dengan badan yang berhubungan dengan pihak yang berkaitan di Palestin. Diceritakan juga antara pengalaman sahabat beliau yang pergi ke sempadan untuk meninjau keadaan di sana. Apabila sampai di sana, bertemu dengan seorang pemuda Palestin yang bertanyakan kepada mereka yang datang. Ini antara perbualan yang menyayat hati.

Anda datang dari Malaysia?
Ya, saya dari Malaysia.
Malaysia Negara Islam?
Ya, Malaysia Negara Islam.
Mengapa kamu datang ke sini?
Saya datang untuk melihat keadaan di sini dan untuk beritahu keadaan di sini kepada orang Malaysia agar kami dapat membantu kalian.
Kalau kamu hanya datang nak tengok kami di sini, lebih baik kamu pulang sahaja ke Malaysia. Tiada gunanya kamu datang ke sini untuk itu. Sudah berapa ramai orang datang sahaja ke sini, ambil gambar dan akhirnya pulang tanpa memberi apa-apa sumbangan kepada kami. Kami umpama muzium untuk kamu semua datang, ambil gambar dan bawa pulang ke tempat kamu. Lebih baik kamu pulang ke Malaysia dan beritahu kepada kerajaan kamu agar datang ke sini dengan bala tentera yang kamu ada dan tembak terus kami semua rakyat Palestin yang ada di bumi anbiya’ ini agar terus syahid dan tak perlu lagi kamu bersusah payah untuk cerita dan peningkan kepala memikirkan hal kami di sini.

Tersentak sahabat beliau yang mendengar luahan isi hati pemuda Palestin tersebut. Penulis sendiri terkesima bila diceritakan ini semua. Benarkah sehingga sebegini terlintas isi hati mereka di sana.
Allahuakbar, sebegini berat ujian yang Engkau uji hamba-hambaMu di sana. Kami di sini belum Engkau uji sebegini dan janganlah Engkau uji kami dengan sesuatu yang kami tak mampu nak hadapi semua ini Ya Allah.

Seterusnya isi hati seorang kanak-kanak perempuan Palestin umpama meraung dan merintih menanyakan tentang bapanya yang ditangkap masih belum dibebaskan oleh zionis israel laknatullah.

Ayah, kata mereka kau penjahat!
Padahal sebenarnya engkau bukan pejahat!
Ayah!!….mengapa ,merela jauhkan aku darimu,
Mereka menangkapmu tanpa memberi kesempatan untuk menciumku walaupun sekali,
Atau mengusap air mata ibu,
Ibu!!!!.... aku melihat air mata dikelopak matamu setiap pagi,
Apakah Palestin tidak berhak diberi pengorbanan?
Setiap hari aku bertanya kepada matahari
Ibu, apakah ayah akan kembali suatu hati
Atau dia akan pergi selamanya sampai hari kiamat
Atau dia akan mengusap air mata ibu yang akan terus menitis setiap hari..??
Wahai ayah, di manakah engkau?

Oooohh, bayi-bayi yang dijajah,
Kini telah datang hari raya baru setelah hari raya tahun lalu,
Dan bayi baru pun terlahir sesudah bayi yang itu,
Dan para syuhada berguguran setelah gugurnya Syahid yang lalu,
Sedang ayah masih disembunyikan di sebalik jeriji besi,
Dalam sel mengerikan yang tidak layak dihuni oleh manusia,
Mana hari kemenangan dan kehancuran penjara-penjara besi itu…???
Malulah kalian….
Malulah kalian…..
Malulah kalian…
Aku ingin ayah pulang,
Aku ingin ayah pulang..


Ini pula luahan seorang muslimat, merangkap ibu dan juga isteri pejuang-pejuang Palestin..
Kami membela Al-Quds,
Kami panggil anda semua dan kami Tanya,
Apakah Al-Quds hanya milik rakyat Palestin, atau milik seluruh umat Islam?
Mengapa anda diam-diam sahaja?
Anak-anak kami pergi meninggalkan kami di pagi hari
Dan kembali di petang hari sebagai syahid,
Dan kamu hanya menonton mereka si layar televisyen,
Apa yang kamu tonton??
Mengapa hanya menonton?
Al-Quds dan Al-Aqsa memanggil.
“Wahai anak-anak pelempar batu, bebaskan aku daro cengkaman Thaghut zionis dan Yahudi,”
Tetapi, apa jawapan kita?
Apa jawapan kita kepada Al-Aqsa ketika dia memanggil kita,
Labbaika ya aqsa…
Labbaika ya aqsa dengan darah-darah kami,
Labbaika ya aqsa dengan roh-roh kami,
Al-Quds lebih mahal dari roh-roh kami,
Walaupun roh-roh kita adalah paling mahal bagi kita tetapi Al-Aqsa lebih mahal dari semua itu,
Ia lebih mahal dari anak-anak kita,
Dan anak-anak kita lebih mahal dari roh-roh kita.


Boleh kita dapati isi kandungan ini secara terus melalui link youtube di bawah: (http://www.youtube.com/watch?v=7lZeFDo5HFs&feature=PlayList&p=5E822A30368A4412&playnext=1&index=24)

Ini statistic umat Islam di dunia.arab.

Saudi Arabia 20 juta jiwa Islam,
Oman 3 juta jiwa Islam,
Jordan 5 juta jiwa Islam,
Algeria 30 juta jiwa Islam,
Lebanon 4 juta jiwa Islam,
Kuwait 2 juta jiwa Islam,
Yaman 16 juta jiwa Islam,
Bahrain 1 juta jiwa Islam,
Morocco 30 juta jiwa Islam,
Libya 6 juta jiwa Islam,
Iraq 24 juta jiwa Islam,
Mauritania 3 juta jiwa Islam,
Syria 17 juta jiwa Islam,
Somalia 4 juta jiwa Islam,
Jibouti 500 ribu jiwa Islam,
Sudan 35 juta jiwa Islam,
Tunisia 10 juta jiwa Islam,
Qatar 1 juta jiwa Islam,
UAE 3 juta jiwa Islam,
Mesir 70 juta jiwa Islam,
Palestina 6 juta jiwa Islam,
Penduduk dunia arab 300 juta jiwa Islam,
Di Palestin hanya ada 5 juta jiwa yahudi laknatullah..

Antara hadith Nabi saw berkaitan dengan permasalahan kita kini. "Umat lain akan meratah kamu dengan rakus sebagaimana anjing-anjing yang mengelilingi hidangan makanan. Sahabat bertanya adakah kerana bilangan umat Islam yang sedikit? Baginda menjawab Tidak, bahkan jumlah kamu masa itu banyak sebagaimana banyaknya buih di permukaan air banjir. Allah mengikis perasaan gerun di dalam hati musuh terhadap kamu dan Allah mencampakkan dalam hati kamu 'al-wahan'. Sahabat bertanya apa dia wahan itu ya Rasulullah. Jawab baginda 'cintakan dunia dan bencikan akhirat."

Penulis tak pastilah andai sahabat yang melihat dan mendengar rintihan hati mereka ini tidak terasa apa-apa hatta sedikit pun terusik di sudut hati kecil, tak tahulah penulis untuk simpulkan. Mungkin asbab kita di Malaysia ini masih lagi dilimpah ruahkan maka dengan melihat ini semua maka tidak terasa apa-apa. Jadi sama-sama kita bangun dari tidur yang panjang sebelum ini dengan sama-sama sumbangkan apa yang patut. Mana yang mampu dengan tenaga, berikanlah semampu mungkin. Mana yang mampu dari segi kewangan, berikan kerana sumbangan kita ini bukan unutk sebarang perkara seperti membesarkan masjid, buat ceramah ilmu dan sebagainya tapi ianya untuk membantu mereka yang berjuang di jalan Allah. Paling tidak doalah untuk mereka dan sama-sama kita memboikot semampu mungkin agar kita umat Islam menunjukkan yang kita punya rasa kasih akan saudara kita dan membantah dan mengecam puak kufar zionis dalam menindas mereka yang berada di Palestin.

Walaupun mungkin sumbangan kita ini tidak seberapa tapi yakinlah yang Allah akan pandang sumbangan kita yang kecil ini kerana dalam sirah menceritakan hatta burung pipit di zaman Nabi Allah Ibrahim cuba membantu dengan membawa air menggunakan paruhnya sehingga ianya terbakar ianya dipandang oleh Allah bukan kerana mampu atau tidak dalam usahanya, tapi setakat mana kemampuannya untuk sama-sama membantu agama Allah tertegak di muka bumi ini. Sesungguhnya kita akan ditanya oleh Allah apa yang kita buat semasa saudara kita yang lain sedang teruk diseksa dan dijajah? Apakah jawapan kita kelak semasa bertemu dengan Allah? Jawapan yang masing-masing dapat menjawab dengan ikhlas dalam diri sendiri..

No comments: