Monday, November 2, 2009

Bual bicara semasa..

Setelah beberapa lama tidak menukilkan sendiri sebarang penulisan daripada hasil buah fikiran cuma sakadar mengambil dan memetik artikel-artikel ilmiah untuk dimasukkan ke dalam ruang blog. Di samping kerjaya yang adakalanya tak menentu masa tapi masih di takuk yang lama seperti dahulu apapun rasa penuh kesyukuran dipanjatkan kerana masih lagi diberi ruang untuk peroleh kerja berbanding sesetengah orang yang masih mencari-cari pekerjaan menampung kehidupan yang sementara ini.

Di kesempatan kali ini ingin penulis berkongsi sesuatu hasil sembang-sembang dan bual bicara dengan rakan penulis sewaktu pulang ke kampung halaman sempena Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Pada saat begini sahaja penulis berpeluang bertemu dengan beberapa kerat sahabat yang masih utuh ukhwah antara kami walaupun kini sudah tidak lagi kerap bertemu seperti dahulu. Cumanya mungkin juga status yang masih sama yakni bujang yang masih merapatkan lagi hubungan antara kami berbanding beberapa orang teman lain yang telah melangkah kea lam berkeluarga. Selain rumah menjadi port kebiasaan, kedai makan atau gerai menjadi medan tempat pertemuan.




Teman-teman lama

Sahabat yang dimaksudkan adalah Jasmi dan juga Mat Poji, panggilan Mie dan Mat je sejak zaman sekolah lagi. Medan kali ni adalah di gerai char koew teow berdekatan lampu isyarat nak ke kampung jawa pada malam ke-3 Hari Raya kalau tak salah. Banyak topic juga yang diperbincangkan. Al maklumlah jarang-jarang bertemu yang mana Mie merupakan sahabat sejak sekolah rendah lagi manakala Mat pula sekolah menengah dan seasarama dahulu.

Bermula dari mengungkap kembali zaman persekolahan yang lalu yasng pastinya tak akan luput daripada ingatan dan terus dengan senantiasa diungkap apabila berkumpul bersama teman-teman sepersekolahan. Kemudian ianya akan terus diikuti dengan perkembangan terkini. Yang pastinya tak terlepas adalah mngenai alam perkahwinan. Kadang memang adakala topic sebegini sememangnya cuba untuk diletakkan disebelah tapi pastinya akan membuatkan juga sering berfikir. Itulah yang dinamakan lumrah naluri sebagai seorang insan.






Alam perkahwinan

Kadang topik sebegini sudah beberapa kali entri artikel tentang ini telah dipaparkan dalam pelbagai konsep cerita dalam menasihati dan memberi pandangan berkaitan hal ini. Perkara ini sebenarnya tak lekang dari diperkatakan terutama apabila tiba ketika cuti sekolah dan undangan perkahwinan bertalu-talu diutuskan lebih-lebih lagi teman-teman serta sahabat handai. Pastinya keluarga akan mula soksek-soksek pasal perkara ni. Mujurlah kami ni kaum lelaki dan agak kurang sedikit rasanya jika nak dibandingkan dengan yang muslimat yang sama status lagi. Tapi sememangnya bagi penulis sendiri berdasarkan sedikit pengalaman buat masa bab ni belum dimasukkan lagi dalam kamus hidup buat masa terdekat. Cuba untuk mantapkan diri dan muhasabah diri dibuat banyak kali untuk hati kembali terdorong ke arah tu. Di samping itu bak kata teman siapa lagi nak tenangkan hati kita jika bukan kita sendiri yang cuba pujuk hati di samping padaNya kita mengadu untuk ini.

Sememangnya andai penulis ingin ke arah tu banyak persediaan yang perlu umpamanya persiapan diri, kenderaan yang baik serta rumah yang selesa seperti dalam lampiran artikel yang lepas. Hingga saat ini kesediaan untuk itu mungkin belum diizinkan Allah dalam penyediaan. Mungkin juga ini antara hikmah dengan apa yang berlaku. Cuba berlapang dada dan pujuk hati ini dalam penerimaan walaupun adakalanya hati kecil ini kerap terusik. Seperti selalu penulis ungkapkan buat diri yang dhaif ini, andai dunia tidak kita perolehi moga ada habuan buat diri ini di akhirat kelak, insyaAllah. Apapun bersangka baik akan ujian Allah dan doakan yang terbaik untuk semua orang. Mungkin juga itu namanya pengorbanan yang kecil yang mampu kita berikan.


Jemaah tabligh

Dah agak melencong daripada apa yang sebenarnya nak penulis nukilkan. Topiknya lebih kepada antara pengisian topik yang timbul antara kami bertiga. Antara banyak-banyak yang timbul yang menarik dan ambil masa agak lama sikit apabila cuba ditimbulkan berkaitan dengan perkembangan dan perbincangan agama sedikit sebanyak membuatkan masing-masing membuka dan memberi pandangan. Mulanya ditimbulkan oleh Mat tentang perhimpunan jemaah tabligh yang berlaku baru-baru ini kat Nilai, Negeri Sembilan. Sememangnya liputannya agak besar hinggakan pemimpin no 1 dan 2 negara turut datang ziarah dalam sesi tersebut seperti yang pernah diwar-warkan dalam media massa. Dalam masa yang sama Mat juga menghadiri perhimpunan tersebut yang telah mengumpulkan ribuan jemaah tabligh seluruh dunia berkumpul selama 3 hari di sana. Di sinilah diumpamakan seperti antara perhimpunan terbesar umat Islam selain di Mekah sempena menunaikan rukun Islam yang ke-5, fardhu haji du Baitullah.

Berdasarkan pengalaman penulis sendiri sebenarnya dahulunya pernah juga mengikuti semasa di alam belajar di Kuantan, Pahang semasa menyiapkan diploma dahulu. Banyak juga yang penulis belajar dan tahu selok belok apa yang cuba dibawa dan sebagainya tapi masih banyak kekurangan sangat dan kini penulis sudah tidak istiqomah dalam jemaah. Antara salah satu faktor mengapa penulis ketika itu mengikuti jemaah adalah kerana ingin juga memberi sumbangan walaupun tak seberapa dalam menegakkan syiar dan agama Allah di muka bumi ini. Pernah juga beberapa kali keluar ke jalan Allah (khuruj) yang sering dilafazkan dalam sebarang perhimpunan apabila membincangkan akan iman dan amal. Konsep lima amalan infradi dan juga masjid serta 6 sifat sahabat yang kena selalu diulang-ulang dalam penyampaian agar ianya memberi kesan dalam amalan seharian. Itu apa yang penulis masih ingat-ingat lupa tentang jemaah tabligh sepanjang yang penulis ingat.

Apabila berlaku diskusi tentang ini penulis tidak pernah menyatakan tentang penglibatan serta pengalaman penulis tetapi sekadar melontarkan pandangan pada saudara Mat. Ternyata dia juga punya hujah tersendiri dalam menyatakan pandangan berkaitan jemaah tabligh. Sememangnya dia dahulunya memang pernah mengikuti tetapi kini agak kurang penglibatan dalam usaha agama seperti yang diwar-warkan. Antara kata lain adalah kalau nak tahu hakikatnya perlu diusahakan diri berazam untuk keluar jalan Allah dan sekiranya terpilih oleh Allah pastinya dimudahkan. Itulah yang diungkapkan pada penulis sekiranya penulis berhajat untuk merasai nikmat keluar di jalan Allah seperti yang dimaksudkan dalam jemaah katanya. Penulis sekadar tersenyum mendengar apa yang dihujahkannya itu. Seronok penulis mendengar akan kisah-kisah dan pengalaman beliau yang juga tak seberapa sepanjang berada dalam jemaah tabligh walaupun sesetengah perkara penulis sendiri sudah sedia maklum. Walaupun hakikat kini penulis tidak lagi cenderung dalam jemaah tabligh asbab beberapa perkara usul. Mungkin penulis bukan orang yang patut membicarakan khusus bab ini.


Isu wahabi

Dalam pada sembang itu tiba-tiba masuk pula topik yang agak panas. Mulanya dinyatakan jemaah yang ada kat Malaysia ni seperti PAS, JIM, ABIM dan lain-lain. Entah bagaimana timbul pula isu wahabi. Menurut Mat, awal-awal lagi ibunya juga sudah mengingatkan agar jangan terpengaruh dengan fahaman wahabi ni. Penulis cuba lontarkan persoalan apa itu wahabi? Perkara yang sama tentang salasilah Syeikh Muhammad Abdul Wahab diceritakan dan kemudia dicelah pula Mie mengatakan seperti contoh tokoh Dr. Asri Zainal Abidin dan juga beberapa ilmuan agama lain dalam negara. Dalam masa yang sama juga timbul tentang Dr. Danial Zainal Abidin sewaktu awal-awal pembabitan beliau di sana juga ada pihak menggelarkan beliau ini wahabi. Ini kerana pembawaan yang agak agak keras dan hanya perlu bersandarkan akan nas dalam pengamalan dan sekiranya tiada nas maka ditolak terutama dalam pengibadatan kepada Allah.

Tak kira bagi sesiapa sahaja yang terdorong ke arah itu dan cuba melakukan penyongsangan terhadap apa yang masyarakat kini sedang lakukan maka pastinya mereka ini dicop dengan gelaran ini. Persoalan lain yang dilontarkan penulis, kenapa sesatkah wahabi ni? Dia mengatakan bukan sesat tapi adakalanya pendekatan yang dibawa agak keras dan tak sesuai untuk masyarakat kita kat sini. Berlaku juga pertembungan idea antara kami tetapi sekadar menyatakan pandangan sahaja dan ianya tidaklah berlanjutan lama kerana waktu sudah agak lewat pagi dan akhirnya bersurai. Sedikit rasa kurang sedap di hati kerana penulis tidak berkesemapatan untuk nyatakan apa yang penulis paham dan apa yang masyarakat kini paham tentang perkara ini agar masing-masing terutama orang muda seperti kami ini tak mudah terima bulat-bulat apa persepsi orang tentang isu ini tanpa melakukan kajian yang sepatutnya. Di samping itu agar fitnah yang terus menerus diperkatakan kepada Syeikh Muhammad Abdul Wahab dapat diperjelaskan. Boleh rujuk di sini.





Pandangan peribadi

Di sini yang cuba penulis nak rungkaikan adalah apa yang bermain dalam kotak pemikiran penulis. Sememangnya isu ini adalah isu lama di mana pada zaman dahulu isu yang sama pernah timbul di mana dikatakan pertembungan antara golongan muda dan golongan tua. Masing-masing cuba mempertahankan hujah berdasarkan pemahaman ilmu yang dipelajari. Kemudian reda sekejap dan kini timbul semula pertembungan yang sama yang mana gerakan tajdid kini dalam melakukan pembaharuan agama dibawa maka ianya tidak dapat diterima oleh sesetengah golongan yang lain. Info-info berkaitan ini sememangnya boleh dan banyak yang kita peroleh dari sumber internet dan juga kelas-kelas ilmu.

Isu ini juga sememangnya penulis pernah ulas dalam artikel-artikel yang lepas. Boleh buat rujukan di sini. Kebiasaanya kecaman seperti ini dilabelkan kepada sesiapa sahaja yang cuba membuat perubahan dalam kehidupan beragama dalam menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan utama berbanding dalam memfokuskan pada satu mazhab sahaja seperti sebelum ini. Kini apabila pemahaman tentang konteks dalam memahami agama terutama dalam membabitkan ibadah hanya perlu berdasarkan dalil Quran dan Hadith bukan sekadar penyampaian ilmu dari kata ustaz, ustazah mahupun orang alim semata-mata. Penulis sendiri kurang maklum mengapa segelintir bagi penulis sendiri tetap menentang dan tak boleh menerima konsep keterbukaan dalam isu ini. memang betul kita di Malaysia mengamalkan pengamalan berlandaskan mazhab syafie. Tetapi andai kita kaji bukan secara total pengamalan itu dilaksanakan sebagai contoh jual beli, zakat dan sebagainya. Malah dalam pengajian sunnah sekalipun kita masih mengamalkan sandaran daripada imam yang empat yang diiktiraf oleh ijmak ulama kini beraliran ahli sunnah waljamaah. Antara rujukan-rujukan lain hanya bersandarkan nas yang sahih daripada hadith Nabi serta juga ulama-ulama salaf yang lain.

Ternyata penulis sendiri pernah disoalkan dan dikatakan terdorong akan pemahaman ini wahabi juga oleh teman baik dan akrab apabila penulis sampaikan apa yang penulis faham sepanjang pengajian harian sunnah sebelum ini. Ini kerana kadang-kadang penulis mempersoalkan sumber apa yang mereka lakukan ini adakah ianya ada sandaran mahupun tiada. Apabila pertembungan idea dan fikrah sebegini beberapa pendekatan lain perlu diambil dalam konteks ukhwah dan hikmah. Ini kerana ada sesetengah manusia ini serba kekurangan dalam pemahaman agama. Hakikatnya penulis sendiri sememangnya hanya orang awam biasa dan bukan orang faqeh mahupun alim dalam bidang agama. Apa yang cuba dilakukan hanyalah mengamalkan apa yang dipelajari dan yakin ianya punya sandaran walaupun penulis sendiri tidak menghafal matan hadith tetapi Cuma sekadar maksud hadith bagi penulis dah memadai. Sekiranya sesuatu bab mahupun topic berkaitan agama yang penulis masih lagi tidak mendapat maklumat sekadar mengikut pemahaman sebelum ini yang pernah dipelajari di sekolah dan dalam kelas fardhu ain dahulu. Tambah pula kini keterbatasan ruang dan masa untuk hadiri kelas-kelas ilmu asbab kerjaya dan sebagainya.


Pendirian dan pemahaman

Bagi diri penulis sendiri dalam bab-bab seperti ini sebenarnya bagi sesiapa yang kerap menghadiri kelas ilmu agama rasanya tidak timbul akan perbalahan dan salah faham akan apa yang dibawa dan diamalkan. Yang menjadi masalahnya adalah bagi sesetengah golongan yang tak terdorong ke arah tu akan mempersoalkan dan timbul umpama bibit-bibit kebencian pada individu lain yang melakukan lain dari pengamalan sebelum ini. Sebenarnya inilah yang berlaku dalam masyarakat kita kini. Bagi yang belajar dan memahami mereka ini tiada masalah dan masing-masing perlu bersikap keterbukaan dalam penerimaan pendapat dan pandangan dalam sesuatu isu.

Jemaah-jemaah dalam negara seperti yang penulis ungkapkan di atas sememangnya banyak memainkan peranan dalam penyebaran ilmu agama tapi masing-masing ada pro dan kontranya juga. Itu sememangnya tidak dapat dinafikan dalam jemaah Islam hatta yang bergerak seluruh dunia. Berkaitan dengan jemaah rujukan juga pernah dilampirkan. Penulis tak bermaksud nak huraikan secara mendalam berkaitan perkara jemaah ini kerana ianya bukan bidang penulis dalam menyatakan pandangan tetapi penulis sendiri lebih cenderung bagi aliran manhaj salafus soleh dalam memahami konsep ketauhidan yang syumul mengikut fahaman yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad saw, para sahabat, tabi’ tabiin dan ulama salaf yang terdahulu. Dalam masa yang sama dalam mengamalkan pengamalan ianya dilakukan dengan ilmu dan cuba berlaku hikmah kerana pemahaman masyarakat kebanyakan belum terbuka untuk itu. Tetapi dalam masa yang sama sesiapa sahaja yang berusaha dalam menegakkan syiar Islam pastinya kita juga perlu memberi sokongan tak kira apa platform yang didudukinya selagi mana cara yang dilakukan menepati apa yang syarak gariskan dan cuba elakkan diri dari terjerumus ke jalan yang menyimpang daripada Al-Quran dan As-Sunnah.




Pengamalan dalam kehidupan

Kadang-kadang dalam menyatakan pandangan masyarakat amat sensitif apabila membicarakan tentang bid’ah dan sebagainya. Asbab itu juga apabila berbicara dengan teman-teman berkaitan dengan perkara seperti ini penulis hanya mengungkapkan ianya kurang menepati sunnah dan andai ditinggalkan lebih baik. Mungkin pendekatan seperti itu agak lembut dalam menyatakan pandangan dalam menjaga ukhwah kerana topik berkaitan perpecahan ukhwah dalam permasalahan khilafiah akan penulis lampirkan nanti di keluaran yang akan datang setelah sumbernya penulis perolehi. Dalam pengamalan lain sebagai contoh apabila kadangkala penulis ditolak sebagai imam solat di surau apabila selesai solat yang lebih dianjurkan adalah zikir dan doa sendirian tetapi dalam menjaga ukhwah penulis melakukan doa ringkas bersama jemaah.

Antara lain sebagai contoh bacaan yasin malam jumaat yang masih diamalkan di kebanyakan masjid dan dalam menyatakan pandangan penulis akan hal ini dinyatakan tak salah nak baca yasin ke malah apa jua surah lain tetapi yang lebih dianjurkan adalah bacaan surah al kahfi dan baik dilakukan secara individu. Mungkin itu antara pendekatan dalam pengamalan yang penulis bawa dalam bermasyarakat kini di kalangan orang awam di persekitaran. Cuba berlapang dada dan dalam masa yang sama ukhwah dijaga lebih-lebih lagi yang berkait rapat dalam soal khilafiah. Kadangkala dalam berlaku hikmah seperti ini juga terdapat juga ujian yang tersendiri yang akan datang kerana bukan mudah nak puaskan hati semua pihak terutama orang yang lebih tua daripada kita. Tambahan pula kesedaran yang tinggi akan diri penulis ini yang hanya orang awam biasa dan bukan orang alim antara faktor timbul perkara seperti ini.

Ini semua adalah pandangan penulis sahaja dan pastinya mungkin ada dikalangan penuntut-penuntut sunnah yang lain punya pendekatan yang berbeza. Yang pastinya biarlah apa jua persepsi orang pada kita kita teruskan dengan pemahaman dan pengamalan kita yang mengutamakan Al-Quran dan Sunnah mendahului segalanya serta jalan yang ditempuh oleh para sahabat, tabi’ tabiin serta ulama salaf yang lain. Itu antara jaminan Nabi saw bagi umat akhir zaman supaya tidak tersesat dan berada di atas landasan yang satu dan benar, insyaAllah.

2 comments:

lillah said...

nice entry...

sebuah muhasabah
dalam hidup ni masih banyak yang kita perlu belajar kan..

p/s: truskn dakwah

..~..WaN PeNaNG..~.. said...

dah lama tak buahkan sebarang artikel sendiri. lbh kpd posting artikel ilmiah org shj.
sbg insan perlu senantiasa muhasabah dilakukan agar kt selalu menilai apa yg sering kt lakukan dlm kehidupan ini menepati apa yg disyariaatkan oleh Nabu junjungan besar atau tidak.
setakat mana yg boleh dilakukan akan cuba dilakukan setakat mana yg mampu walaupun tidak punyai platform seperti sahabat2 lain, InsyaAllah...