Sunday, August 29, 2010

Ramadhan Al-Mubarak, Tazkirah & Isu Berbangkit..



Alhamdulillah, hari ini telah 20 hari kita umat Islam menunaikan kewajipan berpuasa sepertimana yang telah difardhukan atas individu yang bergelar diri sebagai muslim. Apabila datang perintah kewajipan yang merangkap rukun Islam yang ketiga ini maka bagi sesiapa yang merasakan dirinya hamba Allah pastinya kena akur dan patuh dalam melakukan prkara yang telah diperintahkan. Tetapi barangsiapa yang tidak merasakan dirinya berada dalam kategori tersebut maka ianya pasti akan terus diingkari dengan tidak merasakan sebarang penyesalan di hati.


TAZKIRAH RAMADHAN

Sepanjang bulan Ramadhan kali ini surau tempat penulis bermastatutin juga sama seperti surau, madrasah ataupun masjid yang lain tetap diimarahkan dengan solat sunat terawih secara berjemaah. Pada awal ramadhan bilangannya melimpah ruah dan kini hanya tinggal 3 hingga 4 saf sahaja. Berbanding hari pertama dibanjiri oleh puluhan ahli qariah yang mana sewaktu tazkirah malam pertama ustaz Farid mengatakan inilh kali pertama sepanjang ustaz member pengajian atau tazkirah malam di surau berkenaan bilangannya melebihi daripada biasa. Alhamdulillah, pendekatan yang diambil oleh jawatan kuasa surau ini dengan mengadakan solat sunat terawih dengan disulami majlis tazkirah setelah 4 rakaat bagi penulis sebenarya lebih dituntut berbanding terus menunaikan 21 rakaat tanpa henti kerana keadaan masyarakat kini sebenarnya perlukan lebih banyak peringatan lebih kepada agama. Tambahan pula dengan keadaan masyarakat kini yang semakin menggerun dan membimbangkan. Jenayah bukan lagi perkara biasa. Bunuh, buang bayi, zina dan seribu satu perkara mungkar dan maksiat yang merangkap juga kepada jenayah amat-amat membimbangkan.


Apa yang penulis ingin kongsikan di sini adalah berkaitan dengan satu isu yang semalam ditimbulkan oleh seorang ustaz jemputan. Penulis sendiri tidak dapat pastikan nama al-fadhil ustaz tetapi rasanya ustaz yang diberi tauliah seperti yang diperkatakan oleh dirinya. Bab yang disentuh dalam tazkirah semalam adalah berkaitan dengan wudu’. Jemaah dibawa menelusuri keadaan diri masing-masing sekiranya berlaku kiamat kecil yakni kematian dalam diri masing-masing dan perkara pertama akan dihitung adalah solat. Cuba bayangkan sekiranya parkara pertama ini yang dihitung dalam alam kubur tidak diterima oleh Allah setelah sepanjang umur yang diberi oleh Allah maka sia-sialah pengamalan apa yang dikerjakan selaku tiang agama ini jika bagi Allah ianya tidak bernilai. Mungkin juga dalam banyak-banyak perkara itu wudu’ yang diambil adalah tidak sempurna sepertimana yang diperintahkan oleh Nabi saw. Banyak hadith-hadith yang dibawakan dalam penghujahan berkaitan dengan perkara ini yang penulis tidak bercadang nak dihuraikan secara lanjut.


ISU BERBANGKIT

Tetapi yang penulis ingin kongsikan adalah satu perkara yang disentuh oleh al-fadhil ustaz yang penulis rasa terpanggil untuk merungkap apa yang terpendam. Pengistilahan pengamalan ikut-ikutan dan tidak bersumberkan ilmu dan juga amalan menggerak-gerakan jari semasa tasyahud awal dan akhir. Apa yang dilontarkan oleh ustaz di mana ada sesetengah golongan merujuk terus kepada puak wahabi akan cuba menggerakkan jari mereka seperti ini (sambil menggerakkan-gerakan jari umpama menguis-nguis umpama jentolak dan juga memusing-musingkan jari semasa tasyahud membentuk bulatan). Sepatutnya hanya menggerakkan jari sewaktu mengucapkan kalimah illah dalam tasyahud atau terus menggerakkan tetap dari awal tasyahud seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Kemudian isu yang disentuh lagi adalah doktrin atau fahaman wahabi ini menjerap masuk dalam masyarakat secara halus terutama golongan muda yang tiada kefahaman ilmu secara khusus akan ilmu agama akan cepat terpengaruh akan pemahaman seperti ini yang bertentangan dengan kefahaman ahli sunnah. Ustaz juga menyentuh di mana wahabi ini di Arab Saudi sebenarnya telah ditaja dan sebab itulah ianya kuat diamalkan di sana.


Dalam masa yang sama beberapa orang jemaah menjeling kepada diri penulis kerana pada solat sunat sendirian penulis juga melakukan pergerakan jari atas dan bawah semasa tasyahud tetapi apabila solat berjemaah penulis hanya menaikkan terus dari awal bacaan hingga akhir bacaan tanpa digerakkan jari. Dua perkara ini penulis amalkan kerana bagi penulis adanya dalil akan amalan tersebut diamalkan oleh Nabi saw. Apa yang terlintas di hati jemaah yang menjeling penulis tidak dapat pastikan. Itu bukan hak penulis untuk merungkaikan.


Mungkin antara kelemahan diri penulis adalah penulis tidak mampu utk berhujah secara langsung akan isu-isu yang penulis rasa wajar untuk dibawa berbincang dalam aspek keilmuan agama. Tetapi apa yang penulis ingin katakan adakah benar akan dakwaan ustaz tersebut. Apakah kenyataan beliau merujuk kepada ulama di Arab Saudi yang menjurus kepada pemahaman wahabi ini berada dalam keadaan sesat atau bagaimana? Adakah mereka ini tidak tergolong dalam kelompok ahlusunnah? Adakah al-fadhil ustaz semasa di Mekah Al-Mukaramah tidak berimamkan imam yang telah sedia dilantik dan hanya solat bersama jemaah ustaz di masjidil haram dan masjid nabawi? Apa pula yang dimaksudkan doktrin secara halus yang meresapi dalam diri anak-anak muda yang cuba beramal dengan dalil yang sahih daripada Nabi saw berbanding mengamalkan pengamalan yang secara berterusan dalam konteks adat semata adalah salah dan menyimpang? Adakah sekiranya seseorang itu tidak berqunut subuh, tidak bertahlil (beramai-ramai), tidak berzikir jamai beramai-ramai selepas solat, tidak bertalqin, tidak membaca surah yasin beramai-ramai malam jumaat dan amalan lain yang seringkali diamalkan oleh masyarakat setempat ini sebenarnya menyeleweng dari ahlu sunnah? Pastinya diri al-fadhil ustaz lebih ilmuan dan alim daripada diri penulis ini dalam perlbagai aspek lebih-lebih lagi ilmu agama. Tetapi apakah itu yang cuba nak disampaikan oleh ustaz pada jemaah? Semua persoalan ini hanya bermain di fikiran penulis semata.


PANDANGAN KERDIL PENULIS

Persoalan ini penulis tinggalkan untuk sama-sama kita buka minda dan dada dalam kita menilai isu yang diperkatakan. Bukankah Nabi saw bersabda yang bermaksud, jika antara kamu berlainan pendapat dalam apa jua perkara maka kembalilah kepada Al-Quran dan Sunnahku serta khalafur arrasyidin. Inilah sahaja jalan penyelesaian bagi sebarang pertikaian dan perbalahan sekiranya berlaku untuk menyatukan semula akan diri individu yang bergelar muslim. Bagaimana mungkin ustaz yang lebih alim pastinya boleh merujuk juga akan dalil dan nas yang digunakan oleh mereka yang cuba menggerak-gerakkan jari semasa tasyahud seperti yang boleh didapati dalam Sifat Solat Nabi karya Syeikh Nasaruddin Al-Bani.


Jadi bagi penulis bagi siapa yang ingin menggerak-gerakan dari awal solat atau menaikkan tanpa menggerakkan dari awal solat ianya juga ada nas dan dalil yang sahih daripada Nabi saw. Terpulang dan silakan beramal dengan mana-mana cara tanpa kita memandang orang yang berlainan daripada kita maka kita katakan mereka ini salah dan sebagainya. Takut sekiranya sesuatu amal itu sememangnya ada sandaran daripada Nabi saw tetapi hanya kita tidak mengetahui malah kita cuba memperlekehkan pula mereka yang beramal pastinya ianya akan menjurus kita secara tidak kita sedari dengan mengatakan yang tidak baik apa yang telah dilakukan oleh Nabi saw, Nau'zubillahimin zalik. Pernah juga satu ketika di sebuah masjid di mana seorang ustaz menegur secara terang-terang di dalam kuliahnya dengan mengatakan semasa dia melakukan solat sunnah seorang jemaah menggerak-gerakkan jari umpama bermain-main di dalam solat dan adakah ahli jemaah tersebut mazhab lain daripada kita? Tidak sepatutnya perkataan ini keluar dari mulut orang alim dalam memperkatakan isu yang pastinya boleh menimbulkan salah fahaman kepada jemaah yang lain.


Terus terang penulis katakan bahawa penulis bukanlah orang alim mahupun ahli dalam memperkatakan secara khusus akan isu ini. Tetapi sebenarnya apa yang diri yang dhaif ini ketahui dan pelajari sedikit sebanyak pengamalan-pengamalan yang diamalkan oleh mereka yang seringkali di labelkan wahabi sebenarnya lebih menjurus kepada pengamalan sunnah, para sahabat, tabi’ tabiin dan salafussoleh serta mereka yang mengikut akan golongan ini secara mulus. Ini kerana apa yang cuba diamalkan adalah juga mempunyai dalil Al-Quran dan sunnah Nabi saw yang sahih. Bagi yang tidak bersependapat cuba untuk kalian bertanyakan dan lakukan sedikit kajian akan perkara seperti ini maka pasti akan kalian temui apa yang diperkatakan ini benar atau tidak.


Bagi diri penulis pula sekiranya sesuatau amalan itu ada nas dan dalil yang memperbolehkan atau datang daripada imam yang empat (Malik, Syafie, Hambali & Hanafi), imam-imam ahlu sunnah yang lain silakanlah dalam beramal. Jangan kita cuba kecilkan skop pemikiran bagi orang-orang yang lain dalam beramal maka mereka ini sesat, menyimpang dan sebagainya. Manakala yang mengikut manhaj salaf kalian juga jangan terlampau keras pendekatan kerana kadang-kadang dengan kekerasan inilah akan menyebabkan jemaah yang lain menolak akan apa yang cuba kalian sampaikan walaupun ianya benar. Ambillah pendekatan bersederhana dalam pengamalan dan dalam masa yang sama amalan sunnah cuba diterapkan dan disampaikan agar keterbukaan minda dan dada masyarakat dalam mengamalkan sunnah Nabi saw. Bukan mudah nak berpegang akan sunnah Nabi saw di akhir-akhir zaman kerana ianya diumpamakan seperti menggenggam bara yang panas tambahan di kalangan masyarakat sekeliling yang sudah kuat dengan beberapa amalan adat yang telah dianggap itulah agama yang sahih daripada Nabi saw.


Wallahualam…




No comments: