Sunday, July 18, 2010

Nasihat Berharga Buat Pejuang-pejuang Sunnah..


Apabila penulis berjinak-jinak dalam proses untuk cuba lebih memahami agama dalam konteks pengajian ilmu agama di masjid-masjid dan sebagainya pastinya penulis lebih cenderung kepada pengajian sunnah yakni pengajian yang cuba berpaksikan kepada Quran dan sunnah Nabi saw lebih mengutamakan penggunaan sesuatu amalan berdasarkan nas Quran dan hadith yang sahih. Tetapi kebiasaannya pun sebenarnya penulis sendiri pun bukan ahli ataupun langsung ke arah keilmuan mana untuk penulis mengoreksi lebih lanjut. Lebih kepada info atau maklumat kitab dan sumber internet yang diperoleh. Sememangnya ianya juga sebenarnya amat-amat terhad dalam konteks pengambilan ilmu agama yang mana ianya bukanlah bidang penulis.


Apapun sebagai insan yang mana serba kekurangan dan kedhaifan ini pastinya lebih penjurusan keilmuan dalam kontek bersederhana dalam pembawaan. Tidak cepat menghukum atau melabel dengan cepat dan sebagainya. Walaupun banyak info yang penulis dapat dalam orang-orang agama menjelaskan status diri si polan itu dan si polan ini yang mana si polan yang dimaksudkan pun adalah merupakan individu besar yang telah banyak menyumbangkan diri dalam pengabdian urusan agama. Walaupun kadang kala pendedahan yang dilakukan tidak bermaksud nak mengaibkan atau menjatuhkan diri si polan tersebut jauh sekali melakukan takfir yakni mengkafirkan individu tersebut tetapi sekadar menjelaskan beberapa kesesatan dan penyelewangan pemahaman individu lebih-pebih daripada segi aqidah. Ini kerana kesesatan terbahagi kepada dua yakni :


a) Kesesatan yang mengkafirkan (bid'ah mukaffirah) iaitu mengingkari sesuatu hukum syara’ yang telah disepakati (ijma’), telah mutawatir (khabarnya) serta sewajibnya dimaklumi dalam agama (ma ‘ulima min al-din bi al-dharurah) atau orang yang meyakini sebaliknya.


b) Kesesatan yang tidak mengkafirkan (bid’ah ghair mukaffirah atau bid’ah mufassiqah) iaitu kesesatan yang tidak menyebabkan kekafiran tetapi ia dihukumkan sebagai fasiq atau pelaku dosa. Kesesatan jenis ini tidak sampai merosakkan pokok-pokok keimanan (usul al-iman), tidak membatalkan sesuatu hukum yang mutawatir dan sesuatu hukum yang sewajibnya dimaklumi dalam agama (ma ‘ulima min al-din bi al-dharurah). Akan tetapi ajaran atau amalan ini tetap dikategorikan sebagai sesat dan menyimpang daripada kebenaran (al-haq).


Kadang-kadang dalam konteks sebegini maka dengan cepat pula orang lain yang kurang menyenangi cepat pula mengatakan inilah jemaah yang cepat menghukum orang Islam kafir dan menghalalkan darah sesama Islam sewenang-wenangnya. Pendedahan seperti ini yang sedang berlaku dalam masyarakat kita di Malaysia dan seantero dunia kini. Heboh pula dengan tempat ipt tempat melahirkan individu pengganas dan sebagainya. Wallahualam sekadar mana benar kerana penulis sendiri tidak melakukan kajian tersebut. Yang pasti sekiranya keikhlasan seseorang itu dalam mengikut pengajian sunnah dalam konteks yang diperkatakan pastinya ianya lebih kepada penjurusan aqidah yang sahih, taat kepada pemerintahan Islam yang sedia ada, adap serta akhlak mulia dan seribu satu perkara kebaikan yang seperti mana dianjurkan Nabi saw dalam risalah dakwah yang dibawa. Penulis tak bermaksud nak hurai panjang bab ini.


Artikel di bawah ini antara artikel yang telah menyentap hati penulis dalam ketegori teguran buat diri yang mungkin adakala kecenderungan juga lebih kepada apa yang diperkatakan. Sikap keterbukaan dan hikmah dalam nasihat yang patut penulis dan juga sahabat-sahabat yang seringkali mengungkapkan menegakkan sunnah untuk sama-sama kita lihat dan amik pengiktibarannya bersama. Sememangnya banyak lagi yang perlu kita kaji dan belajar untuk lebih faqih dalam agama ini.




Hayatilah nasihat kasih sayang dari Saudara kita iaitu Ustaz Adlan ABUAMMAR@ALITANTAWI dengan hati yang terbuka dan minda yang positif..

Sebahagian (bukan semua, sebahagian) penuntut ilmu amat gopoh dalam memberikan penilaian terhadap sesuatu isu agama atau cabang ilmu berkaitan Islam. Saya terpanggil untuk menulis apa yang sering saya bicarakan bersama sahabat-sahabat lain dalam al-ahkam.net iaitu fenomena ‘tarjih’ iaitu keupayaan memilih pendapat yang terbaik dan terkuat mengikut dalil apabila berlakunya perbezaan dan perselisihan. Tarjih di sini tidak semestinya dalam fiqh, bahkan termasuk juga dalam aqidah, tafsir, hadith dan sebagainya.

Sifat gopoh dalam memberikan pandangan adalah sifat yang boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja. Apa yang terhasil daripada kegopohan seringkali akan membawa kesan yang negatif. Kadangkala sifat gopoh sering dikaitkan dengan usia muda atau peringkat awal menuntut ilmu. Apa yang penting, jangan malu dan degil untuk berubah kerana manusia tidak sempurna terutama penuntut ilmu di usia muda.

Di antara contoh kegopohan dalam memberikan pandangan ialah – Terdapat sebahagian penulis, penuntut ilmu malah pendakwah yang apabila timbul sesuatu persoalan dalam fiqh atau timbul perbincangan tentang kedudukan sesuatu hadith sama ada sahih atau tidak, maka timbullah dan kedengaranlah suara-suara bersemangat yang menyeru ke arah kajian, manhaj, tarjih, tahqiq dan perkara yang sewaktu dengannya. Lalu keluarlah pandangan yang paling ‘rajih’ dan pendapat yang paling kuat atau tepat. Persoalannya, benarkah itu yang ‘rajih’ dan betulkah itu yang paling kuat?

AliTantawi

Apa yang penulis temui agak berlainan. Seruan yang indah dan hebat itu rupanya menutup satu kecenderungan memilih pendapat aliran tertentu. Ringkasnya, di dalam fiqh, mereka sebenarnya cenderung memilih pandangan ketat atau pandangan ulama dari Arab Saudi beraliran salafi (terdapat banyak jenis salafi). Manakala di dalam hadith, mereka sebenarnya cenderung memilih pendapat syeikh al-Albani.

Persoalannya, adakah saya akan mengkritik semata-mata kerana mereka cenderung kepada fiqh salafi Saudi dan hadith dari al-Albani? Sudah semestinya tidak. Itu pilihan masing-masing dan mungkin mereka ada sebab untuk memilih sebegitu.

*Apa yang saya ingin jadikan nasihat dan teguran ialah sikap mereka yang melaungkan slogan-slogan kajian ilmiah yang nampak sememangnya 100% ilmiah…sedangkan hakikatnya tidak begitu!

*Saya juga membangkitkan isu ini kerana ingin mengelakkan lebih ramai golongan yang berani tidak bertempat sebegini. Saya katakan berani tidak bertempat kerana melihat kepada kemampuan ilmu mereka yang melakukan perkara ini. Semangat mereka nampaknya melebihi ‘usia’ ilmu pada diri mereka.

*Kita juga perlu sedar bahawa terdapat ramai ulama sejak zaman berzaman hingga ke hari ini. Kenapa menghadkan kepada Ulama Saudi dan al-Albani?

Di antara punca utama perkara ini berlaku (sekadar maklumat yang ada pada penulis) ialah :

1- Pembacaan yang terhad. Membaca hanya buku-buku tertentu dan tidak dapat keluar daripada sangkaan tertentu terhadap ulama dan buku tertentu.

2- Pembacaan buku-buku kedua dan bukan sumber utama. Mungkin disebabkan tidak dapat membaca dalam bahasa asal iaitu Bahasa Arab atau mungkin juga kerana buku-buku kedua dan ketiga lebih ringkas dan dianggap memadai.

3- Keinginan dan nafsu ingin pergi ke tengah medan dakwah agar dikenali sebagai golongan ilmiah dan boleh memberikan pandangan terus daripada dalil dan nas.

4- Tidak melalui proses menuntut ilmu secara berperingkat dan tidak mempunyai guru yang memberikan panduan berterusan.

5- Tidak bergaul dengan pelbagai lapisan penuntut ilmu untuk berkongsi bersama apa yang ingin dikaji. Hanya berkawan dengan aliran masing-masing.

6- Tidak bersedia menarik balik pandangan atau membuat muhasabah terhadap sesuatu pegangan.

7- Bersungguh untuk mematikan hujah lawan walaupun dengan cara tidak ilmiah.

8- Tidak mengikuti perkembangan ilmu. Memadai dengan apa yang telah diketahui.

Contohnya ada sebahagian yang menulis tentang persoalan fiqh. Kadangkala latar belakang bukan daripada golongan agamawan, tetapi mereka mendakwa melakukan kajian berdasarkan dalil. Itu hak mereka untuk mendakwa. Apabila menulis – sama ada dalam bentuk buku atau artikel – mereka amat gemar menekankan aspek kajian, ketelitian, dalil yang sahih, rujukan muktabar dan sebagainya. Tetapi apa yang sering berlaku ialah : apabila tiba persoalan fiqh, mereka akan ketengahkan ulama dari Arab Saudi atau dari aliran ‘salafi’. Apabila tiba persoalan hadith pula, mereka akan utamakan pandangan syeikh al-Albani atau murid-muridnya dan yang sealiran. Inikah rupa ‘tarjih’, ‘tahqiq’ dan ‘dalil’?

Terlintas juga persoalan di hati – sejauh manakah mereka mampu untuk menyemak buku-buku asal dan utama dalam kajian ilmu Islam? Bukankah buku-buku itu ditulis dalam Bahasa Arab? Kalau mereka (sebahagiannya) mengakui mereka tidak mempunyai asas dalam Bahasa Arab, bagaimanakah kita boleh yakin dengan ‘kajian’ dan ‘penyelidikan’ mereka? Atau sebenarnya mereka mengambil kajian orang lain? Sekali lagi saya ulang, perbuatan mereka mengambil pandangan dan kajian ulama tertentu tidak salah. Tetapi ‘cara’ ia diiklankan seolah seperti kajian ilmiah…itu yang ingin ditegur.

Golongan sebegini juga kadangkala kita dapati terlalu mudah menghentam dan mengkritik orang lain yang didakwa pula ‘tidak ilmiah’, tidak ‘tarjih’, tidak mengkaji…inilah yang menyebabkan saya menulis untuk menasihat mereka, dan juga menasihati penuntut ilmu lain agar menjauhkan sikap sebegini.

Hakikatnya kita manusia lemah. Kadangkala kita yang sering melaungkan ‘ilmiah’ dan ‘tahqiq’ sebenarnya tidak ilmiah mana dan tidak tahqiq mana pun. Tetapi kecenderungan dan nafsu untuk memperlihatkan kepada orang lain kita adalah ilmiah dan mengkaji menjadikan kita lupa bahawa kita sebenarnya tidak mampu pun untuk membuat kajian yang ilmiah. Sebagaimana ada yang mendakwa dirinya ‘terbuka’ dengan semua aliran, tetapi hakikatnya kawan sendiri yang dilabel sebagai ‘tidak ada arah tuju’ atau ‘tidak ada manhaj’ bahkan ‘tidak salafi’.

Ada yang menulis seolah dialah yang membuat kajian sedangkan ia diambil dari buku tertentu. Kajian fiqh yang diambil daripada buku-buku huraian fiqh ulama Arab Saudi dijadikan asas dan ia dikeluarkan dalam bentuk ‘kajian perbandingan ilmiah’. Ada yang mendakwa dirinya membuat kajian terhadap hadith sedangkan kesemuanya diambil daripada orang lain. Ada yang pandai menutup perbuatan ini dengan menyatakan ‘Riwayat al-Tirmidzi’ dan tidak memasukkan ‘dinilai sahih oleh al-Albani’. Sedangkan kita tahu daripada buku rujukannya bahawa dia menggunakan pendapat syeikh al-Albani semata-mata dan mengabaikan terus penilaian al-Tirmidzi.

Saya sememangnya diberitahu bahawa ada pula golongan yang hampir serupa yang meghadkan ulama tertentu sahaja yang dianggap ‘benar-benar ulama’. Begitu ramai ulama zaman berzaman tetapi hanya dua tiga orang sahaja yang dianggap benar-benar ‘bermanhaj’? Patutlah mereka sempit dan tidak tahu membuat kajian perbandingan!

Itulah yang ingin ditegur…sempit, terhad, tetapi mendakwa diri ‘luas’, ‘terbuka’, membuat ‘kajian ilmiah’ dan ‘tarjih’ serta ‘tahqiq’. Berani tidak bertempat dan menghadkan pengambilan ilmu.

Saya berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang telah mengingatkan saya dan menyedarkan saya daripada ‘cenderung’ kepada mana-mana pihak sehingga tidak ilmiah. Saya juga berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang suka memberikan ‘sudut ketiga’ dalam perbincangan ilmiah yang akhirnya menjadikan kita merasa kerdil dan menghormati ulama. Jazakumullah kerana telah menyedarkan saya bahawa ilmu itu adalah apa yang ada di dada..bukan semata-mata di hujung mata pena dan kertas sahaja.



No comments: