Sunday, December 5, 2010

Onak Ranjau Alam Pernikahan..


Lumrah kebiasaan pada musim cuti sekolah banyak jemputan walimatul urus akan diadakan di seluruh negara umumnya kerana pada masa ini pastinya de
ngan kehadiran saudara mara akan lebih memeriahkan lagi majlis walimah tersebut. Kebanyakan kini pasti lebih kepada bentuk katering terutama untuk penyediaan makanan kerana sekarang sudah agak jarang tempat yang masih menyediakan dalam bentuk gotong royong dan sebagainya. Maka tidak hairanlah untuk majlis walimah sahaja paling tidak 4k ke atas perlu disediakan oleh pihak tuan rumah.

Penulisan kali ini bukan sekadar untuk perkongsian cerita walimah semata tetapi juga merangkap kepada penghidupan berkeluarga juga yang akan juga ditempuh oleh sesiapa sahaja dalam erti kata kehidupan berkeluarga nanti. Ketika ini juga sudah ada beberapa jemputan walimah seperti Rizal Shahriman (4hb Dis) di Parit Buntar, Mat Yazid dan Anuar (12hb Dis) di Penang serta tidak ketinggalan Najmudin (19hb Dis) di Kedah. Tiga minggu berturut-turut dengan jemputan dan pastinya tidak semua jemputan rasanya dapat dipenuhi untuk dihadiri dengan penempatan kini juga di Selangor. Apapun penulis ucapkan tahniah untuk teman penulis kerana bakal menamatkan zaman bujang mereka dengan wanita pilihan hati mereka. Doa agar kebahagiaan dan barakah akan diperolehi dengan apa yang bakal kalian tempuh nanti, insyaAllah.


Bersediakah Akan Kemampuan Ekonomi Diri?

Apabila membicarakan soal walimah banyak yang perlu difikirkan. Soal kewangan pastinya antara topik mula akan dipertanyakan kerana kini itu antara soalan wajib bagi pihak lelaki mahupun perempuan yang disunting. Apabila bersembang dengan teman-teman bujang seangkatan mahupun yang telah mendirikan rumah tangga pastinya dikatakan sekarang andai tiada 15k mungkin agak semput nak fikirkan soal pernikahan. Hinggakan ramai yang sanggup membuat pinjaman bank persendirian untuk itu semata-mata tuntutan penyediaan untuk pernikahan. Sudahlah dengan kos pembelajaran juga hingga puluhan ribu ringgit, tambahan pula dengan hutang kenderaaan dan sebagainya juga perlu ditampung lebih lebih lagi ke atas si lelaki. Bagi lelaki yang bernasib baik dengan pekerjaan yang baik pastinya kesyukuran dipanjatkan kerana secara tidak langsung ianya meringankan sedikit beban untuk itu. Tambah pula bagi kaum keluarga yang agak berkemampuan pastinya tidak bermasalah. Ini kerana seorang sahabat penulis juga mengatakan dia baru sahaja melangsungkan pertunangan dan pihak perempuan meletakkan jumlah hantaran sebanyak 15k. Terguzuuuuut (betapa tinggi tahap kejutan tu, huhuhuhu) penulis dibuatnya. Tambah pula dia tidak kisah dan hanya menerima sepenuhnya tanpa sebarang rundingan dibuat. Tak tahulah, anak dato mana yang dipinangnya. Tahniah penulis ucapkan padanya.

Maka tidak hairan apabila penulis melayari sebuah blog seorang muslimat rasanya dalam memperkatakan isu antara pilihan sendiri dan juga pilihan pada mulanya ingatkan dirinya berada dalam dilema padahal di akhir artikel ternyata walaupun pilihan keluarga yang baginya tidak langsung mengenali pada awalnya tetapi diusulkan dan setelah mengetahui keaadan diri bakal pasangannya yang lengkap segala-galanya dalam aspek peninginapan, kenderaan dan sebagainya mengapa perlu ia menolak. Daripada menunggu akan teman istimewanya yang masih dalam pembelajaran pastinya perlukan masa untuk itu semua lebih baik dia tidak terus menunggu akan istilah menunggu buah yang tidak gugur. Teringat juga akan pengalaman yang lalu walaupun situasinya mungkin juga menjurus ke arah yang sama. Pengalaman buat diri pastinya...;0)

Hakikatnya muslimat juga punya hak dalam memilih siapa yang bakal jadi temannya dan juga bapa kepada anak-anak serta menantu akan ibu dan bapanya. Perkara yang lebih kurang juga sekiranya diri penulis ini seandainya ditakdirkan dilahirkan dalam kategori muslimah.


Tanggungjawab Individu

Selepas itu bagi diri individu yang lelaki akan kemampuan unuk menjadi pemimpin kerana sebagai suami tanggungjawab yang besar akan digalas kelak. Manakala perempuan pula akan kemampuan diri dalam pengurusan rumah tangga.dalam aspek bersama untuk tempoh masa berdua sahaja. Jika direzekikan Allah dengan kehadiran orang baru pastinya lebih bebanan untuk itu. Tetapi yakinlah bahawa setiap anak yang diberikan pasti sudah ada habuan rezeki yang telah termaktub untuknya tertulis di Lohmahfuz lagi dan ibu bapa perlu yakin. Tingkatan usaha untuk mencari rezeki yang lebih akan dibuat oleh ibu dan bapa dan di sini ujian akan lebih besar lagi kerana peringatan daripada Allah dalam Al-Quran mengatakan bahawa anak dan isteri juga merupakan fitnah bagi sang suami dalam konteks untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Itu bertitik tolak hanya untuk diri tetapi rangkuman lain pula bakal menjadi menantu dan penerimaan keluarga pasangan sebagai kaum keluarga sendiri lebih-lebih lagi ibu bapa mertua. Banyak perkara bukan sahaja melibatkan individu malah ianya turut kaum keluarga kedua-dua belah pihak perlu dijalinkan untuk mencapai erti kehidupan berkeluarga kerana pastinya penggabungan dua keluarga yang berlainan akan terjalin di sini.



Aspek Ilmu dan Agama

Itu belum lagi termasuk aspek ilmu agama kerana kehidupan sebagai seorang muslim adalah Islam merupakan cara hidup keseluruhan. Perkara utama untuk jejak alam pernikahan adalah untuk melengkapkan agama yakni dengan mengikuti sunnah Nabi saw, melahirkan genarasi dan umat Nabi saw yang ramai kerana Nabi saw berbangga dengan umat yang ramai disamping dapat menjaga diri kerana ada penyaluran syahwat untuk itu.

Ini aspek penting yang kadang diambil lewa oleh setiap pasangan kerana semua ini tidak dijadikan ukuran utama dalam aspek pemilihan. Maka tidak hairanlah mengapa perkahwinan muda mudi masa kini tidak dapat bertahan lama. Dewasa ini sebenarnya kehidupan orang melayu sebenarnya lebih menjurus kepada melakukan agama ini dalam bentuk ritual semata-mata. Tidak lagi dalam kehidupan seharian. Apabila ada kematian, pernikahan, tahlil dan sebagainya baru cuba untuk mengaitkan dengan kehidupan beragama. Sekiranya tidak tiada langsung cuba pengaplikasian agama itu dilakukan dalam kehudipan seharian. Dalam masa yang sama pengamalan hanya ikut-ikutan tanpa ada dasar yang sahih itulah yang syarak kehendaki.

Aspek ini sekiranya ditanya hatta kepada artis sekalipun pastinya pemilihan pasangan adalah yang beriman dan dapat membimbing mereka ke jalan yang lurus hatta dalam penampilan seharian pun dengan pakaian yang menjolok mata, terdedah aurat dan sebagainya. Inilah keadaan masa kini kerana kebiasaannya dalam pemilihan pasangan pastinya ia akan melalui keadaan pergaulan dan fikrah diri individu dalam memastikan pasangan yang bakal berkongsi hidup. Sekiranya dia mengamalkan agama dalam kehidupan pastinya inginkan juga pasangan yang sedemikian untuk itu dan sekiranya dengan kehidupan yang social pastinya teman-teman yang seangkatan juga akan menjadi pilihan.



Matlamat Perkahwinan?

Sesiapa sahaja apabila memperkatakan tentang perkahwinan pastinya mengimpikan rumah tangga yang rahmah dan mawaddah. Tetapi mengapa apabila yang berkahwin itu walaupun dengan pasangan yang dicintai sepenuh hati tetapi tetap tak dapat kekal lama? Kalau kita tengok dalam cerita Hindustan pastinya yang menjadi topik utama adalah cinta hero dan heroin berusaha bersungguh-sungguh untuk disatukan sebagai pasangan. Tetapi cukupkah jika hanya cinta yang kita jadikan ukuran semata? Lihat statistik perceraian di kalangan umat Islam di Negara kita dari setahun ke setahun. Adakah ianya menurun atau menaik? Adakah sebenarnya mereka ini masuh belum bertemu dengan jodoh sebenar mereka? Adakah jodoh mereka tidak panjang? Tetapi pada awalnya pasti dikatakan mereka sudah bertemu dengan jodoh mereka kan? Adakah jodoh seseorang ini banyak sebenarnya dan kita berhak memilih dalam erti kata boleh je ‘try & error’ tengok samada dia itu jodoh sebenar kita atau pun tak?

Kadang-kadang terfikir di fikiran mengapa orang dahulu ramai yang hanya berkahwin sekali dan terus kekal hingga akhir hayat seperti kebanyakan ibu bapa kita sebagai contoh. Ada sesetengahnya diceritakan langsung tidak pernah kenal sehingga tarikh perkahwinan baru kenal hati budi dan bercinta selepas kahwin. Tetapi Alhamdulillah perkahwinan mereka rata-ratanya dapat bertahan lama jika dibandingkan dengan muda mudi kini. Apa rahsianya?

Ini kerana mereka letakkan matlamat utama dalam perkahwinan adalah mencari redha Allah dan mengikut sunnah Nabi saw dalam melengkapkan kehidupan diri ini. Ini kuncinya kerana sekiranya ini dijadikan landasan pastinya masing-masing akan cuba beri yang terbaik sebagai suami mahupun isteri dan dalam masa yang sama dapat menerima dengan hati terbuka akan kelemahan dan kekurangan diri pasangan. Sekiranya berlaku apa jua perkara yang tidak menepati kehendak diri maka ianya akan dineutralkan dengan memujuk diri bahawa masing-masing tidak sempurna untuk jadi yang ‘perfect’ dalam semua hal. Maka di sini akan wujud ‘give & take’ dalam perhubungan dan turut mengembalikan apa jua permasalahan kepada Sang Pencipta Yang Esa.



Ego Diri

Ni perkara besar dan siapapun pasti sukar untuk menundukkan lebih-lebih lagi bagi lelaki. Sebenarnya lelaki mahupun perempuan masing-masing ada ego tersendiri. Kadang-kadang sukar untuk orang lain membaca ego diri hatta pasangan sendiri. Maka tidak hairanlah pernah seorang teman apabila membicarakan tentang kenali pasangan yakni isteri sebenarnya perlukan masa. Dia yang dah berkahwin selama hampir 5 tahun pun masih belum dapat kenal 100% karektor sebenar zaujah kesayangan dia. Memang semua indah sebelum dan di awal perkahwinan tetapi apabila dah kahwin baru semuanya akan tersingkap segala kekurangan diri pasangan kita. Jika masa ini masing-masing terus dengan ego dan tiada sebarang tolak ansur cuba dibuat maka dugaan untuk teruskan hubungan akan bertambah rumit.

Banyak info berkaitan permasalahan pasangan yang berkahwin ini sebenarnya. Kadang-kadang isu yang sering diperkatakan adalah tiada persefahaman, suami baran, isteri pemalas, orang ketiga dan sebagainya. Cuba bayangkan dengan pengalaman seorang isteri yang mempunyai suami yang baran, kaki pukul, pantang ditegur dan yang sejenis tiba-tiba si suami yang dikenali bertahun ini berubah ataupun ditakdirkan dia berkahwin lain dan bertemu dengan yang penyayang, bertolak ansur, memahami dan penuh kasih saying pastinya si isteri ini akan lebih menghargai yang kedua ini. Perkara yang sama juga bagi si suami yang punya isteri yang punyai banyak sikap negative dan tiba-tiba dianugerahkan pengganti yang lebih baik juga akan lebih menghargai pasangan yang baru ini.


Peringatan Buat Diri Yang Dhaif

Untuk diri penulis sendiri banyak yang penulis perlu analisis sebelum ditakdirkan penulis menginjak alam pernikahan ini. Daripada aspek ekonomi, fizikal dan rohani semuanya perlu dibuat penilaian dan perlu dimantapkan dari semasa ke semasa. Dengan info dan juga maklumat yang diperolehi perlu dijadikan panduan dan pedoman agar perjalanan untuk menempuh alam itu yang pastinya lebih ranjau dan lurah yang lebih mencabar dalam bentuk pengaplikasian bukan hanya manis di bibir dan juga penulisan. Semoga kehadiran muslimat yang bakal mengisi hati ini untuk dijadikan zaujah, ummi untuk anak-anak, menantu untuk mak dan ayah dan juga adik serta kakak untuk kerabat penulis dapat menerima diri yang dhaif dan kerdil ini seadanya untuk sama-sama menempuh suka duka bersama dalam meniti onak ranjau kehidupan sementara ini dengan menjadikan Rasulullah saw sebagai idola dalam kehidupan serta jalan para sahabat, salafussoleh dan mereka yang berada di atas jalan tersebut, insyaAllah...


3 comments:

labib said...

wah..sungguh besar pengharapan yg diletakkan pada bakal pendamping.ciri2 yg hampir sempurna...sedara berpijak di bumi yg nyata?ada ke lagi muslimat sebegitu rupa?

..~..WaN PeNaNG..~.. said...

ya akhi labib,

setiap insan pasti ada apa yang kita hajat & harapkan. lebih-lebih lagi bab besar seperti bakal zaujah kerana dengan dialah segala2nya kita akan berkongsi. asbab berada di bumi yang nyata inilah kita sebagai lelaki kena letakkan 'pin point' yg besar sebagai matlamat apa yang kt perlukan. bukan untuk demand tinggi atau sebagainya tetapi kita punya hak untuk memilih.

bagi ana memangnya sedar diri ini setakat mana. istilah penangnya 'loqlaq' pun ada & sbgnya. manakan mampu nak dpt yg terbaik lbh2 lg wanita muslimah spt dambaan hati yang sebenar. walaupun si dia penampilan biasa paling tidak dia boleh untuk menerima diri ini seadanya dan menerima pembawaan fikrah agama yang dibawa & ingin kepada agama yang lebih utama, InsyaAllah moga si dia dan ana boleh sama2 ingat memperingati untuk lebih dekatkan diri untuk capai redha Allah.

yang penting kita usaha, doa & tawakal. biar semua tu berjalan mengikut sunnatullah kerana ianya telah ada dalam percaturan Ilahi..

Unknown said...

Salam..
Susah untuk cari yang terbaik,namun kena usaha+Doa+Tawakal..
Sesunguhnya apa yang ditakdirkan adalah percaturan terbaik dari Allah S.W.T untuk tiap hamba-Nya.
Syukur atas apa jua nikmat..Dia Lebih Maha Bijaksana