Sunday, March 28, 2010

Janji Allah Bagi Orang Yang Mahu Berkahwin..



Hari Sabtu yang lepas seorang lagi sahabat sekolah menengah penulis Mohd Azhar Subhi (Bob) telah melangkah ke alam perkahwinan. Jemputannya cuba penulis penuhi walaupun pada awalnya seperti ada sedikit kekangan tetapi di penghujungnya dimudahkan jua utk aku pergi. Syukur Alhamdulillah. Apapun doa Sepertimana yang kita tahu jempuatan kahwin ni antra kewajipan bg sesiapa yang beriman pada Allah & Rasul untuk cuba dipenuhi semampu mungkin melainkan mempunyai uzur syarie yang tidak membolehkan untuk diusahakan.

Walaupun pada asalnya berjanji 3 orang tetapi keputusan akhir penulis dan seorang teman Ting King Hook, sarawakian yang semakin sihat sahaja pulang dr ibu kota. Bertolak di tengah malam dan sampai di kampung penulis lebih kurang 4 pagi. Pagi itu kami makan pagi di Transfer Road, tempat port lama sejak zaman sekolah menengah lagi. Di sana berjumpa pula Ridhuan Abu Bakar yang juga merangkap jurukamera untuk pengantin. Perjumpaan yang seketika dan kemudiannya rancang agar bertemu di majlis walimah nanti.

Percaturan dibuat dan berjaya menghubungi beberapa teman seangkatan yang juga dalam perancangan untuk ke sana. Akhirnya di sana terkumpullah beberapa orang teman yang antaranya sudah tidak bertemu sejak habis sekolah menengah lagi. Antaranya Ikhabaruszaman (bersama isteri), Syed Fairus, Ahmad Syafik, Yusfizal, Che Ani (bersama keluarga), Fauzan dan juga tidak ketinggalan Guru Besar, Cikgu Ismail Ibramsa. Bermacam-macam perkara yang keluar tambah-tambah perkara yang menjadi kenangan bersama sepanjang alam persekolahan yang rasanya tak akan habis point untuk diceritakan.

Sebenarnya dalam ramai-ramai tu cuma 3 orang yang baru melangkah ke alam perkahwinan dan yang lainnya belum lagi. Itu belum termasuk lagi teman-teman yang lain yang tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis walimah ini. Kiranya kalau nak dikatakan hanya 40% teman-teman seasrama yg melangkah alam tu. Pasti masing-masing akan menanyakan bila masa tu akan tiba dan jawapan kebanyakan lebih kurang sama. Belum sampai masa lagi, belum ada calon, orang tak masuk melamar lagi (jawapan penulis..;0) ), belum mantap ekonomi dan macam-macam lagi. Padahal kalau nak ikutkan masing-masing dah 28tahun masihi untuk tahun ini. Dah menunjukkan alam dewasa tahap anak 4 patutnya seperti kata seorang pakcik pada kami.

Apabila disingkap terutama bagi kami yang kebanyakannya paling tidak sudah bekerja walaupun ada yang masih rasakan diri ini belum selamat untuk jangka masa panjang dan sebagainya. Padahal bukan masing-masing tak tahu dengan berkahwin pastinya Allah akan buka pintu-pintu rezeki untuk anak adam itu bagi penyaluran untuk rezeki keluarga serta anak-anak nanti. Kadang-kadang dengan pengalaman serta juga keadaan masa kini yang adakalanya menyebabkan golongan seperti kami ini banyk berfikir terutama dari segi ekonomi.

Ini kerana dalam syarak juga telah menetapkan bahawa dalam mencari nafkah ni terletak atas bahu suami. Jadi kiranya nanti para isteri ambil keputusan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa setelah berkahwin sepatutnya tiada masalah baginya dan suami tidak boleh memaksa supaya isteri bekerja. Tetapi andai isteri ingin bekerja serta mendapat keizinan suami maka secara tidak langsung ekonomi keluarga dapat dibantu. Dalam konteks ini suami perlu juga membantu dan lebih bertoleransi dalam semua hal rumahtangga kerana kudrat wanita ini adalah lemah walaupun sememangnya kadangkala mereka ini lebih cekal berbanding lelaki.

Tapi bila perkara ini diusulkan perbincangan dengan seorang teman akhirnya penulis rasakan mungkin pendekatan yang diambil kini perlu dinilai semula. Penulis merasakan tempelak terkena pada diri yang selama ini masih memikirkan akan perkara ini faktor utama. Mungkin juga pengalaman tu yang membuatkan terdirong jadi seperti ini. Di bawah merupakan info artikel yang diberikan oleh teman penulis untuk sama-sama kita muhasabah diri terutama buat diri penulis dan juga sahabat-sahabat yang seangkatan status masa kini. Info ini hanya diperolehinya daripada email teman-teman yang tidak dapat penulis nyatakan sumbernya.



1-"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji, dan lelaki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)". (An Nuur : 26)


Bila ingin mendapatkan jodoh yang baik, maka perbaikilah diri. Hiduplah sesuai dengan ajaran Islam dan Sunnah Nabi-Nya. Jadilah lelaki yang soleh, jadilah wanita yang solehah. Semoga Allah memberikan hanya yang baik buat kita. Amin.



2-"Dan kahwinikanlah orang-orang yang bujang diantara kamu dan orang-orang yang layak (berkahwin) dari hamba-hamba sahayamu yang lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan mereka dengan kurniaan-Nya. Dan Allah Maha Luas (Pemberian-Nya) lagi Maha Mengetahui". (An Nur: 32)


Sebahagian para pemuda ada yang merasa bingung dan bimbang ketika akan berkahwin. Salah satu sebabnya adalah kerana belum mempunyai pekerjaan. Dan yang peliknya ketika para pemuda telah mempunyai pekerjaan pun tetap ada perasaan bimbang juga. Sebahagian mereka tetap ragu dengan harta yang mereka dapatkan dari gajinya. Dalam fikiran mereka terdetik, "adakah cukup untuk berkeluarga dengan gaji sekian?".


Ayat tersebut merupakan jawapan buat mereka yang masih ragu untuk melangkah ke alam pernikahan kerana alasan ekonomi. Yang perlu ditekankan kepada para pemuda dalam masalah ini adalah kesanggupan untuk memberi nafkah, dan terus bekerja mencari nafkah memenuhi tuntutan berkeluarga. Bukan besarnya wang ringgit yang perlu dibimbangkan. Kelak, Allah akan menolong mereka yang berkahwin. Allah Maha Adil, bila tanggung jawab para pemuda bertambah - dengan kewajiban menafkahi isteri-isteri dan anak-anaknya - maka Allah akan memberikan rezeki yang lebih. Tidakkah kita lihat kenyataan di dalam masyarakat, kebanyakan mereka yang bermula dengan kemiskinan, tidak mempunyai apa-apa ketika menikah, kemudian Allah memberinya rezeki yang melimpah-ruah dan mencukupkan segala kekurangannya?



3-" Ada tiga golongan manusia yang berhak Allah tolong mereka, iaitu seorang mujahid fisabilillah, seorang hamba yang menebus dirinya supaya merdeka dan seorang yang bernikah kerana ingin memelihara kehormatannya". (HR. Ahmad 2: 251, Nasaei, Tirmidzi, Ibnu Majah hadis no. 2518, dan Hakim 2: 160)


Bagi siapa saja yang bernikah dengan niat menjaga kesucian dirinya, maka berhak mendapatkan pertolongan dari Allah berdasarkan penegasan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam dalam hadis ini. Dan pertolongan Allah itu pasti datang.



4-"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir" (Ar Rum : 21)



5-"Dan Tuhanmu berfirman : 'Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang memalingkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina' ". (Al Mu'min : 60)


Ini juga janji Allah 'Azza wa Jalla, bila kita berdoa kepada Allah nescaya akan diperkenankan-Nya. Termasuk di dalamnya ketika kita berdoa memohon diberikan pasangan hidup yang agamanya baik, cantik, taat dan sbgnya. Dalam berdoa perhatikan adab dan sebab terkabulnya doa. Diantaranya adalah ikhlas, bersungguh-sungguh, merendahkan diri, mengadap kiblat, mengangkat kedua tangan, dll. Perhatikan juga waktu-waktu yang mustajab dalam berdoa. Di antaranya adalah berdoa pada waktu sepertiga malam yang terakhir dimana para malaikat turun dari langit dunia bersama-sama mengaminkan , pada waktu antara azan dan iqamah, pada waktu turun hujan, dll.


Perhatikan juga penghalang terkabulnya doa. Di antaranya adalah makan dan minum dari yang haram, juga makan, minum dari usaha dan sumber yang haram, melakukan apa yang diharamkan Allah, dll. Manfaat lain dari berdoa bererti kita meyakini kekuasaan Allah, mengakui bahwa Allah itu tempat meminta, mengakui bahwa Allah Maha Kaya, mengakui bahwa Allah Maha Mendengar, dll.


Sebahagian orang ketika jodohnya tidak sampai-sampai maka mereka pergi ke dukun-dukun dan bomoh berharap agar jodohnya lancar. Sebahagian orang ada juga yang menggunakan guna-guna dan sihir. Cara-cara seperti ini jelas dilarang oleh Islam. Perhatikan hadis-hadis berikut yang merupakan peringatan keras dari Rasulullah Sollallahu 'alaihi wa sallam: "Barang siapa yang mendatangi peramal nasib / dukun, lalu ia menanyakan sesuatu kepadanya, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam". (Hadis sahih riwayat Muslim (7/37) dan Ahmad) Telah bersabda Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam, "Maka janganlah kamu mendatangi peramal-peramal nasib itu." (Sahih riwayat Muslim juz 7 hal. 35).


Telah bersabda Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam, "Sesungguhnya jampi-jampi (mantera) dan guna-guna (sihir) itu adalah (hukumnya) syirik." (Hadis sahih riwayat Abu Daud (no. 3883), Ibnu Majah (no. 3530), Ahmad dan Hakim).



6-"Mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat". (Al Baqarah : 153) Mintalah tolong kepada Allah dengan sabar dan solat. Tentunya agar datang pertolongan Allah, maka kita juga harus bersabar sesuai dengan Sunnah Nabi Sollallahu 'alaihi wa sallam. Juga harus solat sesuai Sunnahnya dan terbebas dari bid'ah-bid'ah.



7-"Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan". (Alam Nasyrah : 5 - 6) Ini juga janji Allah. Mungkin terasa bagi kita jodoh yang dinanti tidak kunjung tiba. Segalanya terasa sulit. Tetapi kita harus tetap berbaik sangka kepada Allah dan yakinlah bahwa sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Allah sendiri yang menegaskan dua kali dalam Surah An- Nasyrah.



8-"Hai orang-orang yang beriman jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu".(Muhammad : 7) Supaya Allah Tabaraka wa Ta'ala menolong kita, maka kita tolong agama Allah. Baik dengan berinfak di jalan-Nya, membantu penyebaran dakwah Islam dengan penyebaran buletin atau buku-buku Islam, membantu penyelenggaraan pengajian, dll. Dengan itu semoga Allah menolong kita.



9-"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya.Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa". (Al Hajj : 40)



10-"Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat".(Al Baqarah : 214) Itulah janji Allah. Dan Allah tidak akan menyalahi janjinya. Kalaupun Allah tidak/belum mengabulkan doa kita, tentu ada hikmah dan kasih sayang Allah yang lebih besar buat kita. Kita harus berbaik sangka kepada Allah. Inilah keyakinan yang harus ada pada setiap muslim dan muslimah.


Jadi, kenapa ragu dengan janji Allah?



Adakah selama ini aku masih ragu-ragu akan janji Allah kepada hambaNya? Adakah aku rasakan dengan aku fokus career semata-mata maka aku akan dapat memenuhi seperti apa yang diinginkan oleh setiap muslimah bg penyediaan rumah, kenderaan serta kemewahan duniawi secara amnya?

Astaghfirullahal a’zim.. nauzubillahi min zalik…

Betapa lemah, kerdilnya, zalim dan jahilnya aku sebagai hamba yang mengatakan mengutamakan Allah dan rasul tetapi dalam masa yang sama aku sendiri masih belum betul-betul seratus peratus menyerahkan diriku sepenuhnya pada Allah dalam menentukan yang terbaik buat diri ini. Dalam masa yang sama wajar kiranya hati ini dibuka untuk ini sekiranya sudah sampai waktunya untuk diri melangkah ke alam itu.
'
Dalam masa yang sama biarlah pendamping diri itu serta keluarga dapat menerima kekerdilan diri, kelemahan diri, kedhaifan diri, manhaj pembawaan agama yang dibawa yang pastinya penulis terang-terang mengatakan yang diri ini tak mampu untuk beri kemewahan seperti yang diharapkan oleh setiap insan tetapi akan cuba berusaha semampu mungkin untuk menyara keluarga serta mengemudi bahtera rumahtangga seperti yang dianjurkan oleh idola setiap umat Islam dalam menjadikan rumah tangga yang mawaddah warahmah dalam mencari keredhaan Allah untuk penghidupan dunia yang sementara bahkan akhirat yang kekal abadi kelak, InsyaAllah..
'
Hanya padaMU YA ALLAH ku serahkan diri ini dan hanya padaMU ku sembah serta memohon apa jua bentuk pertolongan. Permudagkan urusan duniawi lebih-lebih lagi urusan ukhrowiku kelak YA ALLAH...


7 comments:

dahali said...

menarik entry kali nie.rasa rating naik ;) agaknya ada berkaitan dengan penulis? dah dilamar atau masih menunggu di lamar? sebelum nie saya sekadar membaca memandangkan blog wan nie telah di link oleh kawan saya di blognya.memang betul apa dikata. sekarang banyak kaum hawa yg memiliki lebih dr sesetemgah yg kita dapat sediakan. tapi alhamdulillah kalau dpt jumpa pendamping yg sanggup kongsi dengan kita. kita jaga lah dengan sebaik-baik mungkin seperti mana yg diterima dia dari familinya.cuma perlulah faham dan bersedia. wanita berkerjaya nie kadang2 mood di office leh terbawa2 ke rumah. dan kalau boleh,biarlah kadang2 kita pula tolong dia dgn kerja2 rumah. tgk isteri saya,saya pun penat.balik rmh,terus ke dapur. saya pun terpanggil utk turut membantu.kadang2 prefer pula makan di luar,dia tak perlu masak.tapi dia sendiri pilih nak masakkan utk kami.bersyukur sbb dia sgt memahami saya,bersabar dan sanggup bersusah payah. Alhamdulillah, rezeki dlm karier pun dah terbuka utk saya.InsyaAllah, semoga dipermudahkan.Kepada kaum adam yang rasakan tak mampu berkeluarga tetapi berkeinginan, berdoa dan berserahlah kpd Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang,akan dipermudahkan.Sebuah hadis qudsi menyebut, ”Aku di sisi(sebagaimana) sangkaan hambaKu denganKu, sekiranya dia(hambaKu) bersangka baik, maka baginya(natijah baik), dan sekiranya dia bersangka buruk, maka baginya juga(natijah buruk)”.

..~..WaN PeNaNG..~.. said...

salam ta akhi dahali,

maaf atas kelewatan ana respon komentar yang dibuat asbab berada diluar dan sukar dalam mengekses internet. terima kasih banyak atas komentar saudara terhadap artikel ana ini. sememangnya blog ditulis sekadar pengisian masa, perkongsian ilmiah (banyak copy & paste) serta juga luahan apa yang dirasai.

sudah dilamar atau belum rasanya wajar serahkan pada Allah dlm menentukan yang terbaik buat diri yang dhaif ini.

syukran atas perkongsian pengalaman saudara itu. ada kebenarannya dan sememangnya kebanyakan muslimat kini mungkin sebegitu rupa. maklumlah kita yg muslimin ni kiranya sememangnya kaum minoriti. antara tanda2 akhir zaman kan.

yang pasti apapun kena ada give & take dlm rumahtangga. ana senang sekali tgk kerukunan rumahtangga saudara. pastinya ana dan sahabat2 juga impikan zaujah yang sebegitu. itu menunjukkan zaujah saudara semenangnya cuba memberikan yang terbaik buat suami serta keluarganya. saudara amat beruntung.

apapun bg ana tidak salah sekiranya wanita bekerja, tetapi dengan syarat letak keutamaan kerjaya no3 selepas Allah & rasul serta suami & family. suami perlu back up isteri sbbnya dlm konteks ini isteri telah cuba membantu meringankan beban ekonomi rumah tangga keluarga. tp sekiranya isteri mahu menjadi suri rumah sepenuh masa itu lbh baik kerana peruntukan masa utk suami dan anak2 lbh terjamin.

mungkin juga ana kena masuk alam berkeluarga baru keterbukaan rezeki utk diri dan keluarga nanti agaknya kan..;)

apapun yang disarankan adalah usaha, doa serta tawakal moga dipermudahkan segala urusan duniawi lebih2 lagi ukhrowi dalam mencari redha Allah..

ramizu said...

Si suami memainkan peranan yang penting dalam keluarganya, lebih2 lagi jikalau isterinya turut bekerja. Benar bagai di kata ekonomi keluarga sedikit sebanyak tertampung dengan kareer isteri. Tapi jangan lupa bahawa tanggungjawab yang sebenar adalah pada bahu suami. Banyak yang ambil mudah apabila isteri telah bekerja hinggakan terasa diri sudah mampu untuk menambah cawangan walhal kalau isterinya tidak membantu, suami tidak dapat merasa 'mampu' hingga untuk menambah cawangan.

Perkahwinan dengan dua sumber pendapatan ada pro and contra nya. Ada suami rasa terancam, tercabar, dengan status kerjaya istrinya. Apatah lagi kalau si isteri lebih bergaji tinggi dan berjawatan tinggi. Suami mana tidak cemburu. Sini sikap toleransi amat penting. Ada juga suami yang dapat menerima kareer isteri asalkan isteri tetap dapat memenuhi dan melayani keperluan si suami. Tapi sayang, byk perceraian berlaku kerana isteri jauh lebih 'maju' dari suami hinggakan kadang menguasai peranan suami di rumah. malah ada yang memilih agar suami tidak campur urusan keluarga kerana isteri mampu melakukannya. Bila ini terjadi,suami mula rasa tidak diperlukan dan memilih jalan keluar sendiri. Ada juga isteri yang memilih utk keluar kerana merasakan fungsi suami tidak lagi relevan.

Apa pun saya harap kita dapat memperolehi pasangan yang terbaik. Saya khuatir juga utk berkahwin tapi sunnah nabi inilah yg ingin saya penuhi. Rasa tak mampu untuk menyara anak orang. Setelah meneliti blog dan komen yang diberi...Tak mampu adalah alasan sahaja.Sampai bila mahu saya gunakan alasan ini dan pihak di sana kelak akan jemu.. Saya juga takut saya tergolong dalam suami yang cemburu. Mungkin betul kata, perkahwinan mendewasakan kita. Terima kasih pada blog ini yang secara tak sengaja saya jumpa ketika google berkaitan janji Allah untuk hamba yang ingin berkahwin. saya juga membaca blog2 lain yg juga menulis artikel ini. Mungkin saya boleh cadangkan untuk membaca blog http://saifulislam.com/. Artikel Wacana Nikah dan Talaq boleh juga diambil perhatian.

sarah said...

Ingin kongsi,petikan dari sebuah blog wanita.saya tak ambil pula URLnya. Sahabatnya meninggal dunia,isterinya tidak bekerja.

Wanita kini kebanyakannya sudah sinonim dengan status dwi kerjaya. pesanan seorang pensyarah sebolah-bolehnya jika telah bekerja,cubalah usahakan agar dapat bertahan dan jangan berfikir untuk meletakkan jawatan.Kita tak tau apa yang akan terjadi di belakang hari.Apa salahnya kita bersedia lebih awal.ada wanita yang ditakdirkan bersuamikan seorang lelaki berharta. Mungkin tak perlu risau jika kisah malang seperti isteri rakan tadi terjadi.ingin diingatkan wanita agar tidak mengadah setelah terhantuk.Paling penting, bukan semata-mata untuk kepentingan anda seorang wanita tetapi adalah demi kepentingan dan kebajikan anak-anak.Sebagai seorang wanita, perlu lebih bersedia menghadapi apa jua kemungkinan yang bakal berlaku di dalam rumah tangga anda.Kematian dan kehilangan kasih sayang. Jangan sangka, anda telah menjaga suami anda secukupnya, tidak mungkin suami berpaling kasih. Bayangkan bila tiba satu detik, suami menduakan anda malah paling malang, anda dipinggirkan terus kerana suami punya teman yang baru.

Bagaimana anda dan anak-anak? Ya, nafkah anak-anak tanggungan suami tetapi masih ada kes bapa yang tidak tunaikan tanggungjawab. Sekurang-kurangnya jika wanita bekerja, kebergantungan kepada suami bukan lagi 100%. Bukan bermaksud suami tidak diperlukan tetapi wanita akan lebih mudah berdikari dan tidak cepat melatah jika ditimpa apa juga ujian dan dugaan. Tidak perlu menunggu proses pengurusan harta peninggalan suami untuk meneruskan kehidupan sendiri dan anak-anak. Tidak perlu menagih simpati suami untuk menyuap makan anak-anak. Jangan terkejut,ada bapa yang sanggup menafikan anak kandung sendiri apabila beristeri baru, nauzubillah.

Semasa saya dan bakal suami merancang untuk mendirikan rumah tangga,perkara pertama yang saya usulkan pada suami ialah: Jangan minta saya berhenti kerja. Mungkin ada yang tak setuju tetapi bagi saya kehidupan wanita akan lebih terjamin jika mempunyai pendapatan sendiri. Tak kisah lah apa kerja anda… kerja pejabat, memasak, menjahit, menjaga anak jiran… yang penting anda punya pendapatan sendiri.Paling tidak pun, pujuklah suami supaya memberikan anda sejumlah wang untuk simpanan khas anda dan pastikan jumlah tersebut disimpan dan bukan untuk dibelanjakan walau apa juga kecemasan mendatang.Selagi suami bersama anda,biarlah suami yang berikhtiar dan berusaha menyelesaikannya.Anda memang bukan keturunan Haji Bakhil tetapi anda perlu bersedia untuk kebajikan anda dan anak-anak di masa depan.

Jika ditakdirkan anda mempunyai suami yang sedikit atau agak garang,sukar dibawa berbincang, pandai-pandailah anda menabung sendiri daripada baki kegunaan harian. Ada kes isteri bekerja tetapi hasil pendapatan dikaut bersih oleh suami,tak ditinggalkan untuk isteri.Jika anda menghadapi situasi begini, jangan berterusan menyiksa diri. Apa guna punya suami yang hanya tahu makan hasil titik peluh isteri sedang pada hakikatnya suamilah orang yang wajib menyuap mulut anak-anak dan isteri. Apa perlunya lagi anda mengharapkan suami sebegitu? Sepanjang pengalaman saya mengendalikan kes, isteri-isteri yang punya pendapatan sendiri paling mudah membuat keputusan apabila berhadapan dengan suami yang berperangai persis orang gila berbanding isteri yang tidak bekerja.

Lantas, kepada para isteri, sediakan bukan sekadar payung tetapi kanopi yang teguh agar anda dan anak-anak anda dapat meneruskan hidup dengan sempurna walau apa yang terjadi kepada suami anda nanti. Kepada para suami,saya mohon simpati anda semua atas nama seorang manusia, walau apa juga yang anda ingin lakukan, jangan kesampingkan wanita yang pernah bertakhta di hati anda dan jangan pinggirkan anak-anak anda, darah daging anda sendiri.Mereka adalah tanggungjawab anda yang perlu anda jawab di hari akhirat nanti.

..~..WaN PeNaNG..~.. said...

..Althafunnisa…
Senyuman adalah sedekah yang tidak memerlukan sebarang bayaran malah kadangkala ianya lebih berharga daripada wang ringgit dalam mengubat hati yang lara.



..Ramizu..
Sykukran atas perkongsian saudara. Benar, sememangnya nafkah ekonomi sememangnya lebih terletak pada bahu suami. Isteri hanya perlu melayani kehendak suami dan seterusnya dalam mendidik anak-anak yang bakal dilahirkan sbbnya ibu adalah pendidik utama bg diri seorang anak. Berkaitan tambah cawangan ni sering ana katakana adalah walaupun ianya adalah sunnah nabi tetapi bukanlah sunnah yang amat-amat dituntut. Ianya boleh kita umpamakan sebagai ubat bagi yang memerlukan. Tetapi sekiranya seseorang itu tidak sakit jgnlah cuba2 untuk ambil kerana mgkn ianya akan memudharatkan diri.

Berkaitan kenyataan saudara perceraian yang kerap berlaku kerana pendapatan isteri yang jauh lebih tinggi daripada lelaki dan lelaki rasa tercabar dan sebagainya itu tidak dapat ana pastikan. Tetapi yang hakikatnya mmg sekiranya merujuk kepada faktor perceraian antara yang tertinggi adalah faktor ekonomi. Perincian mgkn perlu kt rujuk pada yang mengkajinya.

Bagaimanapun pendapat penulis, andai seorang isteri itu berpangkat tinggi sebagai contoh bejawatan CEO dalam sesebuah organisasi yang memimpin jabatan atau syarikat besar berbanding suami yang hanya mat dispatch sekalipun tetapi apabila berada di rumah dia perlu akur akan perintah suami selagi mana ianya tidak bertentangan dengan perintah Allah dan Rasul. Perlu menurunkan ego tingginya berbanding berada di pejabat. Penerimaan keterbukaan untuk itu perlu ada dan sepatutnya si isteri jangan sesekali cuba mengungkit pemberian dan sumbangannya dalam keberkongsian ekonomi keluarga walaupun dia mungkin mengeluarkan lebih berbanding suami sebabnya dengan bekerjanya ia diluar adalah atas izin suami. Jangan memandang rendah akan kemampuan suami teruatama dalam metadbir rumah tangga. Manakala suami pl jangan mengambil kesempatan atas kemurah hatian isteri membantu dalam melakukan perkara yang boleh mengundang akan keretakan. Toleransi (give & take) suami perlu ada untuk itu dalam sama2 cuba mengharmonikan rumah tangga. Namapun perkongsian hidup bersama kan.

Berkaitan dengan kecemburuan perlu ada kerana ianya menunjukkan kesensitivitian seseorang terhadap pasangan lebih2 lagi isteri tetapi berpada. Jangan terlampau ikutkan hati sehingga rasa kecemburuan itu tidak bertempat. Ini kerana bg sesorang suami yang langsung tidak ada kecemburuan di hati melihat isteri bermesra dengan orang lain hatta berlaku curang didepan mata akan dikategorikan sebagai dayus dan berdosa atas bahu suami yang sedemikian.

Wallahualam..

..~..WaN PeNaNG..~.. said...

..Sarah…
Apa yang cuba saudari cuba sampaikan adalah dari segi career seorang apabila bergelar isteri yang mana apabila berlaku perceraian atau sebagianya kadang2 akan membuatkan terus hilang akan sumber pendapatan terutama dalam nafkah kehidupan lebih2 lagi dengan kehadiran anak-anak. Sememangnya semua itu realiti apa yang berlaku kini. Ramai bekas2 suami yang cuba untuk tidak memeberi nafkah kepada isteri lebih2 lagi pada anak2. Itu sememangnya satu kesalahan pd pihak suami yang tidak sepatutnya berlaku.

Tetapi apapun penegasan perlu diberikan adalah selagi mana perintah suami tidak bertentangan dengan perintah Allah dan rasul, isteri wajib taat sepenuhnya. Sebagai contoh andai suami inginkan isteri memberi sepenuh perhatian pada keluarga terutama untuk anak-anak yang ramai perlulah isteri taat untuk itu. Pastinya kemampuan suami untuk tanggung keluarga lebih daripada mampu maka keputusan untuk itu dibuat. Tetapi apapun tidak salah isteri memberi pandangan dan cadangan untuk kebaikan bersama.

Bagi penulis sendiri sekiranya isteri ingin bekerja tetapi kena pastikan tanggungjawab utama sebagai isteri dan ibu tidak terabai. Career adalah di tempat ketiga setelah Allah dan rasul mendahului serta diikuti suami dan keluarga. Jadi focus untuk itu kena lebih berbanding kalau jadi suri rumah sepenuh masa. Dalam masa yang sama suami kena juga lebih memahami dalam membantu isteri dan tidak hanya membiarkan isteri dan membebankan sepenuh tanggungjawab pada isteri.

Suami kena ada juga komitmen dalam meringan beban yang lebih pada bahu isteri kerana isteri yang bekerja juga secara tidak langsung membantu akan ekonomi keluarga. Itu juga merupakan antara tanda kt berterima kasih pada isteri untuk itu.



Walaubagaimanapun setiap pasangan perlu jelas matlamat perkahwinan yakni disamping kita mengikut sunnah Nabi saw, penyaluran nafsu syahwat dan zuriat dalam masa yang sama lebih utama adalah mencari redha Allah dalam meniti kehidupan berkeluarga nanti. Apabila matlamat jelas seandainya berlaku konflik kembali kepada matlamat asal perkahwinan dan cuba pupuk rasa cinta, kasih serta sayang yang sewajarnya pasangan kita dapat itu supaya dia juga yang merupakan pasangan kita kelak di akhirat nanti, INSYAALLAH…

Semoga Allah beri hidayah dan taufiq pada diri penulis dalam mengaplikasikan apa yang penulis katakana dan ketahui dalam menjamin kehidupan berkeluarga kelak mengikut acuan yang ditunjukkan oleh idola setiap umat Islam yakni Nabi saw serta jalan sahabat dan salafus soleh yang diberi petunjuk untuk itu, InsyaALLAH..

Anonymous said...

saya wanita berkerjaya suatu ketika dulu.lepas grad, berkobar2 semangat kerja.saya workaholic.fokus utama kumpul duit,aset,harta benda.kawin?family? letak tepi.
sekarang,company buat retrenchment.since baru kerja dan masih muda,saya dan yg lain diberi nasihat mencari kerja lain.
dalam mengangggur, saya rasa berat hati nak menerima cadangan tunang untuk berkahwin.banyaklah alasan saya bagi.bermasam muka jugaklah.saya cenderung minta ditangguhkan.
geram saya kenapa dia ajak saya berkahwin pada ketika saya runsing tak ada kerja.
walhal kalau fikir2 balik,buat apa risau.bukannya saya yg akan beri nafkah.suami kan.
tapi sbb saya fikir sepertimana yg sarah cerita,saya takut untuk tidak mempunyai pendapatan sendiri,takut bergantung kepada suami.
Akhirnya saya buat istikhoroh(pertama kali buat.zaman belajar yang rajin buat pun adalah solat hajat).saya minta petunjuk.kalau kahwin ini baik,permudahkanlah.
Alhamdulillah,saya dah kahwin.masih lagi mengangur tapi saya sudah buat bisnes multilevel marketing.saya rasa aman dan tak adalah risau sepertimana yang saya jangka sebelum kahwin.
Agaknya Allah permudahkan kerja kita apabila kita menyerahkan urusan pada Dia.