Sunday, July 19, 2009

Dunia dan kehidupan..


Hidup sekarang ni apa yang tak kena duit. Masuk tandas pun kena duit kawan. Dalam ungkapan lain pula ada yang mengatakan duit bukanlah segala-galanya tapi dunia sekarang ni perlukan duit.

Ini antara ungkapan yang pernah terungkap bagi sesiapa apabila membicarakan tentang kehidupan masa kini dan inilah juga yang pernah sahabat penulis ungkapkan apabila berbicara tentang topik berkaitan kehidupan masa kini. Pastinya masa kini setiap orang apabila membicarakan tentang kehidupan pastinya tak terlepas adalah membicarakan tentang ekonomi diri.

Pernah satu ketika dahulu bersama seorang teman akrab apabila topik berkaitan ini dirungkai apa yang dinyatakan adalah baginya berkaitan akan kemewahan dan kesenangan hidup adalah perkara kedua yang penting ketulusan dan keikhlasan seseorang adalah kriteria utama dalam pemilihan pasangan hidup. Andai keutamaan ini telah berjaya dicapai pastinya susah senang kehidupan dapat sama-sama atasi. Lirik mahupun skrip yang pernah kita dengar diungkapkan dalam drama mahupun filem Hindustan yang biasa diungkapkan oleh heroin kepada sang hero.

Yang pasti kini semuanya berbeza sama sekali. Ianya tak mudah seperti yang digambarkan dengan hanya pelafazan di bibir semata. Dunia sudah berubah dan pastinya kehidupan juga sebegitu. Pernah juga satu ketika seorang sahabat mengatakan bahawa dunia kini andai kita tak punya apa orang tak akan pandang sama sekali. Setakat sembang sahaja siapa pun boleh, tetapi pelaksanaan walaupun kawan baik sekalipun sebenarnya tidak seperti yang kita harapkan.

Mengikut statistik dari JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), peratus penceraian meningkat sebanyak 14% iaitu dari 11% pada tahun 1995 telah meningkat sebanyak 25% pada tahun 2007. Daripada statatistik dari JAKIM menunjukkan daripada 13 465 penceraian yang berlaku pada tahun 2007 hanya 13 peratus sahaja yang rujuk kembali. Peratus rujuk ini semakin lama semakin berkurangan setiap tahun manakala peratus penceraian semakin bertambah. Dimanakah ertinya sebuah perkahwinan?

Berdasarkan statistik yang dinyatakan di atas terdapat beberapa faktor mengapa dalam sesebuah rumah tangga peratus perceraian meningkat dari tahun ke tahun. Terdapat banyak faktor dan antara yang tertinggi adalah msalah kewangan yakni ekonomi diri. Kebiasaannya ini banyak melibatkan anak-anak muda yang baru mendirikan rumah tangga dan sebagainya. Jadi tidak mustahil sekiranya antara perkara pokok yang ditetapkan dalam pemilihan calon suami mahupun menantu adalah mantap ekonominya. Sebolehnya lengkap serba serbi rumah, kereta, kerja jawtan tinggi, gaji ribu-ribu dan sebagainya. Ini adalah antara kriteria yang terlintas bagi muslimat zaman kini dalam erti mencari pasangan hidup.

"Diperhiaskanlah untuk para manusia itu - yakni diberi perasaan bernafsu - untuk mencintai kesyahwatan-kesyahwatan dari para wanita, anak-anak, kekayaan yang berlimpah-limpah dari emas dan perak, kuda yang bagus, binatang ternak dan sawah ladang. Demikian itulah kesenangan kehidupan dunia dan di sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya." (ali-Imran: 14)

Apabila diajukan kepada sang fakir, apakah yang amat-amat diharapkan dalam kehidupan? Pasti kebanyakannya akan mengatakan bahawa sebolehnya dia inginkan cukup makan dan minum. Bagi yang sudah punya kecukupan dalam makan dan minum, apa lagi yang diinginkan? Pastinya juga kehidupan yang senang dan mewah. Diajukan pula kepada si hartawan yang punya harta, pastinya dia ingin menambahkan lagi harta dan empayar perniagaan yang ada. Ini adalah lumrah manusia yang mana tidak akan cukup dengan apa yang ada dalam pemilikan sendiri hatta dia punya satu lembah emas pastinya dia mahukan lembah emas yang lain untuk dimilikinya.

Dari Abu Said al-Khudri r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. duduk di atas mimbar dan kita duduk di sekitarnya, lalu beliau s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya salah satu yang saya takutkan atas mu semua sepeninggalku nanti ialah apa yang akan dibukakan untukmu semua itu dari keindahan harta dunia serta hiasan-hiasannya - yakni bahawa meluapnya kekayaan pada ummat Muhammad inilah yang amat ditakutkan, sebab dapat merosakkan agama jikalau tidak waspada mengendalikannya." (Muttafaq'alaih)


Kini manusia berlumba-lumba dalam mencari harta kemewahan dunia dan inginkan kehidupan yang senang dan mewah. Lepas habis belajar antara keutamaan adalah mencari pekerjaan yang baik untuk menampung hidup. Pastinya ianya bukan menjadi satu kesalahan untuk itu tetapi beberapa perkara perlu diambil kira kerana dalam Islam itu sendiri tidak menghalang umatnya mencari harta dunia ini sebanyak mana yang mampu. Tetapi yang dilarang adalah terlalu mengejar kehidupan dengan sibuk dengan kerjaya sehingga tanggungjawab dan hak utama terhadap Yang Memberi Rezeki itu kita lupakan sama sekali.

"Engkau semua dilalaikan oleh perlumbaan mencari kekayaan, sehingga engkau semua mengunjungi kubur - yakni sampai mati. jangan begitu, nanti engkau semua akan mengetahui, kemudian sekali lagi jangan begitu, nanti engkau semua akan mengetahui - mana yang sebenarnya salah dan mana yang tidak. jangan begitu, andaikata engkau semua dapat mengetahui dengan ilmu yakin, tentu engkau semua tidak berbuat seperti di atas itu." (at-Takatsur: 1-5)

Kadangkala ada yang segelintirnya yang bergelar Islam tetapi hakikatnya pengamalan seharian tidak mencerminkannya. Apa yang cuba disampaikan adalah dalam menegakkan syiar Islam yang utama yakni solat terus menerus ditinggalkan hatta solat jumaat yang seminggu sekalipun. Perkara apakah yang lebih besar kemungkaran yang dibuat jika tidak mengerjakan solat dengan sengaja sehingga ada ulama menghukum kafir bagi yang meninggalkannya dengan sengaja. Tetapi bagi kita yang bermazhab syafie mungkin hanya berdosa besar. Antara perkara yang membezakan antara seseorang itu Islam mahupun tidak adalah dengan meninggalkan solat. Kadang-kadang terfikir dari mana hendak datangnya rahmat Allah dalam penghidupan terutama yang sudah berkeluarga andai si bapa yang mencari rezeki diluar untuk dimasukkan ke dalam mulut anak dan isteri tidak pernah mengendahkan kewajipan utama selaku orang Islam. Sebagai kawan ajakan solat dan akhlak ditunjukkan serta doa agar sahabat-sahabat ini sama-sama terbuka hati untuk kembali menjalankan perintah yang wajib pada diri setiap mukallaf.



Dari Abu Said r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya dunia adalah manis dan hijau - yakni menyenangkan sekali - dan sesungguhnya Allah menjadikan engkau semua sebagai pengganti di bumi itu - untuk mengolah dan memakmurkan. Maka Allah akan melihat bagaimana yang engkau semua lakukan -untuk dibalas menurut masing-masing amalannya. Oleh sebab itu, bertaqwalah dalam mengemudikan harta dunia dan bertaqwalah dalam urusan kaum wanita." (Riwayat Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a. pula, katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Dunia ini adalah penjara bagi orang mu'min - kalau dibandingkan dengan kenikmatan yang disediakan di syurga - dan syurga bagi orang kafir - kalau dibandingkan dengan pedihnya. siksa di neraka." (Riwayat Muslim)

Dari 'Amr bin al-Harits, iaitu saudaranya Juwairiyah binti al-Harits Ummul mu'minin radhiallahu 'anhuma-jadi isterinya Nabi s.a.w., katanya: "Rasulullah s.a.w. tidak meninggalkan dirham, tidak pula dinar, hamba sahaya lelaki ataupun perempuan, atau apa pun juga ketika wafatnya, melainkan hanyalah keledai putihnya yang dahulu dinaikinya, juga senjatanya, serta sebidang tanah yang dijadikan sebagai sedekah kepada ibnus sabil - orang yang dalam perjalanan." (Riwayat Bukhari)

Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., katanya: "Rasulullah s.a.w. bersabda: "Janganlah engkau semua terlampau cinta dalam mencari sesuatu untuk kehidupan, sebab dengan terlampau mencintainya itu, maka engkau semua akan mencintai pula keduniaan." Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan.

Dari Ka'ab bin 'lyadh r.a., katanya: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya setiap ummat itu ada fitnahnya dan fitnah ummatku ialah harta." Diriwayatkan oleh Imam Tirmidzi dan ia mengatakan bahawa ini adalah Hadis hasan shahih.

"Ketahuilah olehmu semua, bahawasanya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda-gurau, perhiasan dan bermegah-megah antara sesamamu, berlumba banyak kekayaan dan anak-anak. Perumpamaannya adalah seperti hujan yang menghairankan orang-orang kafir - yang menjadi petani - melihat tumbuh tanamannya, kemudian menjadi kering lalu engkau lihat menjadi kuning warnanya, kemudian menjadi hancur binasa. Dan di akhirat siksa yang amat sangat untuk mereka itu - yang berbuat kesalahan, juga pengampunan dari Allah serta keredhaan - bagi orang-orang yang berbuat kebaikan - dan tidaklah kehidupan dunia ini melainkan hanyalah kesenangan tipuan belaka." (al-Hadid: 20)

Semoga dengan nikmat yang Allah berikan sepanjang hidup di muka bumi ini dapat sama-sama dimanfaatkan bersama dan agar dunia ini jg tak menjadi fitnah kepada penghalang untuk kita sebagai hamba ini untuk capai redha Allah kerana dunia ini hanyalah sebagai jambatan dan persinggahan sementara sementara akhirat yang kekal abadi menanti di hadapan..

1 comment:

riss said...

Ridz.... Riss rajin membaca taipan mu.... Suka bangat..Info mu banyak memberi Riss lebih pengetahuan di dalam bidang agama ini..

Terimakasih Ridz...Riss doakan Allah berikan yang terbaik untuk mu k.